Anda di sini

Will Smith letak jawatan daripada Akademi Filem

Advertisement
 

HOUSTON,Texas: Will Smith (gambar) pada Jumaat meletak jawatan daripada Akademi Seni dan Sains Motion Picture selepas insiden menampar pelawak Chris Rock ketika anugerah Oscar hujung minggu lalu, lapor Agensi Anadolu (AA).

"Saya akan bertanggungjawab sepenuhnya atas perbuatan saya.

"Tindakan saya ketika penyampaian Anugerah Akademi ke-94 adalah mengejutkan, menyakitkan dan tidak boleh dimaafkan," kata Smith dalam satu kenyataan.

Pengunduran Smith dibuat hampir seminggu selepas beliau menampar Chris Rock kerana tersinggung dengan jenaka pelawak itu mengenai isterinya, Jada Pinkett Smith.

“Saya mengkhianati amanah Akademi. Saya menutup peluang calon dan pemenang lain untuk meraikan dan diraikan kerana pencapaian luar biasa mereka,” katanya.

Lembaga pengelola Akademi mengadakan mesyuarat tergempar minggu ini bagi memulakan proses semakan rasmi, dengan kemungkinan Smith berdepan penggantungan atau penyingkiran.

Meskipun telah meletak jawatan, Akademi masih boleh menarik semula Oscar yang dimenang Smith menerusi watak Raja Richard .

Lembaga Akademi akan bermesyuarat sekali lagi pada 15 April.

“Saya akan menerima apa jua keputusan selanjutnya oleh Lembaga Pengarah,” katanya. - BERNAMA
 

Advertisement