Anda di sini

Anugerah RISE Educator kembali lagi

Advertisement
Pengarah Kampus Taylor's College, Josephine Tan
Pengarah Kampus Taylor's College, Josephine Tan

“Pemenang berpeluang memenangi hadiah wang tunai RM5,000 dan  RM10,000 untuk sekolah mereka”

KUALA LUMPUR : Anugerah RISE Educator anjuran Taylor's College dan The Risers kembali untuk tahun kedua bagi mengiktiraf dan menghargai usaha dalam kalangan pendidik yang telah memberikan sumbangan cemerlang bukan sahaja kepada pendidikan pelajar dalam bilik darjah, tetapi juga pembangunan sosial pelajar terutamanya semasa pandemik COVID-19.

Pemenang anugerah RISE Educator of the Year bakal menerima hadiah wang sebanyak RM5,000, manakala individu yang mencalonkannya akan mendapat RM500. Pada masa sama, Taylor's College juga akan menaja RM10,000 buat sekolah pemenang anugerah RISE Educator of the Year untuk meningkatkan kemudahan fasiliti mereka.

RISE merupakan singkatan kepada akronim untuk ‘Remarkable Impact in Student Education’ dan Anugerah RISE Educator ini terbuka kepada semua pelajar atau ibu bapa pelajar prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah kerajaan atau swasta di Malaysia.

Pelajar dan ibu bapa boleh mencalonkan guru pilihan masing-masing bermula 1 hingga 22 April dengan berkongsi kisah guru yang memberi inspirasi kepada diri mereka dalam 100 perkataan atau kurang

Pengarah Kampus Taylor's College, Josephine Tan berkata, kajian yang diterbitkan oleh Canadian Center of Science and Education menunjukkan hubungan positif antara guru dan pelajar akan membantu pelajar tersebut mencapai gred sekolah serta kemahiran tingkah laku yang lebih baik.

“Ini juga terbukti melalui Anugerah RISE Educator kerana pada tahun lalu, pihak kami menerima banyak pencalonan yang menceritakan pelbagai kisah inspirasi guru yang berusaha keras untuk membantu pelajar mereka dengan mewujudkan persekitaran pembelajaran baharu dan inovatif sekali gus memastikan pelajar mereka tidak ketinggalan dalam pembelajaran mereka,”

“Seperti yang kita ketahui, pandemik COVID-19 telah memberi kesan terhadap pelbagai sektor dan begitu juga dengan pendidikan. Kesan berpanjangan daripada susunan pendidikan yang sentiasa berubah seperti pembelajaran dalam talian dan luar talian akibat wabak itu telah memburukkan lagi perkembangan progresif kanak-kanak khususnya kemahiran sosial dan tingkah laku mereka, serta semangat mereka untuk belajar,”katanya.

 Memandangkan pelajar tidak pernah melihat kedai dobi, cikgu Nazmi membinanya dengan kadbod
Inovatif: Memandangkan pelajar tidak pernah melihat kedai dobi, cikgu Nazmi membinanya dengan kadbod

Zaman persekolahan merupakan fasa transformasi bagi kanak-kanak dan remaja muda untuk mereka belajar cara mengawal emosi dan tingkah laku mereka dalam persekitaran sosial yang berbeza. 

Selain itu, ianya juga meningkatkan perhatian, mengurangkan kebimbangan dan juga membantu perkembangan emosi serta tingkah laku mereka.

Menurut Tan lagi, Anugerah RISE Educator tahun lalu telah membuktikan bahawa masih ramai lagi guru cemerlang di luar sana yang sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan pelajar mereka dapat berkembang maju sekali gus  berjaya dalam pelbagai bidang yang diceburi.

“Atas sebab inilah Anugerah RISE Educator tahun ini akan mencari calon guru yang bersemangat dan berdedikasi dalam memberikan pendidikan yang terbaik pada pelajar serta memberi inspirasi kepada mereka untuk mencapai mencapai kecemerlangan di luar bilik darjah,”

“Sama ada dalam mewujudkan perpustakaan komuniti untuk pelajar mereka, menyediakan infrastruktur dan projek teknologi untuk pelajar mereka mempelajari pengekodan dan robotik, atau membina inovasi kreatif untuk membantu pelajar mereka memenangi pertandingan.”

“Kami ingin mengenali pendidik ini dan kami mahu memberi ganjaran kepada mereka,” jelasnya lagi.

Sebanyak tiga kategori akan dipertandingkan dalam Anugerah RISE Educator kali ini iaitu RISE Educator of the Year, RISE Educator Award, dan RISE Educator Award: Taylorian Edition.

Untuk kategori RISE Educator of the Year, pemenang akan dipilih daripada lima cerita finalis oleh panel penilai anugerah yang turut menampilkan pemenang tahun lalu, Cikgu Muhammad Nazmi Rosli.

Cikgu Nazmi bersama pelajar-pelajarnya di SK Long Sukang, Sarawak
Cikgu Nazmi bersama pelajar-pelajarnya di SK Long Sukang, Sarawak

Untuk makluman, Nazmi merupakan pemenang Anugerah RISE Educator 2021 yang telah menggunakan kaedah pengajaran inovatif untuk mencipta kolam renang bilik darjah dan perkhidmatan dobi sekali gus memperkasakan pelajarnya untuk meneroka sempadan dunia tanpa had.

Bagi kategori RISE Educator Award pula, lima cerita finalis akan disiarkan di platform media sosial Taylor’s College untuk pengundian awam. Manakala, kategori RISE Educator Award: Taylorian Edition pula akan membolehkan ahli akademik Taylor untuk bertanding.

Tempoh pengundian akan berlangsung antara 2 Mei sehingga 13 Mei 2022. Pemenang akan diumumkan semasa Hari Guru pada 16 Mei. 

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web RISE Educator Award https://college.taylors.edu.my/en/life-at-taylors/news-events/events/ris...
 

Advertisement