Anda di sini

Brunei tutup pintu sempadan sehingga 15 April

Advertisement

MIRI: Di sebalik kegirangan rakyat Sarawak terutama di utara negeri ini dengan keputusan kerajaan membuka pintu sempadan mulai 1 April depan, Kerajaan Brunei pula mengumumkan untuk kekal menutup pintu sempadan mereka sehingga 15 April ini.

Perkara itu disahkan Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin kepada Utusan Borneo pada Rabu.

"Saya baru dimaklumkan oleh Kedutaan Brunei sebentar tadi bahawa Kerajaan Brunei masih belum mengeluarkan sebarang arahan terkini dan masih kekal dengan penutupan pintu sempadan mereka sehingga 15 April," katanya.

Bagaimanapun bagi pihak Malaysia dan Kerajaan Sarawak kata Lee, pembukaan pintu sempadan negara mulai 1 April tetap diteruskan.

Lee berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai masalah untuk menerima pelawat dari negara jiran tersebut dan mereka hanya perlu mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

"Ketika ini, sempadan Brunei belum dibuka sepenuhnya dan mereka hanya membukanya untuk perkhidmatan perlu sahaja dan kemasukan perlu menjalani ujian PCR seperti yang ditetapkan kerajaan negara itu.

"Bagi yang pernah positif adalah dikecualikan menjalani ujian PCR (tempoh 90 hari).

"Surat yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga perlu dibawa bersama dan ditunjukkan kepada mereka apabila diminta," tambahnya.

Brunei dalam kenyataan media rasminya pada 26 Mac lalu memaklumkan bahawa Jawatankuasa Pandu COVID-19 telah melanjutkan Fasa Awal Endemik di bawah Rangka Kerja Pelan Pemulihan Kebangsaan COVID-19 Brunei Darussalam akan dilanjutkan sehingga 15 April depan.

Lee memberi arahan mengenai persediaan yang patut dan perlu kepada pegawai-pegawai Kompleks CIQS Sungai Tujuh dan JPBB Miri semasa melawat pintu sempadan berkenaan semalam.
Lee memberi arahan mengenai persediaan yang patut dan perlu kepada pegawai-pegawai Kompleks CIQS Sungai Tujuh dan JPBB Miri semasa melawat pintu sempadan berkenaan semalam.

Sementara itu, Lee turut mengetuai Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri mengadakan lawatan ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Sarawak (CIQS) di Sungai Tujuh semalam bagi meninjau persiapan yang dibuat sempena pembukaan sempadan negara pada 1 April.

Beliau memberitahu, JPBB Miri juga sudah mengenal pasti tapak yang luas dan selesa untuk dijadikan pusat untuk menjalankan prosedur ujian COVID-19 bagi pelawat atau warga asing yang memasuki Sarawak menerusi sempadan Sungai Tujuh tersebut.

"Ketika ini, pihak Kompleks CIQS sudah mendirikan dua khemah di sini (laluan masuk ke Miri) yang akan kita gunakan mulai 1 April kelak, namun saya rasa selepas dua minggu akan datang ia pasti tidak dapat menampung jumlah pelawat yang masuk.

"Justeru kita sudahpun mengenal pasti lokasi yang lebih luas dan selesa di sebelah sana (iaitu kawasan parkir kereta di hadapan bangunan rumah kedai, di depan pintu masuk dari arah Brunei) dan ia cukup untuk keperluan ujian COVID-19 kelak," tambahnya.

Turut mengiringi Lee mengadakan lawatan ke kompleks berkenaan ialah Pengarah Hospital Miri Dr Jack Wong.

  • oleh
  • Advertisement