Anda di sini

Tak cukup duit belanja, anggota tentera disyaki terlibat kes samun ditahan 

Advertisement
Suspek kini ditahan untuk tindakan lanjut.
Suspek kini ditahan untuk tindakan lanjut.

KUCHING: Gara-gara terdesak duit perbelanjaan tidak mencukupi, seorang anggota tentera ditahan kerana disyaki terlibat kegiatan samun, di kawasan Kota Sentosa, di sini semalam. 

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, tangkapan itu dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan sekitar jam 4.10 petang. 

Menurutnya, suspek berusia 21 tahun itu ditahan di kaki lima sebuah kedai farmasi dan hasil siasatan suspek mengaku melakukan kegiatan berkenaan di kawasan sebuah bank, Kota Sentosa. 

"Pada 12 Mac lalu sekitar jam 4.10 petang, suspek yang berpangkat prebet bertindak memaut leher seorang wanita, 38, dengan menggunakan kedua-dua lengan di sekitar kawasan kedai farmasi, Kota Sentosa. 

"Ketika kejadian, mangsa yang bertugas sebagai kerani di sebuah sekolah di Lundu itu masuk ke dalam kereta di hadapan kedai farmasi, Kota Sentosa, Jalan Batu 7. 

"Tiba-tiba seorang lelaki yang tidak dikenali masuk melalui pintu belakang sebelah kanan dan terus memaut leher pengadu dengan kedua-dua lengannya," ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Tambahnya, mangsa berasa seperti ada benda tajam dan disyaki pisau lipat diletakkan di leher kanan. 

Susulan itu, katanya mangsa bertindak menggigit lengan suspek dan menekan hon kereta sebelum suspek mengambil wang tunai berjumlah RM26 dari beg tangan pengadu. 

Tambahnya, hasil siasatan, suspek melakukan kegiatan samun akibat terdesak duit perbelanjaan tidak mencukupi. 

Dalam tangkapan itu, polis turut merampas sepasang kasut jenama Nike, sehelai seluar sukan jenama Adidas, sebilah pisau pemotong kertas, satu beg sandang jenama PORTER dan sehelai pelitup muka warna hitam. 

Justeru, tambah Abang Zainal suspek akan dibuat saringan awal air kencing setelah permohonan reman diperolehi. 

Suspek kini bertugas di Sri Aman dan sedang menjalani di sini bermula dari 16 Januari dan dijangka tamat pada 2 April ini. 

"Kes ini telah dimaklumkan kepada penyelia suspek yang bertugas," katanya lagi. 

Ujarnya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan. 
 

  • oleh
  • Advertisement