Anda di sini

Ruang dan Peluang Kritikan Sastera di Sarawak

Advertisement
 

Oleh Abang Patdeli Abang Muhi

PERSOALAN tentang kritikan sastera, pengkritik, karya dan penulis tetap menjadi isu dan polemik, kendatipun ada pasang surutnya. Bahkan wujud salah faham mengenai pengertian kritikan sastera dan ada kalanya istilah itu dikelirukan dengan istilah ulasan, dan resensi buku. Juga wujud dua kelompok penulis. Sebelum seseorang itu ingin terjun ke lembah kritikan sastera, mahu tidak mahu, dia harus memahami pengertian kritikan sastera dan ulasan karya. 

     Perihal dunia kritikan sastera yang malap bukan sahaja berlaku di Sarawak, bahkan menjadi suatu isu yang juga berlaku pada peringkat nasional. Banyak faktor yang menyebabkan berlakunya situasi itu—antara sebab yang berkemungkinan mencetuskan suasana itu adalah, semakin kurangnya pengkritik yang berilmu sastera, menguasai pelbagai teori sastera, kurangnya karya atau buku sastera yang sesuai untuk dikritik, dan ada kemungkinan juga bidang kritikan sastera terlalu ruwet serta kurang menambat minat para pengkritik (bayaran atau honorariumnya tidak menarik?). Seyogianya, perlu dibuat kajian untuk membuktikan hipotesis mudah yang penulis nyatakan di atas.   

     Dalam situasi tertentu wujud juga dua tanggapan lain yang ada hubung kaitnya dengan kritikan. Pertama, penulis yang mahu karyanya dikritik, dan ada yang mendambakan serta mengharapkan karyanya (karya yang telah diterbitkan) dikritik, baik oleh pengkritik yang bergengsi mahupun pengkritik yang biasa-biasa sahaja. Kedua, ada kelompok yang tidak menaruh apa-apa harapan untuk karyanya dikritik—bagi kelompok ini, asalkan karyanya sudah terbit, itu sudah memadai. 

     Ada juga penulis melenting apabila karya atau bukunya dikritik hebat—dia tidak berpuas hati dengan kritikan pedas (benar atau tidak benar kritikannya, itu sedikit subjektif, namun kritikan harus objektif), dan mendesak agar pengkritik menarik kritikannya itu; perlu diingat, pengkritik yang sudah membuat kritikan, tidak mungkin menarik balik atau mengubah kritikannya itu, tetapi pengkritik lain yang merasakan bahawa kritikannya itu tidak benar, dan banyak kelemahannya setelah mempertimbangkan bersandarkan prinsip dan falsafah kritikan sastera, boleh membuat kritikan balas.   

     Pengkritik pula ada yang keras dan ada yang lembut. Apa-apa pun, sama ada seseorang pengkritik itu keras ataupun lembut, kritikannya tetap bersandarkan teori kritikan sastera; kritikan sastera tanpa teori adalah umpama, masakan tanpa ramuan, dan tawar rasanya. Justeru, seseorang pengkritik sastera itu mestilah menguasai teori kritikan sastera untuk menjadikan kritikannya itu masakan yang enak dimakan dan dihadam. 

     Kritikan sastera, di samping memerlukan pengkritik yang berilmu teori kritikan sastera, juga memerlukan karya untuk dikritik—novel, cerpen, puisi, drama dan seumpamanya. Paradoksnya, mana-mana karya yang dihasilkan itu hendaknya memiliki esensi untuk mewajarkannya dikritik, sekali gus membolehkan pengkritik mengenal pasti teori yang mana satu yang akan diaplikasikan untuk mengkritik sesebuah karya itu. 

     Karya-karya yang tanpa esensi, berkemungkinan hanya layak untuk diulas, dan bukannya dikritik. Seyogianya, ada perbezaan yang signifikan antara istilah ulasan dengan istilah kritikan. Ulasan itu, tidaklah mendalam analisisnya, dan hanya merupakan huraian ataupun keterangan yang umum sifatnya. Ulasan juga bermaksud kupasan, tafsiran dan komentar (Kamus Besar Bahasa Indonesia, 1814:2017). Dalam Glosari Istilah Kesusasteraan (DBP, 348:2014), ulasan diertikan sebagai: “Ulasan hanya sekadar mengumumkan terbitnya sesebuah karya itu, menjelaskan kandungannya, membicarakan kaedah dan mutunya daripada segi teknik, dan menilai kebaikannya apabila dibandingkan dengan karya-karya lain yang serupa jenisnya.” Tujuannya adalah untuk memberikan idea yang tepat kepada pembaca tentang buku tersebut supaya pembaca-pembaca dapat membuat pertimbangan sama ada ingin membaca buku tersebut atau tidak. Lazimnya, ulasan karya tidak memerlukan seperangkat teori kritikan mahupun teori sastera. 

     Dalam pada itu, ada kalanya, daripada hakikat yang sebenarnya, garis pemisah antara bentuk ulasan dan kritikan tidak begitu jelas. Namun, ada pandangan yang mengatakan bahawa kritikan itu jauh lebih serius, mendalam analisisnya, adil dan bijaksana jika dibandingkan dengan ulasan. Justeru, dalam Glosari Kesusasteraan (2014:164), kritikan ditakrifkan sebagai cabang pengajian yang berhubungan dengan hal-hal mendefinisikan, mengelaskan, menghuraikan, dan menilai karya kesusasteraan. Istilah itu telah digunakan sejak kurun ke-17. 

     Dalam buku itu juga disebutkan bahawa, antara jenis kritikan ialah kritikan Aristotle, kritikan platonik, kritikan eksistensialisme, kritikan ekspresif, kritikan formalistik, kritikan impresionistik dan kritikan kehakiman serta kritikan baharu. Selain itu, ada juga jenis kritikan yang dikenali sebagai kritikan Marxis, kritikan mitos, kritikan moral, kritikan afektif, kritikan pascakolonial, kritikan arketaip, kritikan biografi, kritikan eskatologi, kritikan psikoanalisis, kritikan pragmatik dan sebagainya. 

     Pelbagai jenis kritikan itu juga ada pelopornya, dan pengikutnya masing-masing. Sebagai contoh, kritikan Jung ialah kaedah kritikan sastera yang mengkaji aspek bawah sedar kolektif manusia yang terakam dalam karya sastera. Kritikan ini bersandarkan teori psikologi Carl Jung. Kritikan Marxis pula ialah kaedah kritikan yang menganggap sastera sebagai suatu ideologi yang mencerminkan pergelutan kelas sosioekonomi masyarakat yang bersandarkan teori Marxis yang diasaskan oleh Karl Marx dan Friedrich Engels (Kamus Kesusasteraan, DBP, 2015). 

     Seperti yang telah disentuh sedikit sebanyak sebelum ini, bahawasanya sesebuah kritikan sastera itu memerlukan seperangkat teori kritikan ataupun teori sastera yang tentunya menuntut pembacaan serta penelahan yang mendalam tentang prinsip, falsafah dan penerapan teori-teori itu. Mungkin disebabkan renyah, rencam dan rincinya kerja kritikan sastera inilah yang menjadi satu daripada sebab tidak ramai yang mahu menekuni bidang ini; tidak terkecuali dalam kalangan penulis Sarawak.

     Kemungkinan satu lagi puncanya ialah kurangnya ataupun lambannya kritikan sastera di Sarawak (bahkan pada peringkat nasional?) ialah, tiadanya karya dan buku yang bermuatan esensi sastera untuk dikritik, terutamanya yang berfokuskan pengarang, teks, khalayak dan konteks. Dalam konteks Sarawak, ada ramai penulis yang sekali gus menjadi pengkritik—antaranya Jais Sahok dan Jeniri Amir, di samping pengkritik muda seperti Dilah Tuah, Dayang Azizah, dan Sarah Bidin, sekadar menyebut beberapa nama. 

     Ada juga penulis yang tidak begitu sinonim dengan bidang kritikan sastera, tetapi mendapat hadiah sastera bagi kategori esei kritikan kerana beberapa artikel atau rencana atau esei mereka yang disiarkan dalam surat khabar, majalah, jurnal dan/atau antologi esei, kertas kerja dan sebagainya; tentunya sekelompok penulis esei atau rencana kritikan (ada juga yang diubahsuai daripada kertas kerja kepada esei atau rencana) itu menerima hadiah esei kritikan, dengan sedikit ketekunan, fokus dan hasrat yang jelas untuk menekuni bidang kritikan sastera (tidak secara berkala atau musiman?), akan melahirkan lebih ramai pengkritik sastera yang berwibawa di negeri Sarawak. 

     Apa-apa pun, seperti yang disebut sepintas lalu sebelum ini, penulis tidak harus takut untuk dikritik karya-karya mereka dan jika kritikan itu pedas (dan mungkin juga “kejam”, kerana memang ada pengkritik yang mengambil pendekatan begitu – mengulas, membidas dan mencantas karya sesetengah penulis tanpa belas kasihan hingga ada penulis yang jauh hati, dan ada yang culas dengan pengkritik (mungkin juga ada yang patah hati untuk menulis). Idealnya, memanglah para penulis disarankan agar tidak patah semangat, meskipun karya dikritik hebat atau “ditelanjangi” segala kelemahan dan ketidakbenaran yang terdapat dalam karya itu, namun, penulis juga manusia biasa, ada yang kental semangatnya, dan ada yang lemah semangat. Justeru, tidak semua penulis dapat menerima hakikat yang karyanya serba-serbinya lemah. 

 

     Dalam kes sebegini, adakah pengkritik harus mengorbankan prinsip dan falsafah kritikan sastera yang menjadi pegangan seseorang pengkritik? Dengan kefahaman yang cukup mudah, boleh sahaja dikatakan: penulis kerjanya menulis, dan pengkritik kerjanya mengkritik—masing-masing mempunyai peranan dan fungsi dalam membina serta mengembangkan bidang kesusasteraan. Maknanya, karya yang disiarkan atau yang diterbitkan, yang ada esensinya untuk dikritik, akan dikritik dan yang tidak kuat esensinya, akan diulas—sama ada penerbit akan meminta itu dikritik atau diulas ataupun pengkritik sendiri yang mengambil inisiatif atau mengenal pasti karya yang wajar dikritik dengan mengaplikasikan teori-teori kritikan atau sastera tertentu.

     Pada hemat penulis, akan sentiasa ada aktiviti kritikan sastera dan ulasan karya atau buku selagi adanya program Hadiah Sastera Penulis Sarawak (HSPS) dan Anugerah Sastera Negeri Sarawak. Kenapakah begitu? Sebabnya, akan ada penulis kritikan yang mengharap untuk meraih hadiah bagi kedua-dua ataupun salah satu daripada kategori itu.        

     Suatu masa dahulu, Sarawak ada beberapa orang penulis kritikan yang berwibawa, dan kritikan sastera di Sarawak sangat rancak, akan tetapi sayangnya sudah ramai yang tidak lagi aktif menulis kritikan sastera. Buku yang mengandungi esei kritikan secara relatif banyak juga diterbitkan. Contohnya, Wajah Sastera Sarawak yang diselenggarakan oleh Hamzah Hamdani (DBP, 1988), Penulis Sarawak dalam Esei yang diselenggarakan oleh Jiso Rutan (DBP, 1990), dan Pertumbuhan dan Perkembangan Sastera Melayu di Sarawak (Hamzah Hamdani, DBP, 2004), dan banyak lagi antologi esei yang berkaitan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) khususnya.  

     Buku yang memuatkan esei-esei kritikan terbaharu yang diterbitkan oleh DBP ialah Perihal Pendemokrasian Sastera (Abang Patdeli Abang Muhi, 2021) yang menghimpunkan 15 buah esei persuratan. 14 buah daripada esei itu adalah berhubung kait dengan penulis dan karya penulis Sarawak—karya-karya itu terdiri daripada novel Kelingkang (Douglas Jaga), Surat Putih (Saiee Driss), Kota Larangan Qui (Jong Chian Lai), Igaukan Igau (Abang Madian), Anak Kejaman Long Segaham (Dahiri Saini), Hikayat Datuk Merpati (Haji Mohammad Tahir Abdul Ghani, pencerita), Hikayat Panglima Nikosa (Ahmad Shawal Abdul Hamid). Selain itu, dalam kumpulan ini, juga ada esei yang membicarakan cerpen-cerpen yang dikarang oleh penulis-penulis Sarawak. Sebuah lagi novel yang pernah penulis kritik ialah Katarsis Perjuangan (Mohd Faizal Jamil (2007) yang dibentangkan dalam Perkampungan Penulis Sarawak (Mukah, 2008) dan esei kritikannya diterbitkan dalam jurnal Pangsura (Januari – Jun 2017).   

     Alam Hakiki dalam Puisi Penyair Sarawak (Abizai, 2022) ialah sebuah lagi buku yang memuatkan 13 buah esei kritikan. DBP juga menerbitkan buku Sejarah dan Perkembangan Drama di Sarawak yang menghimpunkan 11 buah makalah yang ada elemen kritikan sasteranya. 

     Barang diingat buku Wajah Mutakhir Sastera Kenyalang (Jeniri Amir, 1994) juga memuatkan beberapa buah kritikan sastera tentang karya-karya yang dihasilkan oleh para penulis Sarawak. DBP Cawangan Sarawak juga pernah menganjurkan sayembara menulis esei kritikan sebagai satu daripada pendekatan untuk menggalakkan perkembangan kritikan sastera di negeri itu dan pelbagai seminar, perkampungan dan pertemuan penulis peringkat negeri diadakan yang sekali gus merupakan ruang serta peluang untuk karya-karya mereka dibicarakan, diulas dan dikritik—dan, para penulis di negeri-negeri lain hampir-hampir tiada ruang dan peluang seperti yang dinikmati oleh penulis-penulis Sarawak; mereka kebanyakannya mengintai ruang dan peluang pada peringkat nasional.   

     Beberapa peristiwa sastera yang disinggung oleh penulis di atas, menggambarkan bahawa bidang kritikan sastera (termasuk ulasan sastera) tidaklah terlalu terkebelakang, dan jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain, para penulis Sarawak jauh lebih beruntung kerana kebanyakan karya mereka (yang eceran mahupun buku mereka) telah dikritik dan/atau diulas oleh para pengkritik dan pengulas sastera—negeri-negeri lain (kecuali Sabah), kebanyakannya tidak ada ruang (dan peluang) seperti akhbar tempatan di Sarawak dan Sabah yang membolehkan karya-karya mereka dikritik dan/atau diulas.    

     Dalam pada itu, seperti yang telah disentuh sebelum ini, kritikan sastera itu disandarkan pada teori-teori kritikan ataupun sastera. Sepanjang pengamatan penulis, pengkritik dan pengulas sastera di Sarawak telah mengaplikasikan beberapa teori kritikan dan sastera dalam kritikan dan ulasan mereka, selain untuk menggunakan pendekatan gaya bahasa, tema, pemikiran dan sebagainya. 

     Antara teori-teori itu ialah teori sosiologi dan psikoanalisis (Jais Sahok, Karya Penulis Sarawak dalam Esei, DBP, 1990), teori struktural (Jais Sahok dan Mohammad Pauzan Nuruddin, Karya Penulis Sarawak dalam Esei, DBP, 1990), teori stilistik (Jeniri Amir, Sanai Dundang Seman Nuruddin, Karya Penulis Sarawak dalam Esei, DBP, 1990),  pendekatan dan pembacaan historisisme baharu diaplikasikan oleh Hamzah Hamdani (DBP, 2004) untuk mengkritik dan mengulas karya penulis Sarawak. Penulis dalam mengkritik karya-karya penulis Sarawak mengaplikasikan beberapa teori kritikan dan pendekatan seperti perspektif propaganda, realisme magis, sosiologi, psikoanalisis, futuristik, dan historisisme , serta kritikan baharu yang melihat kesusasteraan sebagai seni yang memberikan tumpuan kepada pembicaraan soal makna dan hubungan antara kata-kata, bahasa kiasan, simbol dan imej. 

     Beberapa esei kritikan yang menerima Hadiah Sastera Penulis Sarawak yang diadakan saban tahun juga banyak menggunakan pelbagai teori kritikan sastera, dan teori non-sastera untuk mengkritik dan/atau mengulas karya-karya aneka genre penulis Sarawak. Mungkin ada yang sedikit gusar dengan hakikat bahawa penulis-penulis yang sama yang memenangi hadiah bagi genre esei dan jika diperhatikan dengan lebih mendalam, kategori-kategori lain pun memperlihatkan kebanyakannya dimenangi oleh penulis-penulis yang sama (jika adapun penulis lain, kekerapannya atau kemungkinannya cukup tipis).  

     Persoalannya, adakah itu suatu perkembangan yang tidak sihat? Bagi penulis, disebabkan ranah penulisan kreatif atau pengkaryaan sastera, lebih-lebih lagi bidang kritikan sastera, lebih ruwet daripada bidang sukan misalnya, maka, kemungkinan penulis yang sama (untuk beberapa kali dan/atau tahun) meraih hadiah yang sama, tidak dapat dihindari—ini disebabkan kemungkinan dalam tahun-tahun tertentu tidak muncul penulis lain yang menghasilkan karya yang melebihi kualiti karya yang dihasilkan oleh penulis yang memenangi hadiah itu dalam tahun atau tahun-tahun sebelumnya. Dalam konteks ranah kritikan sastera pula, hakikat yang harus diterima ialah, pengkritik sastera hanya beberapa kerat sahaja yang ada (dan itu pun muka-muka yang sama juga, kebanyakannya). 

     Sehubungan dengan itu, memang wujud juga keadaan apabila penulis yang sama yang meraih hadiah bagi genre tertentu, genre cerpen atau puisi contohnya, dalam tahun dan tahun-tahun sebelumnya. Namun, situasi itu bukan sahaja berlaku di Sarawak, walau bagaimanapun, terjadi di hampir semua negeri yang ada program Hadiah Sastera masing-masing. Sebagai contoh yang terbaharu ialah Hadiah Sastera Darul Iman V (HASDI V) yang diadakan 5 Mac 2022. Hadiah Karya Sastera Bahagian A (buku perseorangan), dan Bahagian B (eceran). Daripada 44 (utama dan penghargaan), 13 orang penulis yang sama menerima dua atau lebih hadiah bagi Bahagian A dan B. Hanya 9 orang penulis yang menerima satu hadiah sahaja. 2 orang penulis yang sama, masing-masingnya menggondol 5 dan 8 kategori hadiah dalam HASDI V, hadiah sastera dwitahunan tersebut. 

     Justeru, dapat dirumuskan bahawa penulis yang sama yang saban tahun menerima hadiah ataupun memenangi hadiah dalam pelbagai sayembara yang diadakan di Sarawak, bukanlah sesuatu yang luar biasa, tetapi yang lazim berlaku di mana-mana negeri, termasuklah penulis yang sama memenangi hadiah kategori esei kritikan. 

     Akhirulkalam, yang perlu diimarahkan ialah, segala ruang dan peluang untuk menjadi pengkritik sastera yang berwibawa, hendaklah dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh semua penulis, dan seboleh mungkin berusaha untuk tidak menjadi pengkritik sastera musiman. 

 
 
Advertisement