MIRI: Sehubungan dengan kempen pengembaraan Sia Sitok Sarawak 2022, inisiatif bersama Lembaga Pelancongan Sarawak dan Persekutuan Pelancongan Sarawak, warga Sarawak kini boleh menikmati percutian ke Borneo Tropical Rainforest Resort pada separuh harga.
Promosi ini adalah khas untuk warga Sarawak yang dapat menikmati diskaun 50 peratus yang merangkumi lawatan sehari mahupun bermalam di chalet kayunya termasuk sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam.
Pemilik Borneo Tropical Rainforest Resort Henry Law Ing Hua pada sidang media berkata, disebabkan sambutan menggalakkan Sia Sitok sebelum ini pada Oktober 2021, pencinta alam semula jadi akan sekali lagi dapat menikmati harga diskaun istimewa apabila mengunjungi resort tersebut.
Tempahan melalui dalam talian sahaja dari 1 Mac 2022 hingga 30 April 2022, manakala tempoh lawatan adalah dari 1 Mac 2022 hingga 31 Mei 2022.
Para pelanggan boleh membuat tempahan dalam talian di laman https://www.hotelsarawak.com.my/reservations/property/BTRR.
Borneo Tropical Rainforest Resort adalah sebuah resort agropelancongan yang terletak dalam persekitaran semula jadi hutan hujan tropika yang asli dan subur di Bukit Lambir bersebelahan dengan Taman Negara Lambir.
Terletak di sepanjang Jalan Miri-Bintulu, resort ini hanya 30 minit pemanduan atau 32km dari Lapangan Terbang Miri dan 50 minit pemanduan atau 39km dari bandar raya Miri.
Borneo Tropical Rainforest Resort memiliki pelbagai koleksi unik spesies pokok hutan dan serangga yang hanya boleh ditemui di hutan hujan Borneo.
Para pencinta alam dan pengembara dapat merasai pengalaman sebenar bersama pokok-pokok eksotik dan spesies tumbuhan, bersiar-siar dan nikmati buah-buahan tropika segar dari ladang dusun mahupun menganjurkan lawatan sambil belajar ke ladang haiwan domestik.
Terdapat juga sebuah taman air di mana para keluarga bersama anak-anak mereka boleh bermandi-manda di kolam renang atau bermain gelongsor air.
Para pengunjung juga boleh bersantai dan nikmati sajian masakan antarabangsa dan tempatan di One Tree Hill Café dan Palm Restaurant & Bar yang menghadap Bukit Lambir yang indah dan berpanorama.
Selain penginapan dan kemudahan biasa yang disertakan bersamanya, Borneo Tropical Rainforest Resort juga menawarkan lawatan seharian yang mencabar, penginapan bermalam dan pakej percutian.
Resort ini sesuai untuk pencinta alam semula jadi, kaki pancing, pengembara dan juga tempat beriadah bersama keluarga.