Anda di sini

Gagal tunjuk KP dan berjudi dalam talian, buruh didenda RM4,500

Advertisement

MIRI: Gagal tunjuk kad pengenalan ketika diperiksa dan menjalankan kegiatan perjudian dalam talian secara haram, seorang buruh didenda RM4,500 atau empat bulan penjara oleh Mahkamah Majistret.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi setelah meneliti kesemua aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh serta mengambil kira keterangan fakta kes.

Cedricktha Nelson, 22, dari Kampung Sealine, Lutong di sini, telah mengikut Peraturan 25 (1) (n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara (PPN) 1990 dan dihukum di bawah Peraturan 25 (1) peraturan yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda sehingga RM20,000, jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, tertuduh sebagai seorang yang bukan dikecualikan sepertimana Peraturan 27 Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara (PPN) 1990, didapati gagal mengemukakan kad pengenalan apabila diminta oleh pegawai polis untuk tujuan pemeriksaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 4.10 petang, 15 Mac lalu di tepi Jalan Senadin di sini.

Selain itu, tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Menurut keterangan kes, tertuduh telah ditahan pada jam 4.10 petang 15 Mac lalu di tepi Jalan Senadin di sini untuk tujuan pemeriksaan kerana disyaki terlibat kegiatan perjudian dalam talian secara haram.

Polis yang membuat pemeriksaan lanjut ke atas telefon pintar milik tertuduh mendapati ia mengandungi aplikasi yang dipercayai digunakan untuk bermain judi secara dalam talian.

Berikutan itu, tertuduh telah ditangkap dan telefon bimbitnya dirampas untuk dijadikan barang kes.

Hasil siasatan lanjut polis mendedahkan tertuduh telah bermain judi dalam talian jenis 'Game Of Change' tanpa mempunyai lesen yang sah.

Bagi kesalahan pertama, tertuduh didenda RM2,000 atau dua bulan penjara dan denda RM2,500 atau dua bulan penjara bagi kesalahan kedua.

Pendakwaan dilakukan ASP Koay Kok Ping, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela

Advertisement