Anda di sini

Polis serbu premis 'melombong' Bitcoin haram, seorang lelaki ditangkap 

Advertisement
Antara barang-barang elektronik yang digunakan untuk melombong mata wang kripto secara haram, di premis berkenaan.
Antara barang-barang elektronik yang digunakan untuk melombong mata wang kripto secara haram, di premis berkenaan.

KOTA SAMARAHAN: Polis Kota Samarahan menumpaskan kegiatan perlombongan mata wang kripto (Bitcoin) secara haram di sebuah premis, di sini pada Sabtu. 

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, DSP Sudirman Kram berkata, tindakan itu dilakukan menerusi Op Mining oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan bersama Sarawak Energy Berhad sekitar jam 1.40 petang. 

Menurutnya, dalam operasi itu pihaknya membuat serbuan ke atas sebuah premis di kawasan Kuching Outer Ring Road Uni Capital, di sini. 

"Hasil pemeriksaan mendapati penyambungan elektrik secara haram telah dilakukan daripada semua aliran pendawaian ke suis utama di bangunan tersebut," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. 

Sudirman menambah, sebelum serbuan dilakukan, pasukan terpaksa bertindak memotong mangga pintu sebelum memecah masuk ke dalam permis. 

"Dalam Op berkenaan, polis merampas 131 unit mesin perlombongan (mining Bitcoin), enam unit penghala (router) manakala satu unit masing-masing monitor komputer, unit pemprosesan pusat (CPU), papan kekunci dan tetikus," jelasnya.

Katanya, kesemua rampasan telah dibawa ke IPD Kota Samarahan untuk tindakan selanjutnya. 

Dalam operasi yang sama, jelasnya polis juga berjaya membuat tangkapan ke atas seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 24 tahun. 

"Lelaki itu dipercayai mempunyai akses kepada premis tersebut untuk membantu siasatan," tegasnya. 

Ujarnya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan. 
 

  • oleh
  • Advertisement