Anda di sini

Sarawak ikut memasuki fasa peralihan ke endemik mulai 1 April

Advertisement
 

KUCHING: Sarawak turut akan memasuki fasa peralihan ke endemik seperti diumumkan kerajaan persekutuan bermula 1 April ini, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas (gambar). 

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata langkah ini adalah bagi membolehkan rakyat kembali menjalani hidup secara normal selepas dua tahun berperang dengan COVID-19. 

Dengan memasuki fasa peralihan ke endemik, ini bermaksud sempadan akan dibuka dan mereka dari luar negara boleh memasuki negeri dengan keperluan kesihatan yang kurang ketat. 

“Bagi Sarawak, JPBNS kini merancang logistik dan strategi untuk membolehkan sempadan kita dibuka. 

“Prosedur operasi standard (SOP) yang ketat akan dilonggarkan dan dikurangkan dan kita akan maklumkan orang ramai nanti SOP baharu. 

“Bagaimanapun ia bukan bermaksud COVID-19 bukan lagi satu ancaman. Ia masih lagi menular di sekeliling kita dan sangat penting untuk kita kekal berjaga-jaga setiap masa,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Persidangan Kebangsaan Wanita Dayak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini malam semalam.  

Uggah turut mengingatkan rakyat negeri ini yang layak untuk menerima dos penggalak untuk segera mendapatkannya kerana terbukti dos penggalak dapat membantu melawan COVID-19. 

Katanya semalam Sarawak merekodkan 1,316 kes jangkitan harian COVID-19 dan beliau berharap jumlah ini akan menurun melihat kepada trend penurunan dalam beberapa hari lepas. 

Jelasnya lagi terdapat 208,486 rakyat Sarawak yang layak namum belum menerima dos penggalak dan beliau berharap mereka ini segera mendapatkannya. 

“Kita juga aktif memberikan vaksinasi kepada kanak-kanak 5 hingga 11 tahun dan setakat 16 Mac 2022, 65.7 peratus daripada kanak-kanak kita telah divaksin. 

“Jadi, jika ada anak-anak rakan-rakan dan saudara anda yang tidak divaksin, tolong nasihatkan mereka untuk mendapatkannya bagi melindungi anak-anak,” katanya. 

Sarawak katanya juga merupakan salah satu negeri di Malaysia yang mencapai kadar vaksinasi dos penggalak yang sangat tinggi iaitu 80.4 peratus setakat 16 Mac 2022. 
 

  • oleh
  • Advertisement