Anda di sini

Bacho Pilong - Dulu budak pulau, kini Naib Presiden Kanan Petronas

Advertisement
Bacho Pilong, Naib Presiden Kanan, Pelaksanaan Projek dan Teknologi, Petronas
Bacho Pilong, Naib Presiden Kanan, Pelaksanaan Projek dan Teknologi, Petronas

KUALA LUMPUR: Siapa sangka di sebalik kejayaan Naib Presiden Kanan, Pelaksanaan Projek dan Teknologi, Petronas, Bacho Pilong mempunyai kisah yang tersendiri.

Mengimbau kembali perjalanan kerjayanya, Bacho berkata, ia bukanlah mudah namun atas dorongan semangat yang kuat dan tidak mudah berputus asa menjadikan dirinya mampu berjaya seperti sekarang.

Bacho berkata, pada pertengahan tahun 1982 iaitu ketika berumur 17 tahun, beliau telah ditawar melanjutkan pelajaran dalam bidang Kejuruteraan Kimia di bawah Program Penajaan Pendidikan Petronas.

"Sememangnya hari itu adalah hari yang bermakna, menandakan bermulanya langkah kembara dari kampung halaman di Pulau Sebatik, Sabah merentas ke luar negara ke Austin, Texas di Amerika Syarikat.

"Saya sangat teruja kerana itulah kali pertama saya keluar dari Sabah dan juga pengalaman pertama saya menaiki kapal terbang. Ketika itu, menaiki kapal terbang adalah sesuatu yang istimewa.

"Namun pada masa sama, banyak perkara yang bermain di benak fikiran saya dan saya juga tertanya-tanya di mana sebenarnya Texas kerana pada masa itu tiada teknologi seperti Google untuk mendapatkan maklumat," ceritanya.

Tanpa beliau sedari, perjalanan keluar dari pulau kelahiran dan tempat membesarnya itu menandakan bermulanya detik kembara Bacho yang membawanya ke dunia kerjaya luar biasa bersama Petronas yang kini telah menjangkau tiga dekad.

Bercerita lanjut, Bacho berkata, cabaran pertama yang dihadapi sebaik tiba di Austin adalah tahap penguasaan bahasa Inggeris, iaitu satu-satunya subjek yang tidak dikuasai Bacho dengan begitu baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Saya perlu mengambil ujian penilaian penguasaan bahasa Inggeris. Untuk ujian itu, tahap paling rendah adalah Tahap 1 dan yang tertinggi adalah Tahap 5. Pelajar Malaysia pada masa itu biasanya mencapai Tahap 4 tetapi keputusan saya hanya pada Tahap 2.

"Saya terkejut, tetapi saya perlu melakukan sesuatu untuk mengubah nasib saya, saya harus bangkit," katanya sambil menambah, pencapaiannya bertambah baik melalui pembacaan seterusnya menjadikan skornya meningkat ke Tahap 4 dalam tempoh satu semester.

Dalam suasana baharu di rantau orang, Bacho tetap bertahan dan berpegang teguh kepada nilai-nilai yang dipupuk sejak kecil di Pulau Sebatik.

Malah, kebolehan untuk menyesuaikan diri ternyata merupakan antara kekuatannya, yang kemudian terus berkembang ketika beliau melangkah ke alam kerjaya bersama Petronas.

 Bacho (dua kiri) bersama-sama rakan sekolah di SMK Wallace Bay, Pulau Sebatik.
ZAMAN PERSEKOLAHAN: Bacho (dua kiri) bersama-sama rakan sekolah di SMK Wallace Bay, Pulau Sebatik.

Berhadapan dengan pengangguran

Langit tidak selalunya cerah selepas apa yang disangkakan tidak berjalan lancar bagi Bacho. Selepas menamatkan pengajian dari Universiti Texas pada tahun 1987, kemelesetan ekonomi sedang melanda Malaysia dan Bacho berdepan dengan pengangguran.

Situasi itu memaksa Bacho memikirkan langkah seterusnya kerana duduk berdiam diri dan menunggu peluang tiba bukanlah pilihannya.

Usahanya keluar daripada pengangguran memaksanya untuk sering bertukar daripada satu pekerjaan kepada pekerjaan lain, termasuk dalam perusahaan getah dan di ladang kelapa sawit.

Ketika ditanya bagaimana mengaitkan keadaannya ketika itu dengan cabaran yang dihadapi golongan belia masa kini yang sedang melanjutkan pengajian atau menamatkan pengajian dalam era mencabar, Bacho berkata, adalah penting untuk kuat semangat dan tidak mudah berputus asa.

"Bayangkan setelah belajar bersungguh-sungguh untuk mendapatkan segulung ijazah dan tiba-tiba menganggur, tentulah kita rasa tertekan. Tetapi walau apa pun, jangan putus harapan," katanya.

 Bacho (barisan hadapan, kanan sekali) bersama pelajar tajaan Petronas dari Sabah dan Sarawak Sebelum berlepas ke Amerika Syarikat pada pertengahan 1982.
PERMULAAN: Bacho (barisan hadapan, kanan sekali) bersama pelajar tajaan Petronas dari Sabah dan Sarawak Sebelum berlepas ke Amerika Syarikat pada pertengahan 1982.

Penjelajah berhati cekal

Selepas bergelut dengan pengangguran selama beberapa tahun, sinar harapan bagi Bacho tiba apabila menerima panggilan daripada Petronas untuk menyertai syarikat itu sebagai Jurutera Proses di Petronas Carigali Sdn Bhd Operasi Sabah pada April 1992.

Ketika itu, Petronas sedang bekerjasama dengan sebuah lagi syarikat minyak dan gas di medan minyak Samarang. Tidak lama selepas itu, atas tuntutan kerja Bacho berpindah ke Miri, Sarawak untuk mengendalikan penyerahan lapangan itu kepada Petronas.

"Ketika saya mula-mula bekerja dulu, tidak banyak latihan berstruktur yang disediakan. Hakikatnya, kami perlu segera menguasai bidang kerja kami.

"Walaupun kami mempunyai seorang pegawai senior yang menyelia kami ketika itu, tetapi kami lebih banyak belajar sambil bekerja... kami belajar, bangkit daripada kesilapan dan meneruskan tugas," katanya.

Ternyata Bacho menyerlah dalam kerjayanya. Hanya selepas enam tahun bekerja, Bacho diberi kepercayaan untuk mengetuai operasi luar pesisir lapangan Ruby di Vietnam yang merupakan usaha pertama Petronas di luar negara.

Beliau kembali ke Malaysia pada 2004 untuk mengetuai operasi Sarawak sebelum dihantar untuk satu lagi tugasan antarabangsa, kali ini ke benua Afrika sebagai Presiden sebuah syarikat operasi bersama di Republik Sudan dan kemudiannya di Sudan Selatan.

Bacho juga pernah dilantik sebagai Naib Presiden Aset Antarabangsa dan Pengurus Besar Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia iaitu cabang pengawalseliaan penerokaan dan pengeluaran yang diletakkan di bawah kumpulan Petronas.

Sebelum dilantik sebagai Naib Presiden Kanan PD&T pada Ogos 2021, Bacho telah dilantik sebagai Naib Presiden Petronas bagi Aset Malaysia dan Ketua Pegawai Eksekutif PCSB masing-masing pada bulan Jun dan Ogos 2019.

Sepanjang kerjayanya, Bacho merentas dunia dalam tuntutan kerjayanya yang membuatkannya digelar sebagai penjelajah berhati cekal dalam kalangan kakitangan Petronas.

 Antara gambar kenangan Bacho di atas kapal bekalan semasa bertugas di Vietnam.
PENGALAMAN: Antara gambar kenangan Bacho di atas kapal bekalan semasa bertugas di Vietnam.

Pesanan kepada bakat muda

Sementara itu, berkongsi mengenai tip kejayaannya, Bacho berkata, anak muda harus bersedia meninggalkan zon selesa jika mereka bercita-cita untuk maju dalam kerjaya masing-masing.

"Sekiranya laluan untuk mencapai impian itu terlalu sukar, mulakan dengan langkah kecil dahulu, kita harus mengambil langkah kecil yang pertama,"

"Bagi saya, langkah pertama yang saya ambil adalah keluar dari Sabah. Mungkin saya beruntung kerana mempunyai biasiswa ketika itu,"

"Tetapi saya juga mengambil banyak langkah kecil sepanjang kerjaya saya, seperti berpindah ke Miri. Saya anggap ia adalah langkah kecil kerana Miri tidaklah jauh dari Kota Kinabalu," tambahnya.

Bacho berkata, langkah- langkah kecil itulah yang melebarkan perspektifnya dan membuka peluang kepada tugasan yang lebih mencabar di Petronas.

"Dengan cara ini, lebih ramai orang akan mengenali dan menyedari keupayaan kita. Kita juga akan dapat membina rekod prestasi dan seterusnya diberi peluang memegang peranan yang lebih mencabar,"

"Begitulah cara kita berkembang, itulah prosesnya. Rasanya tiada cara lain yang lebih mudah daripada itu," katanya.

"Bakat muda juga perlu memiliki set kemahiran tertentu dan mengambil inisiatif untuk meneroka potensi diri sepenuhnya,"

"Jangan letakkan had terhadap sejauh mana kita mampu berkembang," katanya.

 Bacho (tengah, berjaket) bersama kakitangan Sudd Petroleum Operating Company semasa ditugaskan di Sudan Selatan.
LUAR NEGARA: Bacho (tengah, berjaket) bersama kakitangan Sudd Petroleum Operating Company semasa ditugaskan di Sudan Selatan.

Pembangunan kepimpinan

Mengenai kepimpinan, Bacho berkata individu yang berada di tampuk kepimpinan pula perlu mengambil peduli terhadap perkembangan kakitangan di bawah seliaannya supaya mereka juga dapat bergerak sepantas yang mereka mampu.

"Inilah yang disebut sebagai ¡¥pemimpin membangunkan pemimpin¡Š. Ketika saya ditugaskan ke Miri, antara perkara pertama yang saya lakukan adalah bertanya mengenai tempoh mereka telah berkhidmat di lokasi sama,"

"Sebahagian daripada mereka telah bekerja di sana selama 10 tahun dan saya menggalakkan mereka berpindah supaya dapat melangkah lebih jauh," katanya.

Sekolah dewasa tadika bagi Bacho

Menceritakan perjalanan hidupnya, Bacho bercakap tentang bagaimana ibu bapanya memupuk rasa tanggungjawab daripada kecil. Ini termasuk membawa mereka adik-beradik bersama-sama bekerja keras mengusahakan tanah, membersihkan hutan, bercucuk tanam dan menggali telaga untuk sumber air.

"Walaupun tiada pendidikan formal, mereka mementingkan persekolahan anak-anak dan memastikan kami belajar dengan baik dan itulah yang saya lakukan. Saya selalu berada di kedudukan tiga teratas dalam kelas.

"Satu daripada hadiah paling bermakna bagi saya kepada ibu bapa ialah apabila saya kongsikan keputusan peperiksaan setiap kali menjelang akhir tahun dengan rasa teruja, saya pulang membawa kad laporan untuk ditunjukkan kepada orang tua saya. Itu adalah saat-saat yang tidak dapat saya lupakan," katanya.

Bacho juga menceritakan bagaimana beliau sering mengikuti bapanya menghadiri kelas dewasa sejak beliau belum bersekolah lagi.

"Saya suka mengikuti bapa saya ke kelas tersebut. Pembelajarannya asas sahaja, iaitu mengenal huruf dan nombor. Dengan cara ini, ketika ayah saya belajar, saya turut belajar. Sekolah dewasa itulah tadika saya," katanya.

Beliau menekankan pentingnya pendidikan dan menggesa golongan muda mengembangkan minat dalam bidang sains dan matematik.

"Jika ada satu mesej yang ingin saya sampaikan kepada generasi muda ialah tidak kiralah dari mana mereka berasal, sama ada dari kampung, pulau dan sebagainya dan mesej itu ialah, jangan jauhi subjek matematik dan sains,"

"Ini adalah mata pelajaran yang dapat dikuasai sekiranya kita benar-benar mendalami dan tekun mempelajarinya," kata Bacho yang ditempatkan di kelas aliran sains ketika berpindah ke sekolah berasrama penuh di Tawau ketika di Tingkatan 4.

Bina rangkaian, luaskan interaksi

Bacho juga mengingatkan kepentingan untuk membina rangkaian terutama bagi golongan muda yang dibesarkan dalam era Internet sebagai sebahagian daripada proses pembangunan diri.

"Interaksi maya sahaja tidak cukup. Bagi saya, kita harus juga berinteraksi secara bersemuka. Saya menggalakkan bakat muda untuk menghadiri persidangan, bertemu dengan pemimpin dalam pelbagai industri dan membina rangkaian dengan individu-individu berpengalaman untuk mendapatkan inspirasi daripada mereka," katanya.

Beliau juga menggesa bakat muda di Petronas turut membantu memberi inspirasi kepada orang lain, khususnya dalam kalangan pelajar.

"Kita tidak perlu menunggu sehingga kita berjawatan tinggi untuk melakukan aktiviti sebegini," kata Bacho yang pernah ke sekolah-sekolah di Sabah untuk memberi inspirasi kepada pelajar.

 Bacho (barisan hadapan, empat kiri) bersama 15 pemimpin universiti tempatan selepas menandatangani MoU antara Petronas dan universiti berkenaan, termasuk Universiti Malaysia Sabah untuk memangkin perkongsian pengetahuan antara industri dan ahli akademik sejajar dengan matlamat kelestarian Petronas.
KERJASAMA: Bacho (barisan hadapan, empat kiri) bersama 15 pemimpin universiti tempatan selepas menandatangani MoU antara Petronas dan universiti berkenaan, termasuk Universiti Malaysia Sabah untuk memangkin perkongsian pengetahuan antara industri dan ahli akademik sejajar dengan matlamat kelestarian Petronas.

Ciri kepimpinan

Ketika ditanya mengenai bentuk gaya kepimpinannya, Bacho berkata: "Ia berpaksi kepada semangat perintis dan ini memang ada dalam diri saya.

"Tugasan saya di banyak tempat memberi pengajaran yang tersendiri. Bagi saya, kita perlu menyesuaikan cara kita memimpin dalam sesuatu keadaan dan bukan hanya bergantung kepada satu cara,"

"Sebagai contoh, di Sudan Selatan, situasi yang sukar itu menuntut wibawa yang tinggi. Di Kuala Lumpur pula, bekerja dengan ramai bakat muda, ia menuntut kepimpinan yang berbeza,"

"Kita perlu mempunyai daya pemerhatian yang tajam untuk melihat gaya kepimpinan yang sesuai dalam keadaan yang berubah-ubah," tambahnya.

Bacho berkata, pandemik COVID-19 dan cabaran dalam menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memerlukan pemimpin yang dapat membuat keputusan dengan cepat.

"Di sinilah pengalaman itu berguna untuk membimbing kita. Kata kuncinya adalah fleksibiliti iaitu keupayaan kita untuk menyesuaikan diri dalam keadaan yang sentiasa berubah-ubah dalam melaksanakan tuntutan kepimpinan kita," katanya.

Merenung kembali

Ketika ditanya rumusan perjalanan hidupnya, dari permulaan yang sederhana di Pulau Sebatik kepada jawatan kepimpinan kanan di Petronas, Bacho berkata: "Petronas adalah sebuah organisasi yang berasaskan merit."

"Bagi saya, dan berdasarkan pemerhatian saya, sesiapa sahaja mampu berada dalam posisi kepimpinan jika kita menunjukkan rekod prestasi yang baik dan mengamalkan nilai-nilai yang dikongsi bersama dalam sesuatu organisasi.

"Jangan jadikan titik mula kita sebagai alasan untuk mengatakan kita tidak mampu pergi jauh hanya kerana kita bermula di titik itu, jangan biarkan permulaan langkah kita menentukan pengakhiran perjalanan kita," katanya menutup bicara.

Advertisement