Anda di sini

Sekolah digalak untuk bangunkan persekitaran pembelajaran digital 

Advertisement
Lukanisman (tujuh kiri), Faisal (belakang kiri), Linda (lima kanan) bersama wakil-wakil sekolah pada majlis penyerahan komputer YS-CAPS di Miri, semalam.
Lukanisman (tujuh kiri), Faisal (belakang kiri), Linda (lima kanan) bersama wakil-wakil sekolah pada majlis penyerahan komputer YS-CAPS di Miri, semalam.

MIRI: Semua sekolah digalak untuk membangunkan persekitaran pembelajaran digital dengan penyediaan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) daripada kerajaan negeri.
 
Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni berkata, seiring perkembangan teknologi dan media sosial, pendigitalan sekolah-sekolah mampu memperkasa bakat-bakat dan kreativiti pelajar. 

"Kita berdepan dengan perkembangan digital dan menggalakkan kreativiti anak-anak. Kita mendapati anak-anak mempunyai pelbagai potensi," ujarnya pada majlis penyerahan komputer bawah Program Bantuan Komputer Sekolah Yayasan Sarawak (YS-CAPS) di sini semalam.

Lukanisman berkata, program tersebut sebagai tambahan dan usaha YS menambah keperluan ICT dengan kapasiti terkini di sekolah-sekolah. 

"Saya mahu semua komputer itu digunakan sepenuhnya oleh pelajar dan guru. Ini kerana penggunaan media sosial dan komputer sangat meluas sekarang," jelasnya. 

Mengenai program itu, ia melibatkan kerjasama YS, Swinburne University dan PC Image dengan menawarkan sumbangan komputer, rundingan dan bantuan teknikal kepada sekolah-sekolah. 

Pada majlis itu, sebanyak 150 komputer diagihkan kepada 21 sekolah di sekitar kawasan Bekenu dan Miri. 

Daripada jumlah itu, sebanyak 19 sekolah adalah sekolah rendah dan dua sekolah menengah. 

Penerima ialah SK Batu Niah, SK Kampung Tarikan, SK Tangap, SK Rumah Tinggi, SK Saeh, SK Beliau Isa, SK Kelapa Sawit No. 2, SK Bakas, SK Beliau Ahad, SK Tawakal Satap, SMK Bekenu dan SK Bekenu. 

SK Kampung Beraya, SK Kampung Bakam, SK Lutong, SK Anchi, SJKC Chung Hua Bakam, SJKC Tukau, SK Datuk Muip, SK Riam No. 2 dan SMK Luak. 

Setiap sekolah masing-masing menerima antara enam hingga lapan unit komputer dan pemasangan dilakukan pada bulan ini. 

"Terdapat sekolah di Parlimen Sibuti belum mampu menerima komputer ini kerana tiada ruang dan masih terdapat sekolah masih daif," katanya.
 
Lukanisman turut menyampaikan sumbangan geran berjumlah RM60,000 kepada 20 sekolah.

Sementara itu, Penolong Pengarah YS, Mohd Faisal Jaffar memberitahu projek di Miri bermula pada 2019 dengan sumbangan 10 komputer masing-masing ke SMK Riam dan SMK Luar Bandar Miri. 

Sebanyak 50 komputer diagihkan kepada tujuh sekolah di sini pada 2021. 

Kaunselor Eksekutif Pendidikan Swinburne, Linda Aran turut hadir menyampaikan taklimat tentang universiti itu. 
 

  • oleh
  • Advertisement