Anda di sini

Gabvellnia tawar percutian ala Kundasang

Advertisement
Pengunjung yang datang mencipta kenangan di Gabvellnia.
Pengunjung yang datang mencipta kenangan di Gabvellnia.

BAGI yang pertama kali bertandang ke Inap Desa Gabvellnia, Bawang Obor dekat Limbang pastiya akan menikmati suasana sebenar percutian seperti berada di tanah tinggi Kundasang di Kota Kinabalu, Sabah.

Bukan itu sahaja, inap desa ini menawarkan pakej lengkap percutian untuk pengunjung yang datang.

Selain menikmati keindahan flora dan fauna, kehijauan hutan dan pemandangan menarik cukup menggambarkan seolah-olah pengunjung berada di kaki Gunung Kinabalu.

Mengambil masa satu jam perjalanan dari bandar, pengunjung yang datang akan merasai keterujaan dan debaran menaiki kenderaan pacuan empat roda yang disediakan untuk menelusuri kaki bukit pada ketinggian 500 meter dari jalan utama ke Inap Desa Gabvellnia.

Sebaik berada di puncak bukit, pengunjung seolah-olah berada di Kundasang sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

Malah Gabvellnia juga sesuai untuk pasangan suami isteri dan pasangan kekasih yang ingin melakar kenangan berlatarbelakangkan keindahan hutan dan dekorasi ‘bunga-bunga cinta’ ilham pemiliknya Stevevelly Bonua dan isterinya Shanty Tam.

Pasangan suami isteri berbangsa Bisaya dari Bawang Obor ini memberi jaminan pengunjung yang datang pasti akan mencipta kenangan terindah di inap desanya.

Menurut Steve lagi, Inap Desa Gabvellnia dibina di kebun milik ayahnya Bonua Kandi seluas 13 ekar yang terletak di puncak bukit.

Inap Desa Gabvellnia menawarkan suasana percutian ala-ala Kundasang.
Inap Desa Gabvellnia menawarkan suasana percutian ala-ala Kundasang.

Jelas beliau ilham untuk membangunkan kawasan kebun miliknya tercetus selepas melihat banyak pakej pelancongan dari negaral luar seperti di Indonesia menerusi  laman sosial TikTok dan YouTube.

Anak ketiga  daripada lima adik beradik ini enggan membuang masa untuk merealisasikan impiannya.

Jelasnya, bermodalkan bajet hampir RM100,000 Gabvellnia menawarkan kemudahan untuk bermalam dengan bayaran RM150 semalam, selain dilengkapi tempat untuk makan dan minum, bersantai ataupun aktiviti barbeku pada malam hari.

Katanya, kedudukan Gabvellnia yang terletak di puncak bukit sangat sesuai untuk dijadikan kawasan inap desa bagi mereka yang gemar dan ingin menikmati keindahan alam serta lari daripada kesibukan kota.

“Selepas melihat tempat pelancongan tanah tinggi di Kundasang Sabah dan Indonesia melalui YouTube dan Tiktok memang memberi inspirasi dan semangat untuk kami mengusahakan inap desa ini.

“Dengan berkonsepkan percutian atas bukit, pengunjung seolah-olah berada di Kundasang," katanya kepada wartawan Utusan Borneo yang merasai sendiri keunikan inap desa itu baru-baru ini.

Pengunjung yang datang hanya dikenakan bayaran masuk RM3 sekiranya tidak menginap.

Jelasnya, idea membangunkan Inap Desa Gabvellnia bermula bulan Jun tahun lepas dan selepas enam bulan destinasi pelancongan Inap Desa Gabvellnia Bawang Obor berjaya ditubuhkan.

“Nama Gabvellnia ini juga dekat di hati kami dan tercetus sempena nama ketiga-tiga anak kami.

“Tidak sangka sambutan diterima pada awal penubuhan Disember tahun lalu sangat luar biasa.

"Meskipun musim COVID-19, pengunjung tidak putus-putus datang dan mengikut garis panduan (SOP) ditetapkan,” katanya.

Menurt Steve, lebih manis lagi apabila Inap Desa Gabvellnia melakar sejarahnya tersendiri merekodkan kedatangan 700 pengunjung sehari sepanjang Disember 2021.

Jelasnya, sepanjang tempoh itu hingga kini Gabvellnia merekodkan purata 500 hingga 600 pengunjung sehari iaitu petanda positif terhadap pertumbuhan sektor pelancongan domestik.

“Selain musim cuti sekolah, pengunjung amat mendambakan pusat pelancongan untuk berkunjung terutama di daerah ini yang berdepan kesukaran rentas sempadan.

“Malah Gabvellnia ini satu pilihan terbaik bagi rakyat Limbang yang tidak keruan kerana tidak dapat merentas daerah sejak dua tahun lalu untuk bercuti seisi keluarga," katanya lagi.

Kata beliau lagi, COVID-19 memberi hikmah tersendiri.
“Musim COVID-19 ini juga memberi hikmah tersendiri apabila Gabvellnia berjaya ditubuhkan sebagai satu lagi destinasi pelancongan untuk penduduk di daerah ini,” tambahnya.

Malah katanya, selain pengunjung tempatan Gabvellnia turut dikunjungi pengunjung dari bahagian lain membabitkan bahagian Kuching, Miri dan juga dari negeri Sabah.

Keindahan alam semula jadi dari puncak bukit.
Keindahan alam semula jadi dari puncak bukit.

Stevevelly yang bercita-cita untuk mempromosikan inap desanya sebagai destinasi pelancongan terunggul di utara Sarawak akan meningkatkan lagi serta menaik taraf kemudahan di sini.

“Pada masa ini saya sedang menaik taraf Gabvellnia dengan menambah enam lagi  bilik tidur, kolam renang mini dan gim mini sesuai untuk pengunjung yang datang.

“Selain menikmati keindahan alam semula jadi, pengunjung juga boleh melakukan aktiviti lasak dengan kemudahan yang sedang dinaik taraf di Gabvellnia,” katanya.

Seorang pengunjung, Shlly Mxz, 40, dari Kuching, tidak melepaskan peluang bercuti di tanah kelahirannya Limbang dengan memilih Gabvellnia sebagilai lokasi percutiannya kali ini.

“Limbang sentiasa dekat di hati dan waktu cuti yang ada dimanfaatkan untuk melepas tekanan di Inap Desa Gabvellnia.

“Memang berbaloi,sangat menarik Inap Desa Gabvellnia mempunyai keunikan tersendiri, seperti berada di puncak gunung Kinabalu,”katanya.

Shlly bersama ahli keluarga besarnya mengunjungi inap desa itu buat kali pertama hujung Februari lalu sebaik ia popular dan tular dalam laman sosial.

“Dekorasinya memang cantik, suasana yang tenang dan menyeronokkan.

“Bagi mereka yang menetap di ibu kota dan sibuk dengan tugasan, Gabvellnia amat sesuai sebagai 'terapi' dan destinasi percutian untuk seisi keluarga,” ujarnya lagi.
 

  • oleh
  • Advertisement