Anda di sini

Tikus!

Advertisement
 

Oleh Ilya Alias

KESABARAN yang menjalar sejak pukul tujuh pagi tadi terjarah tatkala melihat hidangan yang masih membukit di penjuru dewan. Beberapa ekor lalat sudah lama meninjau barisan meja yang dipenuhi dengan lima jenis hidangan utama; acar buah, daging masak hitam, kari daging dengan kentang, ayam goreng dan ulam-ulaman. Tiga orang pekerja katering yang ditugaskan untuk memastikan semua tetamu mendapat makanan dengan mematuhi penjarakan sosial seperti yang disarankan oleh kerajaan masih berdiri tegak, tabah menghalau dengungan lalat yang bersipongang di sekeliling makanan. Salah seorang pekerja tersebut, kira-kira dalam lingkungan dua puluhan menoleh ke kiri dan kanan, mencari kerusi kosong untuk duduk. Kelesuan menanti tetamu yang lambat-lambat tiba memang memenatkan. Pekerja lelaki itu bingkas bangun, sedia untuk melayani seorang lelaki dan anaknya yang baru tiba. 
    “Nasi minyak ini cukupkah, encik?”
Lelaki itu menunjukkan tanda bagus. Pinggan berisi nasi minyak bertukar tangan. Dia meninjau sekali lalu menu masakan lantas berhenti di hadapan dulang besar yang berisi ayam goreng dan ulam-ulaman. 
    “Daging?” 
Soalan pekerja lelaki tersebut dibalas dengan gelengan. Anaknya pun sama, masing-masing lebih selesa memilih ayam goreng dan ulam-ulaman. Sekali lagi, pekerja katering itu saling berpandangan. 
Ramdani yang segak berbaju Melayu dengan sampin yang tersisip kemas langsung tidak merasakan sejuk kipas yang dipasang berhampirannya. Kemudahan pendingin hawa tidak dapat digunakan dalam dewan tersebut kerana mematuhi prosedur operasi standard bagi mengekang penularan virus Covid-19. Majlis sambutan hari jadi anak keduanya boleh dikatakan meriah apabila semua ahli keluarga besarnya pulang untuk meraikannya, tetapi tidak semua tetamu jemputan dan kenalan yang dapat hadir. Makanan yang disediakan untuk 300 orang tetamu juga masih bertimbun, tambah-tambah masakan daging. Dia mengeluh dalam diam. Kaca mata ditanggalkan, digosok pada lengan baju Melayunya perlahan-lahan sambil melangkah ke arah tiga orang pekerja lelaki yang sudah mula mengemas meja.
    “Sudah pukul empat petang, encik. Kami kena mula mengemas sekarang kerana perkhidmatan katering tamat pada pukul empat petang. Selepas ini kami kena bersihkan seluruh tempat ini pula.” 
Ramdani mengangguk.
 “Kamu bungkuskan semua makanan yang tidak habis di dalam plastik. Nanti masukkan dalam besen besar dan letakkan dalam kereta saya. Saya hendak hantar ke rumah anak-anak yatim di pekan tu nanti.” 
Sudah dia khabarkan kepada isterinya untuk menangguhkan sahaja majlis hari jadi anak perempuan mereka, tetapi tidak dihiraukan. Setiap tahun, sambutan majlis hari jadi anaknya memang diadakan dengan meriah kerana isterinya berasal dari orang ada-ada. Kalau tidak melebihi kos peruntukan sepuluh ribu untuk menyambut hari lahir anak-anaknya, memang tidak sah. Pandai isterinya merancang majlis sehingga kehebatan kek hari jadi anak-anaknya menjadi viral di seluruh Malaysia. 
Namun, sambutan kali ini benar-benar meningkatkan tekanan darah. Manakan tidak, semua menu yang berasaskan daging langsung tidak disentuh oleh sesiapa. Dia sendiri naik mual melihat berbesen-besen lauk tidak habis. Mujurlah ada rumah anak yatim yang menerima hidangan tersebut. Kalau tidak, pasti ke tanah jawabnya. 
    “Ini semua gara-gara isu daging kanggaru dan kudalah!” Wajah isterinya yang mencuka kian muncung apabila teringatkan bebelan kebanyakan tetamu yang sudah tidak lalu menjamah daging. 
“Saya sudah beritahu abang jangan ambil menu daging. Masih juga nak masukkan menu tu dalam majlis kita. Bukan satu, dua menu pula tu.” 
Ramdani meraup wajah sambil memandang kereta Toyota Vellfire yang di parkir rumah mereka. 
    “Awak juga yang beriya-iya hendak buat menu daging. Selalu, awak yang hendak sangat menu daging sebab nampak mewah, kan?” 
Isterinya pura-pura tidak dengar sambil sibuk meleretkan jari di skrin telefon pintar. Isu kartel daging yang mendominasi akhbar arus perdana ketika ini sudah popular mengalahkan isu ahli-ahli politik yang disabitkan dengan kes pecah amanah. Dalam diam, dadanya berdebar sakan! 
Dunia dirasakan bergegar apabila ladang ternakan lembu yang sekangkang kera itu diserbu oleh ramai pembeli dalam tempoh seminggu dua ini. Semua lembunya yang matang untuk disembelih laku keras sehingga dia termengah-mengah menggulung kain pelikat yang hampir terlondeh kerana kepenatan menguruskan hal-hal penyembelihan serta penghantaran daging lembu. Isterinya yang langsung tidak tahu menahu tentang telefon juga sudah menjadi setiausaha tetapnya dan dihadiahkan sebuah telefon pintar bagi membantunya menguruskan pesanan yang sentiasa penuh, dua puluh empat jam! 
    “Kalau begini, bang.... Memang pergi ke Mekah setiap tahun kita.” Mak Nab tidak lekang-lekang melihat skrin telefon bimbitnya yang kerap kali bernyala sehingga terganggu fokus untuk memasak. 
    “Eh, aku ni risau kalau lama-lama begini, Nab. Lembu bukannya membesar sehari dua, Nab. Bertahun baru dapat sembelih dan jual. Lembu kita pun bukannya banyak ekor. Kau tengok bangsal lembu kita tu, Nab. Dah menyusut!” 
    “Bang Lebai tidak jadi hendak beli lembu daripada Ah Meng?” 
Dia ingat akan hasrat Lebai Malim yang pernah disuarakan kepadanya tahun lepas untuk membeli beberapa ekor lembu daripada Ah Meng. Ah Meng ibarat guru dalam dunia penternakan lembu kerana dia sudah berjaya menjadikan penternakan lembu tempatan sebagai sumber ekonomi yang utuh. Bahkan, lembu-lembu tempatannya juga telah diekspot ke luar negara. 
    “Aku sudah telefonnya semalam...” perlahan nada suara Lebai Malim. Diletakkan lebai putih di atas meja makan kayu yang sudah berpuluh tahun menghuni rumah mereka. 
“Katanya lembunya juga hampir habis kerana permintaan tempatan yang kian tinggi.” 
“Boleh buat duit sungguh musim ni...” 
Kepulan asap kecil muncul di celah-celah sayur bayam goreng naik ke udara. Mengusik deria hidu Lebai Malim sehingga menggugat kesabaran untuk menjamah menu tengah hari mereka. 
“Aih! Tunggu dahulu, belum siap lagi makanan tengah hari yang lain.” 
Lebai Malim menarik tangannya yang hampir menyentuh permukaan pinggan berisi bayam. Perutnya berbunyi sakan setelah seharian berada di ladang menguruskan pembahagian daging yang ditempah oleh para pembeli. Semenjak dua ini, kehidupan dua laki bini itu persis Singapura yang dilanggar todak kerana tidak tentu arah. Mak Nab terpaksa memasak dengan mengerling lebih banyak pada skrin telefon di penjuru dapur. Lebai Malim tidak sempat membasuh selut di kaki kerana hampir sepanjang hari dia bergelut di bangsal lembu sahaja, kecuali ketika tiba waktu solat. Berita tentang peningkatan kes Covid bagaikan berkadar langsung dengan jualan lembu mereka. 
Masjid kampung tersebut agak meriah dengan kehadiran beberapa penduduk setempat. Lebai Malim duduk bersandar pada tiang di antara saf keempat dan kelima di ruang solat utama. Dia mengurut-urut betis kering yang lenguh kerana bergelut menarik lembu yang enggan naik ke atas lori untuk dibawa ke tapak penyembelihan. Beberapa ekor kelekatu yang kehilangan sayap, merayau-rayau di sekitar kaki. Dia menguis seekor kelekatu yang merayap ke tapak kaki, terpelanting ke arah beberapa ekor kelekatu yang lain. 

 

    “Nampak letih, Lebai...” Ramdani duduk bersila di sebelahnya. Ramdani tinggal di pekan tetapi selalu berjemaah di masjid kampung mereka kerana jaraknya tidak jauh. 
    “Biasalah, urat orang tua.” 
    “Cutikah hari ini?”
Ramdani menggeleng. Sebagai salah seorang penjawat awam di salah sebuah jabatan pertahanan, cuti adalah satu perkara yang jarang difikirkan. Tambahan pula, dia memang orang asal kawasan tersebut.
    “Lebai, selepas ni saya hendak dermakan pendingin hawa untuk masjid ini. Saya nak dermakan lapan pendingin hawa.” 
    “Banyak sungguh tu, Ramdani.” 
    “Maklumlah, selepas musim tengkujuh ni berubah musim panas. Niat hati saya ni ikhlas, Lebai. Saya nak semua jemaah di masjid kita ni selesa. Apabila tempat ni selesa, lagi ramailah jemaah yang akan mengimarahkan rumah Allah ni.”
    “Semoga kau sekeluarga dimurahkan rezeki. Alangkah bagus kalau ramai yang berbudi seperti kau, Ramdani. Tidak pernah lokek dengan rumah Allah.”
    “Biasalah Lebai, hendak cari syurga. Saya fikir hendak sewa tanah di sebelah masjid kita ni. Ehem.... Tanah milik Kadir yang sudah menetap di Kuala Lumpur tu sudah lama terbiar. Saya nak dirikan sebuah perpustakaan untuk kegunaan anak-anak kampung ini. Membaca tu penting. Tengok ni, walaupun saya sudah bekerja dan berjaya, tetapi saya tidak pernah putus membaca.”  
Beberapa orang jemaah yang bersedia untuk solat sunat mengerling ke arah mereka. Ramdani terus berbicara, “Kalau ada rezeki lebih, saya nak dermakan sebuah van untuk dijadikan van jenazah. Boleh digunakan oleh sesiapa sahaja, Lebai.” 
Ketinggian ton suara Ramdani sudah tidak dapat dibendung lagi sehingga terdengar bunyi-bunyi berdesis supaya Ramdani memperlahankan nada suaranya. Dengan kening yang hampir bertaut akibat keletihan, Lebai Malim masih dapat menguntumkan senyuman. 
    “Kenapa Lebai nampak penat sangat?” 
    “Luar biasa sekarang ni, Ramdani. Luar biasa.”
    “Apa yang luar biasanya?”
    “Bangsal lembu aku dah hampir sunyi.”
    “Lembu mati?”
    “Bukan, orang asyik datang cari daging lembu.”
Ramdani menyambung kata-katanya yang berjeda seminit dua, “Kalau hendak buat kenduri di masjid, saya boleh sumbangkan daging juga, lebai.”
    “Elok sungguh niat kau. Alhamdulilah, kena benar dengan dalil Allah dalam Surah al-Maidah ayat 88 bermaksud, makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepadamu, dan bertakwalah kepada Allah yang kamu beriman kepada-Nya.”
Akhbar arus perdana serta akhbar dalam talian tidak henti-henti melaporkan berita semasa yang rata-ratanya bersangkut dengan kemelut dunia memerangi virus yang penuh rahsia dan bahaya, seterusnya tentang banjir yang melanda kebanyakan negeri di Semenanjung Malaysia. Namun, terdapat lagi satu berita yang menerima tanda suka paling banyak dalam media sosial iaitu kes penyeludupan daging haram ke negara kita; kartel daging yang sudah beroperasi secara haram selama empat puluh tahun! Sejak penyelongkaran kes tersebut, Ramdani langsung tidak dapat tidur lena. Paling menyesakkan apabila dia mengigau beberapa kali sehingga mengganggu lena isteri. Beberapa kali jugalah isterinya merenjiskan air jampi Bomoh Khidir agar segala hantu yang dikhuatiri mengganggu mereka hilang.
    “Kamu ni orangnya ada-ada. Memang ramai yang dengki. Tambahan pula, kamu rajin bersedekah pada masjid, sedekah pada surau. Buat kenduri yang besar-besar dan beri orang makan sedap-sedap. Walaupun kita dilanda kemelut ekonomi, kamu tidak lokek bersedekah topeng muka dan pensanitasi tangan kepada orang susah seperti aku.” Hidung Ramdani suami isteri kembang kempis mendengar manisnya kata-kata Bomoh Khidir. Apatah lagi kata-kata bomoh itu kian manis sehingga kalau dapat disamakan dengan kek cawan yang berinti coklat atau strawberi pasti kemanisannya berganda dan melekit semasa menerima bayaran sebanyak dua ribu ringgit daripada Ramdani untuk satu sesi berubat. 
    “Renjiskan sahaja air jampi ini ke wajahnya kalau mimpi itu datang lagi.” 
Itulah yang dilakukan oleh isteri Ramdani sehingga lencun cadar mereka dan bertukar setiap hari gara-gara mimpi yang tidak pernah hilang. Apabila mimpi itu muncul, Ramdani akan tercungap-cungap kepenatan. Dia selalu menceritakan kepada isterinya bahawa mimpi itu seperti nyata apabila dia merasakan bahawa dirinya terkepung dengan jutaan tikus yang kian membesar dan berubah menjadi raksasa. Cicipan tikus-tikus tersebut sangat nyaring dan mampu membuatkan gegendang telinganya pecah dan berdarah.  
    “Memanglah ada tikus di atas siling rumah kita ini, bang. Tidak pernah pula tikus-tikus tersebut menampakkan diri di mana-mana sudut rumah. Barangkali abang ni terbawa-bawa dengan cerita seram agaknya.” 
Ramdani mengelap dadanya yang basah. “Masih banyak air jampi tok bomoh?”
Anggukan isterinya langsung tidak meredakan resah yang bersarang di jiwa. 
Setiap hari isterinya akan mengemaskini gambar terbaru tentang sudut rumah mereka serta perabot baru yang dihantar oleh kilang. Pujian-pujian yang diperoleh dari media sosial tentang kemewahan serta sikap murah hati mereka membantu orang bagaikan gula-gula kapas yang membuatkannya lebih ketagih untuk mempamerkan segala hal. 
    “Sarah, abang pergi kerja dahulu ya.”
    “Abang ke tempat kerja dengan motosikal atau kereta?”
    “Hari kerap hujan, abang memandu kereta sahaja.”
Belum sempat Ramdani meletakkan beg kerjanya di tempat duduk penumpang, siren polis sayup-sayup kedengaran hampir dengan kawasan rumah mereka. Isterinya yang duduk bersila di atas kerusi rotan bingkas berdiri. 
    “Ini Encil Ramdani Bin Ismail?” 
Ramdani mengangguk. 
    “Kami perlu membawa encik ke balai polis sekarang juga untuk siasatan kes rasuah.”
Isterinya tergamam, telefon bimbit yang dipegang erat hampir melurut dari tangan. Cepat-cepat dia berlari ke arah Ramdani yang kelu dan kaku. 
    “Abang…”
    “Usah khuatir, semua akan baik-baik sahaja.” Ramdani menyembunyikan kegusaran. 
Bagaikan halilintar yang menelan bekalan cahaya, kehidupannya gelap gelita. Siasatan yang telah dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta Polis Diraja Malaysia membuktikan bahawa dia bersalah kerana berkompromi dengan syarikat perdagangan antarabangsa untuk membawa masuk daging haram ke Malaysia dan penyelewengan cop halal. Dari kandang pesalah, dia lihat kelibat isterinya yang sentiasa tunduk sepanjang sesi perbicaraan dilaksanakan. Dia lihat Lebai Malim, yang turut serta hadir demi memberikan sokongan rohani menggeleng-gelengkan kepala, melarikan pandangan agar tidak bertentang mata. 
Sebelum dibawa ke sel tahanan, isterinya menghampiri dengan linangan air mata. Di tangannya terdapat sebotol air.
    “Abang, ini air jampi kalau masih bermimpi dihimpit tikus lagi!”

 
 
 
Advertisement