Anda di sini

Gagal pamer harga, pemilik premis jual mi sup ikan patin RM60 semangkuk dikompaun

Advertisement
Penguat kuasa KPDNHEP Sarikei melakukan siasatan dan pemeriksaan terhadap sebuah premis makanan di Sarikei yang tular kerana gagal mempamerkan harga jualan jelas pada mi sup ikan patin yang harga RM60 semangkuk.
Penguat kuasa KPDNHEP Sarikei melakukan siasatan dan pemeriksaan terhadap sebuah premis makanan di Sarikei yang tular kerana gagal mempamerkan harga jualan jelas pada mi sup ikan patin yang harga RM60 semangkuk.

SARIKEI: Isu mi sup ikan patin di sini berharga RM60 semangkuk yang tular dalam media sosial mendapat perhatian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Sarikei.

Ketua KPDNHEP Sarikei Mohamad Zawawi berkata, berdasarkan maklumat, pasukan pegawai penguat kuasa KPDNHEP Sarikei melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kedai makanan di sini untuk menjalankan siasatan ke atas isu tersebut.

“Hasil siasatan dan pemeriksaan di premis kedai makan itu mendapati tuan punya premis melakukan suatu kesalahan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Perkhidmatan) 2020 iaitu gagal mempamerkan tanda harga jelas ke atas barangan atau menu makanan yang dipamerkan untuk jualan di premis.

“Siasatan dilakukan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. 

“Berikutan itu, pemilik premis terbabit dikenakan kompaun serta-merta sebanyak RM300 atas kesalahan itu,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Mohamad mengingatkan peniaga agar menjalankan perniagaan dengan jujur serta meletakkan tanda harga jelas ke atas barangan atau perkhidmatan dipamerkan untuk jualan bagi memudahkan pengguna membuat pilihan.

Namun, pengguna dan pelanggan juga perlu menyemak menu disediakan dan memastikan harga sebelum membuat pesanan bagi mengelak perkara itu berlaku.

“Sebarang pelanggaran di bawah peruntukan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 peniaga boleh dikenakan tindakan undang-undang seperti berikut:

“Individu yang didapati bersalah boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

“Bagi syarikat pula, mereka boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” jelasnya.

Katanya, jika didapati ada peniaga tidak mematuhi undang-undang di bawah KPDNHEP, orang ramai boleh menyalurkan aduan kepada kementerian melalui portal [email protected], atau membuat panggilan ke Call Centre 1800-886-800, e-mel kepada [email protected], Aplikasi telefon pintar Ez ADU, Enforcement Command Centre (ECC) Sarikei 084-657751, talian 03-80008000 Malaysia Government Call Centre (MYGCC), WhatsApp ke 019-2794317 dan membuat laporan terus atau hadir ke pejabat KPDNHEP Sarikei.
 

Advertisement