Anda di sini

Bekalan paracetamol di Sabah stabil: Shahelmey

Advertisement
 Shahelmey (tengah) semasa tinjauan Program PICKIDS di PPV SK Kampung Contoh Putatan.
VAKSIN: Shahelmey (tengah) semasa tinjauan Program PICKIDS di PPV SK Kampung Contoh Putatan.

PUTATAN: Rakyat di negeri ini tidak perlu risau untuk mendapatkan ubat paracetamol memandangkan bekalan ubat berkenaan stabil di pasaran.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Shahelmey Yahya berkata, dua minggu lepas pembelian ubat paracetamol di kedai-kedai dan farmasi agak laris.

Katanya, biarpun pembelian bekalan ubat itu agak laris di pasaran, namun sebenarnya paracetamol masih boleh didapati di farmasi.

Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKIDS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Contoh di sini hari ini.

Shahelmey berkata, kekurangan bekalan paracetamol disebabkan oleh gelombang Omicron baru-baru ini hingga mengakibatkan pembelian panik dalam kalangan masyarakat setempat.

Namun jelasnya, keadaan kini kembali stabil dan orang ramai boleh mendapatkan bekalan ubat paracetamol di farmasi atau kedai seperti biasa.

Sebelum ini, beberapa negeri dilaporkan mengalami kekurangan bekalan paracetamol di pasaran hingga menyebabkan kesukaran untuk mendapatkan bekalan ubat berkenaan di farmasi serta kedai serbaneka.

Dalam pada itu katanya, Sabah merekodkan jumlah pengambilan vaksin dalam kalangan kanak-kanak yang kedua terendah di seluruh negara.

Menurutnya, setakat ini hanya seramai 51,000 kanak-kanak di bawah lingkungan umur lima hingga 11 tahun menerima vaksin sejak PICKIDS dilaksanakan.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar ibu bapa tampil ke pusat pemberian vaksin (PPV) yang disediakan kerajaan untuk memberikan vaksin kepada anak-anak.

Langkah itu katanya, demi menjaga kesihatan golongan kanak-kanak apabila sesi persekolahan dibuka semula tidak lama lagi.

"Kita menyasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus kanak-kanak di bawah lingkungan umur terbabit menerima vaksin sebelum sesi persekolahan dibuka pada hujung bulan ini," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement