Anda di sini

Sabah lancar Sandbox IoT pertama di Borneo

Advertisement
 Yakub (tengah) menyaksikan majlis menandatangani MoU di antara Zainal (duduk, kiri) dan Rektor UiTM Cawangan Sabah Prof Madya Datuk Dr Abdul Kadir Rosline (duduk, kanan).
MOU: Yakub (tengah) menyaksikan majlis menandatangani MoU di antara Zainal (duduk, kiri) dan Rektor UiTM Cawangan Sabah Prof Madya Datuk Dr Abdul Kadir Rosline (duduk, kanan).

KOTA KINABALU: Sabah melancarkan Program Rintis Sandbox Digital IoT (Sandbox IoT) yang pertama di Borneo hasil kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah.

Usaha di bawah inisiatif Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) itu untuk memacu pertumbuhan ekonomi merangkumi pelbagai industri di negeri ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Yakub Khan berkata, program berkenaan untuk membantu merancakkan pembangunan inovasi bagi membentuk ekonomi negeri Sabah serta menggalakkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI). 

Katanya, melalui Sandbox IoT, ia dijangka menggalakkan lagi pembabitan belia untuk menguji produk atau teknologi baharu yang dapat memacu ekonomi negeri.

Selain itu jelasnya, usaha itu juga mampu meningkatkan produktiviti sektor awam dan swasta yang secara tidak langsung menggalakkan pembudayaan STI sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

"Inisiatif ini akan menjadi platform dalam kalangan pencipta (innovator) untuk menghasilkan solusi mahupun produk kepada permasalahan di Sabah.

"Ia mampu menjadi 'game changer' untuk menggalakkan lagi ekosistem bagi sains, teknologi, inovasi, dan ekonomi (STIE) serta meningkatkan pengkomersialan hasil inovasi tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Sandbox IoT di sini hari ini.

Yakub berkata, menerusi usaha ini, pusat-pusat E-desa akan dinaik taraf secara berfasa menjadi Pusat Ekonomi Digital di luar bandar.

Menurutnya, Sandbox IoT yang terletak di Wisma Bandaraya di sini terbahagi kepada empat ruang iaitu 'Showcase Space', 'Maker Space', 'Thinking Space', dan 'Pitch Space' yang akan memfokuskan kepada lima bidang utama iaitu pertanian, pelancongan, perindustrian, pembangunan tenaga diperbaharui, serta pengurusan bandar.

"Antara impak yang akan diperoleh hasil daripada Digital IoT Sandbox dalam tempoh tiga tahun adalah 20 bukti konsep teknologi terkini melalui 50 aktiviti pembinaan kapasiti.

"Ia melibatkan komuniti dan kadar pekerjaan dalam sektor Revolusi Industri (IR) 4.0 akan meningkat sebanyak 30 peratus selain menjadi platform kerjasama ekosistem penuh untuk memartabatkan ekonomi Sabah," jelasnya.

Beliau berkata, pelancaran Digital IoT Sandbox adalah sebahagian daripada pengisian Program Flagship di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk menggalakkan pembudayaan STI dalam kalangan masyarakat di Sabah. 

Turut hadir,  Ketua Setiausaha MOSTI Datuk Zainal Abidin Abu Hassan yang mewakili Menteri MOSTI Datuk Seri Dr. Adham Baba dan Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Ruddy Awah.

Pada majlis itu, Yakub turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara KSTI dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Sabah dan KSTI dengan 'Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation' (MRANTI).
 

  • oleh
  • Advertisement