Anda di sini

Dadah bernilai RM1.19 juta dirampas, seorang suspek diberkas

Advertisement

KUCHING: Seorang penganggur disyaki pengedar dadah diberkas bersama kira-kira 25 kilogram dadah dianggarkan bernilai RM1.19 juta dalam beberapa siri serbuan pada 26 Februari.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata dadah jenis Syabu dengan berat 12,258 gram (nilai RM462,888.00) dan Ketamin seberat 13,376 gram (nilai RM735,680.00), dipercayai dihantar dari Semenanjung Malaysia menggunakan perkhidmatan kurier.

Suspek berumur 27 tahun ditahan untuk pemeriksaan di kaki lima sebuah kedai di Lee Ling Height Batu 6 Jalan Penrissen sekitar jam 1.30 petang. Semasa ditahan dia membawa satu kotak dipercayai baharu dituntut dari sebuah syarikat kurier.

"Hasil pemeriksaan ke atas kotak tersebut, didapati terdapat enam bungkusan plastik yang setiap satu berisi bungkusan mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu. Susulan itu, pada hari sama pasukan operasi dengan dipandu arah suspek telah pergi ke sebuah syarikat kurier di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adurce dan mengambil satu kotak.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat terdapat enam lagi bungkusan yang turut mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu," katanya pada sidang media berhubung kejayaan tersebut, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua JSJN Sarawak Superintenden Wong Leong Meng, Pegawai Turus JSJN Sarawak DSP Tumar Lunya dan Pegawai Penyiasat Inspektor Awang Rezdly Awang Morni.

Mancha menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media, hari ini.

Selepas pemeriksaan, suspek membawa pasukan operasi ke sebuah rumah di Kampung Bumbok, Jalan Batu Kitang sekitar jam 3 petang pada hari sama.

"Hasil pemeriksaan ke atas sebuah bilik tidur telah menjumpai satu kotak yang didalamnya terdapat 13 bungkusan yang setiap satu berisi ketulan hablur disyaki dadah jenis ketamin. Terdapat juga satu tin di dalam kotak tersebut yang didapati berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.

"Bagaimanapun, setakat ini siasatan masih dijalankan untuk mengenalpasti kemungkinan adakah suspek bergerak seorang atau berkumpulan," katanya.

Turut dirampas daripada suspek ialah sebuah kenderaan jenis pelbagai guna dan motosikal.

Suspek bersama dadah dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil saringan awal urin juga mengesahkan suspek negatif dadah.

Jika didapati bersalah boleh dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup beserta sebatan.

  • oleh
  • Advertisement