Anda di sini

Abang Johari kini sah bergelar Premier Sarawak

Advertisement
Gambar fail menunjukkan Abang Johari ketika mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Gedong pada 14 Feb

KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022, bagi menggantikan nama 'Ketua Menteri' kepada ‘Premier’ telah diwartakan dan akan berkuat kuasa mulai hari ini (1 Mac).

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion dalam satu kenyataan berkata, selepas tarikh pindaan berkuat kuasa, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan disebut dalam bahasa Inggeris sebagai ‘Premier of Sarawak’ dan dalam Bahasa Malaysia sebagai ‘Premier Sarawak’.

Sementara itu katanya, Pejabat Ketua Menteri akan dirujuk dalam bahasa Inggeris sebagai ‘Office of the Premier of Sarawak’ manakala dalam Bahasa Malaysia sebagai ‘Pejabat Premier Sarawak’.

Sehubungan itu juga katanya, Timbalan Ketua Menteri akan dirujuk sebagai Timbalan Premier dan Menteri Muda akan dirujuk sebagai Timbalan Menteri berkuat kuasa pada tarikh sama (1 Mac).

Terdahulu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah telah membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 semasa sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan lepas.

Pada 15 Februari lalu, DUN meluluskan rang undang-undang dengan majoriti lebih dua pertiga untuk memperuntukkan perubahan dalam terma kepada ‘Premier’, 'Timbalan Premier’ dan 'Timbalan Menteri'.

Abdul Karim dalam ucapannya pada pembentangan RUU itu berkata pindaan Perlembagaan Persekutuan baru-baru ini mengembalikan semangat asal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bahawa Sarawak bersetuju untuk mengambil bahagian dalam pembentukan Malaysia, ia berstatus sebagai salah satu tiga wilayah (Persekutuan Malaya, Sabah dan Sarawak) harus dikekalkan.

Justeru katanya, ia meletakkan Sarawak sebagai salah satu daripada tiga wilayah dan menganggap statusnya tidak sama dengan negeri lain dalam Persekutuan Tanah Melayu.

Dalam pada itu, Jabatan Besar Peguam Negeri Sarawak turut mengumumkan pewartaan Ordinan itu di laman webnya hari ini.

Ia melampirkan Warta Kerajaan Sarawak (Sarawak Government Gazette) bertarikh 28 Februari tahun ini yang antara lain menyatakan Yang di-Pertua Negeri telah menetapkan 1 Mac 2022 sebagai tarikh Ordinan itu berkuat kuasa.

Advertisement