Anda di sini

Idiosinkrasi Kepenyairan Abizai (Bahagian I)

Advertisement
 

Oleh Jeniri Amir

TANPA perlu merujuk nama, peminat yang setia mengikuti karyanya pasti tahu bahawa puisi hasil penulisan Abizai memiliki lambang, imej dan metafora khas beliau. Untuk sampai ke tahap ini sekurang-kurangnya memerlukan sekitar 15 tahun dan ini terbukti daripada pencapaian beliau. Abizai berkarya dengan konsisten dan yakin, serta menyedari bahawa pemikiran dan ilham sebaiknya dituangkan ke dalam karya. Daripada persekitarannya beliau mengutip imej, diksi, metafora dan perlambangan sehingga berjaya diubah menjadi imej dan metafora khas di tangannya. Kata-kata itu menjadi puitis dan memiliki estetika yang tersendiri sehingga berlakunya neologisme atau pembaharuan dari segi baris, metafora dan ungkapannya. Beliau memperkaya dan menjernihkan bahasa, selain sering menguji sempadan kemungkinan bahasa sehingga kadang-kadang mencapai tahap pembaharuan, kelainan, ketaksangkaan dan keunikan yang mengejutkan. 
       Berbeza daripada ahli bahasa, sebagai penyair dengan licentia poetica di tangannya, beliau ialah penyair yang teliti dan mampu menyempurnakan bahasa sastera. Dengan kata lain, di tangan Abizai, licentia poetica tidak dilanggar atau digunakan sesuka hati, sebaliknya digunakan dengan penuh kesedaran bahawa penggunaannya bertujuan untuk memperkental emosi, memperkejap makna dan fikiran dan seterusnya memperindah pengucapan. Bahasa bagi beliau perlu dilentur dan diadun sesuai dengan tujuan, fikiran, emosi dan beban makna yang cuba diangkat melalui baris yang dibentuk. 
       Kelainan, keunikan dan keaslian ungkapannya menyebabkan Abizai cepat terkenal dan karyanya diminati ramai, apatah lagi dengan keperibadian dan kehidupannya yang sederhana. Peribadi dan suara yang merendah dan sopan, namun punya pendirian yang tegas dan kritis dalam isu-isu tertentu, termasuk isu bahasa serta kepemimpinan dan politik negara sebagaimana terserlah melalui puisinya. Sekalian karyanya terhimpun dan menonjol dalam pelbagai kumpulan dan antologi puisi yang berbicara bagi pihak dirinya. Antara kumpulan puisi beliau yang telah diterbitkan sejak tahun 1989 hingga 2020 ialah Seekor Kelawar di Kamar Pengantin (1989), Mengenal yang Asal (2000), Membentuk Elok di Teluk Esok (2001), Sang Kelawar Kesiangan (2010), Sinar Benar (2011), Kitab Rahsia (2015), Merdeka Burung (2015), Pemburu Kata Merdu (2017), Berani Bermimpi (2018) dan Cinta Si Pengukir Kata (2020). Karya-karya ini merupakan bukti komitmen, kesungguhan, kegigihan, pengorbanan, sumbangan, bakat, prestasi dan jasa beliau terhadap dunia puisi dan sastera tanah air. Karya dan kumpulan berkenaan merupakan satu perjalanan dan dokumentasi dan dokumentari hidup dan kerjayanya sebagai penyair yang tekun dan telah memperlihatkan sikap, pendirian dan kritikannya terhadap isu dan persoalan yang disentuh. 
       Karya Abizai bukan karya yang lompong tanpa pemikiran, kritikan, dan perutusan. Ibnu Khaldun sendiri dalam Mukadimah mengakui dan mengiktiraf karya sastera sebagai hasil peradaban sesebuah masyarakat dan meletakkannya di kedudukan yang penting kerana sastera mampu membentuk keperibadian manusia, termasuk dari sudut akhlak dan juga etika. Seperti penulis dan penyair lain, penyair ini juga mempunyai pegangan dan prinsip hidupnya dari segi sosial, politik, ekonomi, alam, dan keagamaan. Nilai-nilai dan etika berkenaan diserlahkan melalui baris, dan ungkapannya. Jelaslah selain melukiskan dan mendedahkan dirinya, karya beliau juga sebenarnya wadah yang mempunyai nilai dan mesej tertentu, yang mengajar kita semua bertanggungjawab bukan sahaja terhadap diri, sahabat, keluarga, sahabat, alam, tetapi juga terhadap bangsa, agama dan negara.

Persoalan, Pemikiran Mesej dan Nilai
Karya Abizai bukan sekadar mengangkat sesuatu isu, masalah atau tema merentasi diri dan kampung, tetapi melangkau pelbagai persoalan yang bersifat tempatan, nasional, rantau dan dunia. Nilai-nilai yang dikemukakan dalam sebahagian puisinya adalah bersifat sejagat dan menyentuh pelbagai perkara. Keindahan, kebenaran, keikhlasan dan kebijaksanaan terserlah dalam karyanya. Fikiran yang jelas dan tegas tentang sesuatu itu merupakan tonggak nilai kesejagatan dalam karyanya. Beliau sering kelihatan menguji sempadan keupayaan berfikir, sempadan kemungkinan bahasa, kreativiti, dan imaginasi kepenyairannya. Puisi-puisinya bukan sahaja menggambarkan pemikirannya, tetapi gelora dan keresahannya terhadap sesuatu tema dan perkara yang digarap di tengah-tengah subjek, negara dan dunia yang kacau. Tidak syak lagi, karya beliau menepati kriteria yang dirumuskan oleh Dionsyius Cassius Longinus, pengkritik penting zaman Rom. Bagi Longinus, karya terbaik perlu memperlihatkan pemikiran agung, emosi yang intense, penggubahan yang kemas, pemilihan diksi dan metafora yang serasi dan penggunaan bahasa yang tepat dan berhemat. 
       Abizai telah menemui diri dan peribadinya pada dekad pertama pembabitannya. Selepas itu, dia mengukuhkan kedirian, watak dan personaliti puisinya, sekali gus kedudukan dan ketokohannya dalam bidang itu. Perjalanan empat dekad bukan perjalanan yang indah bagai di taman bunga, tetapi penuh ujian, cabaran, liku dan pahitnya walaupun tidak dinafikan, daripada kepahitan itu ditemuinya keindahan, serta kepuasan sebagai pengkarya tulen. Pada usia awal kepenyairannya, ungkapannya lebih langsung, tidak berselindung di sebalik lambang atau ungkapan yang sukar difahami. Beliau masih lagi berusaha untuk mencari bentuk dan ekspresi terbaik, bereksperimen dan cuba mengenali gaya terbaik, sambil terus mengasah dan mempertajam bakatnya. 
       Buktinya, baca saja puisi yang terkandung dalam Seekor Kelawar di Kamar Pengantin (1998). Sebahagian besar puisi dalam kumpulan ini agak mudah, langsung, tidak dibebankan dengan unsur jalinan penulisan dan mekanisme puisi yang kompleks serta sukar. Antara isu dan tema yang disentuh ialah ilham, pembikinan sajak, fitnah, ancaman budaya kuning, kenangan terhadap kekasih, Miri yang semakin membangun, masalah yang datang tanpa diundang, soal janji yang tidak tertunai, dosa dan taubat, tentang sahabat, dan pengorbanan ayah bonda yang tidak terbalas. Yang turut digarap ialah tentang tema kritikan terhadap karya, ilham melahirkan sajak, fitnah, kedatangan Aidilfitri, pentingnya persefahaman dalam persahabatan, reaksi terhadap kritikan, bagaimana sepatutnya mengkritik karya, penzahiran penyair tentang keagunan Tuhan, penyakit AIDS, soal akal dan fikiran, pemimpin yang pilih kasih dengan kuasa di tangannya, sikap penguasa yang kuku besi, kerisauan penganggur, catatan tentang hari jadi, harapan kepada kekasih dan rakaman pengalaman dalam pertemuan penulis.
        Kemudian, di ruang halaman puisinya kita menyaksikan diksi yang tersusun rapi sehingga akhirnya menyerlahkan pemikiran terbaik dengan kata-kata terbaik dalam susunan terbaik untuk meninggalkan kesan terbaik. Tidak hairanlah sebahagian daripada puisinya mencapai takah pemikiran puitis yang berdiri teguh dalam arena puisi tanah air. Malah, sebahagiannya sudah mencapai tahap aforisme yang memperlihatkan ketinggian pemikiran, kedalaman renungan yang disampaikan dengan baris bahasa yang indah dan puitis. Aforisme amat berguna sebagai panduan hidup. Aforisme bukan mudah dicipta. Aforisme datang daripada pengalaman, renungan dan pemikiran yang mendalam, selain bakat, kreativiti dan keupayaan berbahasa. Yang mendasari puisinya ialah pemikiran, kebenaran, kebijaksanaan, pengamatan, kebenaran dan keindahan. Juga nilai-nilai dan prinsip hidup tertentu malah melaluinya dihantar kritikan dan mesej yang halus tetapi kadang-kadang tajam yang ditujukan kepada pihak tertentu termasuk pemimpin.
       Selain menyampaikan maksud, persoalan dan pemikiran tertentu, penyair juga menghantar mesej atau nilai-nilai tertentu melalui karyanya. Sesuai dengan watak dan persoalan yang digarap dan pendirian yang diambilnya, Abizai menekankan nilai dan sifat rendah diri, menegur sikap atau amalan yang tidak disenanginya kerana bertentangan dengan peribadi, prinsip, nilai dan norma masyarakat atau ajaran agama. Justeru, baris puisi beliau mengandungi antara lain nilai integriti, amanah, tanggujawab, toleran, kebenaran, kesetiaan, budi bahasa, hormat-menghormati, keindahan, kecantikan, kecekalan, rajin, berani dan pentingnya menjaga alam sekitar. 
       Karyanya bukan sekadar satu mimesis bagai penulis impresionis yang melukis di atas kanvas. Sebaliknya puisi-puisinya ialah gambaran pengalaman, tanggapan, renungan, introspeksi, reaksi, tindak balas, dan juga kritikannya terhadap beraneka perkara dan isu. Implikasinya, tema dan persoalan beliau tidak terbatas kepada ruang sempit, tetapi menjangkau keluar diri, alam nyata dan alam metafizika. Sebagai penyair, Abizai bukan sekadar menuangkan seadanya apa-apa yang terlintas di fikirannya, sebaliknya ia melalui proses perenungan, pengamatan dan penganalisisan yang tajam. Dia ialah perenung dan pemikir yang selalu cuba mentafsir dan memberi makna kepada apa-apa yang direnung dan dituangkannya ke dalam karyanya. 
       Kalaupun beliau mengkritik, kritikannya tidak terasa kasar, sebaliknya ia dilakukan dengan halus melalui perlambangan, kiasan, metafora dan imej tertentu. Kritikan disalutkan dengan bahasa indah dan imej sesuai supaya yang menjadi sasaran tidak terluka oleh pedang kritikannya. Jelaslah, pembabitannya dalam arena puisi bukan sekadar untuk berseronok-seronok bagi mencapai katarsis, tetapi sebagai wadah untuk beliau meluahkan pemikiran dan pandangannya. Hal ini diakuinya dalam ucapan penerima Anugerah S.E.A Write Award di Bangkok, Thailand. Katanya: “Sesungguhnya, bagi saya, puisi ialah kata-kata yang mengungkapkan perasaan. Pemikiran dan pengalaman dengan keindahan dan kebenaran. Puisi merupakan puncak keindahan bahasa ciptaan manusia dengan izin Tuhan…. Alam dilukiskan dengan pelbagai warna. Teguran dan pesanan dikiaskan secara halus.”

 

Gadis Cantik dan Hidangan Istimewa
Beliau mempunyai analogi menarik tentang puisi yang bermutu dan baik. Beliau menyampaikan puisi umpama gadis yang cantik dan bagai hidangan yang istimewa. Gadis yang cantik, menurut beliau, bukan sahaja cantik pada pandangan luar tetapi indah budi pekerti dalamannya. Menyediakan hidangan yang istimewa pula memerlukan resipi yang istimewa. Bahan-bahan harus terpilih, di samping sukatan yang betul. Diolah dengan penuh rasa di hati dan kejernihan fikiran agar yang terhasil menimbulkan aroma yang memikat, rasa yang sedap dan pastinya berkhasiat. Begitu juga puisi yang indah dan bermutu, bagi beliau perlu meninggalkan kesan keindahan bahasa dan makna yang tidak mudah dilupakan (Zainal Abidin Suhaili, 2019). Beliau berkata: 

“Puisi merupakan kata-kata yang mengungkapkan perasaan, pemikiran dan pengalaman dengan keindahan dan kebenaran. Di tangan penyair, kemungkinan kata-kata menjadi luas dalam menuju kesatuan makna. Kehidupan dilukis dengan pelbagai warna pengucapan. Kritikan dikiaskan secara halus. Dakwah disampaikan secara berhikmah. Derita pun digambarkan dengan penuh imaginasi.” (Abizai, Selangorkini, 19 Sept 2019)

Katanya lagi: 

“Puisi harus menyampaikan sesuatu yang besar dan bermakna dalam ruang kecil dan terbatas. Tidak semua kata-kata adalah puisi tetapi setiap puisi haruslah bermula dan berakhir dengan kata-kata terpilih dan teruji. Puisi membawa persoalan manusia dalam kata-kata sakti yang mampu memukau penikmat-penikmatnya. Setiap kata dipilih berpandu kepada makna atau erti yang ingin disampaikan. Di dalamnya terhimpun keindahan bahasa tersendiri dalam menitipkan makna benar. Penyair wajar menampilkan sesuatu yang segar dan baharu serta berbeza dalam bentuk berbahasa, pemikiran, makna dan gaya pengucapan.” (Abizai, 19 Sept 2019, Selangorkini).


       Puisi yang baik bagi beliau terkandung dalam “Sekadar Manisan Kata-kata”, perlu menyerap lazatnya keindahan bicara / menikmati enaknya kehalusan rasa / menghadamkan khasiat kebijaksanaan / merasakan kesan kebenaran makna / Jika tidak / yang kaukunyah bukanlah sajak / hanya sekadar manisan kata-kata / yang berkiaskan ukiran bahasa. Puisi akhirnya perlu membijaksanakan, sesuai dengan kata-kata Robert Frost, “Proses ini bermula dengan hiburan dan berakhir dengan kebijaksanaan.” Kata Abizai dalam “Sang Penyair”, kaupadatkan alam kolam / ke dalam sebiji cawan / aku yang cuba mentafsirkannya / basah dipercik rasa bijaksana. Implikasinya, karya yang hanya indah dari segi bunyi, ungkapan, baris dan diksi, tidak akan banyak membawa makna melainkan kalau ia disertakan dengan pemikiran dan kebijaksanaan atau mesej tertentu. Satu lagi pemahaman dan takrifan beliau tentang puisi yang baik terkandung dalam “Kaulah Sajak”.
       Kaulah sajak
       perawan menawan berniat jernih
       berkebaya sutera kata-kata terpilih
       asli tubuhmu tumbuh
       dibentuk lekuk pengalaman jauh
       suara emosinya terkawal
       diimbangi cekal tapisan akal
       dengan berbekal selendang keyakinan
       kaumelangkah penuh bergaya
       di setiap negeri kehidupan
       menayangkan lenggang tari kebenaran
       dalam gemalai keindahan.

       Persoalan berkaitan dengan puisi dan penyair juga diungkapkan oleh beliau melalui “Penyair Rakyat”. Sebagai penyair marhaen, bukan pengkitirafan yang dikejarnya. Walaupun tanpa sebarang gelar dan pengiktirafan dan sekali-sekala karyanya tidak dipedulikan, beliau tetap tekun dan setia menyaring kata-kata / menduga makna / mengepung rencam dunia/ dan kisah manusia / di dalam akuarium berangkap / biarpun ada waktunya/ tak seorang pun sudi memandang / dan menghayatinya.
       Kecintaannya terhadap puisi amat mendalam. Hal ini sejak awal lagi dapat dikesan dalam puisinya. Pada 1986, beliau menzahirkan minatnya yang mendalam terhadap dunia puisi seolah-olah bagai air laut/ setiap kali kuhirup / makin bertambah haus. Dalam puisi awal yang jelas agak langsung sifatnya, tanpa disembunyikan oleh kiasan dan perlambangan. Ini ialah langkah pertama seribu batu bagi anak muda berusia 20 tahun yang belajar menjadi penyair dalam perjalanan puisinya yang panjang dan berwarna-warni. Ketika itu tentu Abizai tidak menyangka bahawa beliau dapat sampai ke takah ini.
       Menidurimu
       aku tak pernah merasa puas
       esok dan seterusnya
       kau pasti kudatangi lagi
       bagai air laut
       setiap kali kuhirup
       makin bertambah haus.

       Puisi bagi penyair ini ialah wadah menyampaikan kebenaran dengan menggunakan “bicara kiasan” dan bukan tempat menyebarkan propaganda dan agenda yang dapat “menyesatkan lorong makna”. Ilham yang diperoleh sebagai karya tercipta datang daripada-Nya, malah diakuinya tidak mampu kulukiskan rangkap / tanpa Dia yang membuka tingkap / untuk kuserap bahasa ilham / ke hujung kalam / aku hanyalah bayang-bayang…. Beliau yakin bahawa ilham untuk menulis puisi tidak akan datang tanpa bantuan Allah SWT. Untuk itu, ilham sebagai anugerah Allah SWT harus disyukuri. Sejak 1987 lagi, beliau menyedari bahawa ilham yang disifatkan sebagai keajaiban perlu dirakamkan dengan pantas seperti yang digambarkan dalam “Kelahiran Sajak”. Namun, sudah ada percubaan untuk menggunakan metafora meskipun puisi itu seperti puisi awal beliau agak mudah dan langsung. “Katanya dalam satu baris, “terjelmalah air hikmat di dalam gelas imaginasi.” Dalam pada itu, beliau bersikap terbuka terhadap kritikan puisi yang dilahirkannya, dan menyatakan keterbukaan dan kesediaan untuk memperbaikinya agar karyanya menjadi lebih baik.
       Persoalan berkenaan dengan penyair dan puisi juga turut disentuh dalam “Pujangga Bangsa Berjasa” yang disifatkan sebagai penenun kata yang mampu menyulam memerikan bijaksana malah cerdik dipetik sepanjang zaman. Dalam karya berkenaan memuja Ilahi inti utama, menyapa deria menyentuh sukma / ceria dan duka saling berwarna, lincah bermadah indah bicara / seluruh rasa tersihir pesona. Selain itu, puisi dimanfaatkan juga untuk memberi kiasan dan kritikan kepada bangsa yang pelupa.
       Persoalan tentang penyair dan kepenyairan turut disentuh dalam “Pemburu Kata Merdu”. Penyair yang disifatkan sebagai “pemburu kata merdu” terus berkarya meskipun berdepan ujian dan cabaran.
       Cabaran dingin
       dan ejekan angin
       tak mungkin mampu
       mematahkan busur ingin
       pemburu kata merdu
       yang tiada jemu merindu

       Semua itu dapat dicapai kerana kecintaannya yang mendalam bukan sahaja terhadap puisi, tetapi terhadap kehidupan, alam sekitar, manusia, masyarakat dan pergolakan di peringkat negeri, negara, rantau dan global. Pengalaman yang dikutipnya selama melalui jalan hidup yang panjang di kampung halaman atau di bandar Miri, di seluruh Sarawak, dan juga di negara ini dan di luar negara terserlah daripada karya berkenaan. Ilham atau penulisan puisi beliau dilakukan di pelbagai tempat, namun kebanyakannya di Miri. Puisinya bukan sahaja mencakupi kekinian, tetapi juga masa silam dan masa depan. Ya, meskipun sebagai manusia kontemporer dan berdepan dengan realiti semasa, sekali sekala Abizai mengimbas balik kenangan zaman silam. Malah, ada waktunya pemikirannya menjangkau ke masa depan, membayangkan realiti yang dihadapinya, kerisauan, harapan dan juga nostalgia sehingga semua itu bercantum dalam kumpulan puisinya. Itulah sebabnya, baris dan ungkapan puisinya ialah baris realiti kekinian.

(Sambungan esei ini akan disiarkan pada 14 Mac 2022.)

 
 
Advertisement