Anda di sini

Pengisytiharan MRSB bakal pergiat industri kreatif Sarawak

Advertisement
Nanta (dua kiri) menyerahkan Sijil Perisytiharan kepada MRSB yang diwakili oleh Gibson (kanan) sambil disaksikan Snowdan (dua kanan).
Nanta (dua kiri) menyerahkan Sijil Perisytiharan kepada MRSB yang diwakili oleh Gibson (kanan) sambil disaksikan Snowdan (dua kanan).

KUCHING: Pengisytiharan Music Rights Sarawak Berhad (MRSB) sebagai sebuah badan pelesenan mengutip royalti buat penggiat industri muzik Sarawak akan dapat mempergiatkan lagi industri kreatif di negeri ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah itu bertepatan untuk menjaga hak komposer dari Sarawak, selain memberi manfaat yang optimum kepada mereka.

Sebelum penubuhan MRSB katanya, penggiat seni muzik etnik Sarawak terangkum dalam satu badan di seluruh Malaysia.

“Tetapi atas permintaan Sarawak dan Sabah sendiri, mereka diberikan peluang untuk mewujudkan badan pelesenen ini kerana tiada halangan dari segi perundangan, dibolehkan memegang lesen.

“Jadi, kita bangga dapat membantu dan memudahkan lesen yang dikeluarkan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Saya yakin melalui perluasan fungsi MRSB akan membantu mempergiatkan lagi industri kreatif Sarawak khususnya dalam mengurus tadbir hak ekonomi penggiat-penggiat seni bagi memastikan kelangsungan hidup melalui janaan hasil pendapatan royalti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan Sijil Perisytiharan kepada MRSB yang diwakili oleh Pengerusi Persatuan Armada Seni Sarawak merangkap Lembaga Pengarah MRSB Gibson Rentap di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Menurut Nanta, pengiktirafan MRSB adalah tepat pada masanya memandangkan Sarawak telah mewujudkan portfolio untuk industri kreatif dalam kabinet baharunya, iaitu Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan.

“Justeru, ia merupakan peluang terbaik untuk pemain industri terlibat dan kementerian saya telah memenuhi kewajipan dengan membenarkan dan memberi peluang kepada industri kreatif di Sarawak melalui muzik, karya dan sebagainya,” kata beliau.

Sehubungan itu, Nanta berharap MRSB akan menggalas tanggungjawab dan amanah mereka dengan baik.

“Dengan pengurusan yang telus, bertanggungjawab dan penyeliaan yang baik seperti mana yang termaktub di dalam polisi, kita berharap pengiktirafan ini akan dapat membantu lebih ramai pemain industri di sini untuk terus berkembang maju pada masa akan datang,” katanya.

Setakat ini katanya, beliau difahamkan terdapat kira-kira 963 ahli yang berdaftar dengan MRSB.

Sementara itu, Menteri Muda Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan berkata, pihaknya bersedia memberikan kerjasama yang baik kepada MRSB.

"Ini adalah masa terbaik untuk kita mempunyai badan yang akan menguruskan perkara kebajikan dan royalti penggiat seni muzik etnik di negeri ini. Kita melalui kementerian sedia membantu,” katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement