Anda di sini

Pengawal keselamatan disyaki cabul tiga anak tiri direman

Advertisement
 

MIRI: Seorang pengawal keselamatan yang ditangkap kerana disyaki mencabul kehormatan tiga anak tirinya yang berusia antara 12 hingga 15 tahun diperintahkan Mahkamah Majistret supaya direman tujuh hari.
    
Perintah itu dikeluarkan Majistret Leona Dominic Mojiliu setelah meluluskan permohonan reman yang dikemukakan pegawai penyiasat Inspektor Norashikin Adin.
    
Dalam permohonannya Norashikin memberitahu, pada 22 Februari lalu seorang wanita telah membuat laporan di Balai Polis Pusat Miri.
    
Dalam aduannya, pengadu mendakwa pada 21 Februari lalu semasa berada di rumah, beliau telah diberitahu oleh anak lelakinya yang berusia 12 tahun bahawa dia telah dicabul bapa tirinya (suspek) sejak bulan lepas.
    
Anak pengadu memberitahu suspek pernah membawanya masuk ke dalam tandas dan memegang kemaluannya. 
    
Kejadian itu berlarutan hingga ke bulan ini menyebabkan mangsa yang sudah tidak tahan dengan perbuatan suspek menceritakan perkara tersebut kepada ibunya.
    
Berikutan itu, pada 22 Februari lalu pengadu telah membawa mangsa dan dua lagi anaknya, seorang lelaki dan seorang perempuan masing-masing berusia 15 dan 13 tahun ke Hospital Miri untuk menjalani pemeriksaan kerana mengesyaki dua lagi anaknya itu turut dicabul suspek.
    
Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 9 malam 22 Februari lalu di sebuah pondok pengawal tidak bernombor di Taman Bulatan di sini, polis telah menangkap suspek kerana disyaki terlibat dalam kes ini.
    
Dalam permohonan lanjutnya Norashikin berkata, reman selama tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas suspek yang berusia 49 tahun dari Kampung Lereng Bukit di sini amat diperlukan untuk membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini yang disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
    
Selain itu, polis masih memerlukan masa untuk mendapatkan laporan perubatan ketiga-tiga mangsa, justeru membebaskan suspek lebih awal akan menjejaskan siasatan lanjut polis.
    
Mahkamah membenarkan permohonan itu dan memerintahkan suspek direman sehingga 2 Mac depan.

  • oleh
  • Advertisement