Anda di sini

Kontinjen Sarawak sedia sahut cabaran Sukma 2022

Advertisement

KUCHING: Kontinjen Sarawak menyatakan kesediaan untuk menyahut cabaran bagi Sukan Malaysia (Sukma 2022) Edisi Khas di Kuala Lumpur.

Pemangku  Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Negeri Semawi Mohammad berkata, pada kali kini Sarawak akan disertai kekuatan kontinjen seramai 340 orang termasuk pegawai dan jurulatih serta atlet bagi 21 sukan yang akan dipertandingkan.

"Kami telah bersedia antara 80 hingga 90 peratus bagi cabaran dan persediaan kami termasuk program latihan sepanjang tahun dan juga telah menyertai kejohanan pendedahan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

"Sarawak akan menyertai kesemua 21 jenis sukan yang dipertandingkan iaitu 16 sukan wajib dan lima sukan pilihan," katanya pada sidang media di Pusat Akuatik Pandelela Rinong di sini, hari ini.

Semawi bersama kontinjen Sarawak menunjukkan bendera negeri selepas sidang media, hari ini.
Semawi bersama kontinjen Sarawak menunjukkan bendera negeri selepas sidang media, hari ini.

Menurut beliau, antara sukan wajib yang disertai termasuk akuatik, badminton, berbasikan (BMX, trek dan lebuh raya), bola sepak, gimnastik artistik dan gimrama, hoki, karate, lawn bowl, memanah, menembak, olahraga, pencak silat, skuasy, tenpin boling, wushu dan pelayaran.

Manakala bagi sukan pilihan Sarawak kata beliau akan menyertai acara angkat berat, bola jaring, ragbi, sepak takraw dan tinju.

Semawi berkata, sasaran pingat emas Sarawak akan diumumkan pada 10 Mac ini oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dalam satu majlis nanti.

"Bagi atlet yang telah mengundur diri dari latihan pasukan iaitu seramai 101 orang dan kontinjen Sarawak mempunyai pelapis dari Program Cemerlang untuk menggantikan atlet terbabit.

"Ini bermaksud kontinjen Sarawak tidak mempunyai masalah dari segi pelapis kerana kita mempunyai seramai 1,521 atlet pelapis dari Program Cemerlang yang boleh diketengahkan di seluruh negeri," katanya.

Mengulas lanjut mengenai Sukma 2022, beliau memberitahu temasya berkenaan diadakan di Kuala Lumpur susulan persetujuan kabinet setelah Johor memohon penangguhan temasya tersebut yang sepatutnya diadakan di negeri berkenaan selaku tuan rumah pada tahun ini.

Katanya, penganjuran akan dilaksanakan pada dua daripada tiga fasa yang akan ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Ini membolehkan penyertaan kontinjen boleh dikawal menggunakan model gelembung sukan serta pematuhan SOP yang ditetapkan MKN.

"Penganjuran Model Gelembung Sukan bermaksud atlet dan pegawai akan menginap dan bertanding di tempat yang sama atau bertanding di tempat yang lain tanpa ada persinggahan di tempat lain," katanya.

Semawi sehubungan itu menasihatkan kepada semua jurulatih dan atlet supaya sentiasa mengamalkan pematuhan SOP semasa bagi mengelakkan jangkitan COVID-19 dan demi kesejahteraan bersama.

  • oleh
  • Advertisement