Anda di sini

Muzium Budaya Borneo, dibuka bermula 9 Mac

Advertisement

KUCHING: Muzium Budaya Borneo, muzium terbesar di Malaysia dan kedua terbesar di Asia Tenggara akan dibuka kepada orang ramai bermula 9 Mac depan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Muzium Budaya Borneo akan menjadi tarikan atau destinasi wajib dikunjungi di Kuching.

Tiga tema dipilih bagi setiap aras bangunan muzium itu, iaitu 'Sayangi Sungai Kita' (Aras Dua), ‘Harmoni dengan Alam Semula Jadi (Aras Tiga), 'Perubahan Masa (Aras Empat) dan 'Objek Keinginan' (Aras Lima).

Aras Dua direka bentuk bagi memenuhi tanggungjawab sosial dengan memperkasakan imaginasi kanak-kanak dan penjagaan alam sekitar.

Aras Tiga pula meneroka hubungan antara manusia dan alam semula jadi, manakala Aras Empat mempamerkan sejarah Sarawak dan Borneo dari zaman pra sejarah hingga tahun 1970an dan Aras Lima menempatkan objek-objek paling dihargai kumpulan etnik Sarawak.

Selain itu, ia akan menawarkan pengalaman mendalam dan menarik kepada pengunjung kerana menggunakan teknologi audio visual juga realiti terimbuh (AR).

"Mereka yang berkeluarga pastinya teruja membawa anak-anak ke sini dan saya percaya penduduk tempatan mempunyai keinginan tinggi untuk mengunjungi muzium ini. Panduan akan disediakan untuk pengunjung supaya mereka lebih memahami sejarah Sarawak dan asal usul artifak-artifaknya," katanya pada sidang media di sini pada Selasa.

Hadir sama pada sidang media itu Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Hii Chang Kee dan Pengarah Jabatan Muzium Sarawak Tazudin Mohtar.

Abdul Karim bersama Hii (kiri) dan Tazudin (kanan) merakam kenangan di hadapan Muzium Budaya Borneo.
Abdul Karim bersama Hii dan Tazudin di hadapan Muzium Budaya Borneo.

Majlis perasmian muzium ini akan diadakan pada 4 Mac oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada pukul 8 malam.

"Selepas beberapa tahun menunggu akhirnya, kita akan menyaksikan pelancaran muzium baharu ini tidak lama lagi," katanya.

Abdul Karim berkata Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan beliau akan berucap pada majlis berkenaan kemudian diikuti pertunjukan unjuran pemetaan bangunan Muzium Budaya Borneo.

Menjelas lanjut, beliau berkata pembukaan muzium baharu itu sepatutnya lebih awal namun terpaksa ditangguhkan kerana COVID-19.’

Muzium itu dan bangunan tambahannya dibina di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), sebahagian daripada Projek Kampus Muzium Sarawak, menelan kos RM323 juta yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

Ia merupakan muzium pertama mendapat pensijilan di bawah index Bangunan Hijau dan bangunan lima tingkat itu meliputi pameran kekal, galeri kanak-kanak, bilik majlis, bilik VIP, auditorium, restoran, kantin, kedai cenderamata termasuk galeri seni dan kraf.

6,628 meter persegi dikhaskan untuk ruang pameran dalam bangunan baharu dan jumlah keluasan lantai muzium serta bangunan tambahan pula sekitar 31,000 meter persegi.

Muzium Budaya Borneo akan dibuka setiap hari dari 9 pagi hingga 4.45 petang dari Isnin hingga Jumaat dan 9.30 pagi hingga 4.30 petang pada Sabtu, Ahad dan cuti umum. Kemasukan terakhir pada 4 petang.

Orang ramai digalakkan membuat tempahan awal untuk mengunjungi Muzium Budaya Borneo menerusi lawan web museum.sarawak.gov.my kerana hanya 500 pengunjung dibenarkan berada di dalam bangunan tersebut pada satu-satu masa.

Tempahan waktu mengunjungi muzium itu boleh dilakukan bermula 1 Mac ini.

Abdul Karim berkata beliau akan mengadakan rundingan dengan Kabinet Negeri mengenai bayaran masuk ke muzium tersebut. Bagi tiga bulan pertama selepas perasmiannya tiada bayaran masuk dikenakan.

Advertisement