Anda di sini

Tanam mayat bayi, sembunyi kelahiran

Advertisement

MIRI: Sepasang kekasih yang disyaki cuba menyembunyikan kelahiran bayi dengan menanam mayatnya berhampiran Kampung Bukit Jagus Lambir di sini ditahan polis pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Polis (ACP) Hakemal Hawari berkata pasangan wanita berusia 19 tahun bersama teman lelakinya berumur 29 tahun ditahan di lokasi berasingan pada kira-kira jam 3.30 pagi.

Suspek membawa polis ke lokasi mayat bayi berusia kurang seminggu itu berhampiran rumah teman lelakinya, katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hakemal berkata siasatan awal mendapati remaja berkenaan melahirkan bayi itu di asrama sebuah sekolah.

Menurutnya, warden sekolah berkenaan membawa remaja itu ke Hospital Miri untuk pemeriksaan kesihatan susulan mengalami pendarahan teruk.

"Punca pendarahan itu membawa kepada terbongkarnya kes penyembunyian kelahiran bayi dan satu laporan polis telah dibuat selepas itu. Hasil tangkapan itu juga, pasukan polis menemukan mayat bayi yang sudah reput yang ditanam," jelasnya.

Suspek lelaki ditahan pada Ahad lepas kerana disyaki menanam mayat bayi.

Mayat bayi terbabit kemudian dibawa ke Hospital Miri untuk tindakan lanjut.

Hakemal berkata polis tidak akan berkompromi dan akan bertindak dengan sewajarnya dengan undang-undang yang sedia ada. 

Kes disiasat dibawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi.

"Hukuman tegas bagi kesalahan buang bayi dan menyembunyikan kelahiran kepada individu dan bersubahat dengan perlakuan jenyah ini," tegasnya lagi.

PDRM Miri juga memohon kerjasama daripada semua pihak perlu dalam memastikan perbuatan jenayah ini ditangani secara menyeluruh.

"Masyarakat menjadi mata dan telinga kepada polis bagi menyalurkan makumat supaya tindakan awal dapat dibuat termasuk membawa pelaku ke muka pengadilan," jelasnya.
 

  • oleh
  • Advertisement