Anda di sini

Parlimen

Advertisement
 

Oleh Lokman Hakim

“Hari itu, pada 26 Jun 1284, peniup seruling kembali ke Hamelin demi membalas dendam. 130 orang anak warga Hamelin dipukau tiupan seruling ajaib lalu dibawa ke destinasi yang hanya peniup seruling tahu.”

1.
TANGGAL 26 Jun 2021, Parlimen sedang berusaha untuk menanggalkan kasutnya. Bangunan agam itu berpendapat ia harus berkelana keliling negara. Pungut suara rakyat dan mencetaknya menjadi kanun. Tapis sendiri kebenaran yang bersalut kebatilan.
       Kasut darurat yang membelenggu ditanggalkan mudah. Tiada pengawal memantau keadaan. Tiada ahli politik kelihatan. Dengar ceritanya masing-masing berkurung di rumah kerana pandemik. Parlimen percaya terdapat bayang-bayang sebuah persidangan mirip dirinya dalam alam maya. Tetapi itu hanya cerita yang didengarnya dari negara antah-berantah yang entah wujud atau tidak. Fiksyen semata-mata.
       Parlimen dapati kasut darurat bukanlah satu-satunya rantai yang membelenggunya ke landskap sedia ada itu. Kasut yang mengikat kakinya itu bagai matryoshka. Satu kasut melapisi kasut yang lain. Kasut darurat hanya satu daripada ribuan kasut. Parlimen mengeluh. Dia memerhati persekitaran. Cahaya matahari tegak di atas kepala. Taman yang mengitarinya kekal pegun menghijau. Hari yang baik untuk persidangan, fikir Parlimen. Tetapi tiada tanda-tanda sebarang persidangan akan berlaku.
       Bantu aku, bantu aku! Tiada sesiapa mendengar. Mungkin hantu politikus yang ditunggu akan membantu tetapi ia tahu entiti sebegitu juga sudah lapuk dek zaman. Fikiran sudah berkarat. Ia melihat bagaimana hantu politikus muncul di depannya terkebil-kebil dalam keadaan kebebalan. Bantu aku! Lalu dijawab, bantu apa? Engkau hanya sebuah bangunan.
       Sebuah bangunan tidak mungkin ditimpa mimpi ngeri. Namun Parlimen bukanlah bangunan sebegitu. Sejak pandemik melanda, ia mendapati keluh-kesah rakyat sudah menempel bagai wabak di segenap penjuru bangunan. Kesusahan rakyat itu punya sifat aerosol. Menyebar di udara dengan mudah. Bahkan ia juga meresap ke dalam laman media sosial. Menjangkiti mereka yang bersemangat untuk hidup dengan kekalahan derita yang berpanjangan.
       Parlimen mahu memadamkan semua itu. 
       “Kau mahu pergi mana, Parlimen?”
       “Ke seluruh negara! Aku mahu padamkan mimpi-mimpi ngeriku! Keluhan rakyat buatkan aku gelisah.”
       “Nak aku bantu?”
       “Semestinya!”
       Entah mengapa Parlimen tidak tahu identiti individu yang mahu membantunya itu. Orang itu memakai kelengkapan perlindungan diri. Wajahnya ditutup pelitup muka dan pelindung muka. Suaranya juga kabur-kabur. Parlimen tidak mahu ambil tahu siapa gerangan insan yang membantunya itu. Ia mahu bebas. Itu sudah penting.
       Orang itu pergi ke segenap penjuru pasak yang mengekang Parlimen selama ini lalu meleraikan tali-temali yang menjerut. Tali darurat. Tali PKP. Tali kebebalan. Tali kemabukan kuasa. Banyak benar lapis kasut yang merantai Parlimen selama ini. Meskipun begitu, orang itu tenang sahaja meleraikan setiap ikatan. Seolah-olah orang itu sudah terbiasa dengan kerja-kerja sebegitu.
       Setelah kesemua ikatan terlerai, Parlimen segera melonjak meninggalkan landskap tersebut. Ia mahu bebas daripada mimpi-mimpi ngeri. Ia mahu singgah di setiap bandar dan mendengar keluh-kesah masyarakat lalu menyelesaikan masalah. Ia mahu memasuki kampung-kampung dan kawasan pedalaman. Biar semua orang berpeluang masuk ke dalam Parlimen dan berdebat mencari penyelesaian terhadap masalah yang mereka lalui.
       Sementara itu, orang yang membebaskan Parlimen sekadar berdiri di tengah-tengah tapak Parlimen yang kini kosong. Dia tidak bergerak. Dia menyaksikan bagaimana bangunan agam berlari ke tengah lebuh raya dan membuatkan setiap penyaksi terpaku di tempat masing-masing. Melihat wajah terkejut masing-masing itu membuatkannya ketawa.
       Dia mencari tempat berteduh di pondok pengawal berhampiran. Pengawal yang bertugas di situ sudah keluar mengejar Parlimen yang bergerak agak laju dengan kaki cerucuknya ligat melangkah macam kaki lipan. Sambil-sambil itu dia mengeluarkan seruling pusaka yang sering menemaninya selama ini. Dia menanggalkan pelitup muka dan gogal lalu menyembur seruling pusaka itu dengan cecair sanitasi. Setelah dirasakan bersih, dia mula meniup seruling itu.
       ‘Ceh, tak perlu gunakan seruling, parlimen dah berlari sendiri. Negara ini dalam petaka ‘jadong’ yang teramat dahsyat.
       Fikir orang itu, dia harus singgah di mana-mana rumah. Melihat dengan mata sendiri apakah yang boleh diperolehi dengan berita Parlimen berlari meninggalkan tapaknya itu. Mungkin juga boleh disinggahi Istana Negara. Mungkin juga boleh disinggahi penghuni-penghuni Bukit Tunku. Ah, Putrajaya juga punya banyak bangunan agam. Dia berfikir lagi. Jika hendak diusir sesuatu dari negara ini, siapa atau apa yang harus diusir? COVID-19? Ia tidak mudah. Dia tidak punya stamina untuk meniup seruling ajaib demi mengusir COVID-19 dari setiap kediaman. Hendak dibuang di mana? Di dalam lautan cecair sanitasi?
       Lebih mudah mengusir orang. Menghantar mereka ke suatu tempat lalu dihilangkan. Namun perkara itu hanya boleh dilakukan dalam skala kecil. Dia hanya seorang diri. Hidup berabad-abad lamanya dan merantau dari suatu tempat ke tempat yang lain. Setelah bahang mentari dirasakan begitu terik, dia segera menaiki skuter yang diparkirnya di tapak bangunan parlimen. 
       Perlahan-lahan skuter itu meninggalkan tapak bangunan parlimen yang kini kosong. Huru-hara sedang menguasai negara. 

2.
       “Peniup seruling Hamelin kini seorang Muslim?”
       Tanya bilal sesudah sang peniup seruling itu selesai menunaikan solat Asar di perkarangan masjid. 
       “Terdapat banyak cerita apabila hidup terlalu lama. Bahkan cerita yang mengiringi juga boleh ditelan kekarutan.”
       “Saya percaya apabila kamu kata yang kamu peniup seruling dari Hamelin itu. Ah, siapa lagi dapat bersolat di sini senyap-senyap di dalam masjid tanpa perlu menyorok di sudut terlindung? Kamu bukan orang biasa.”
       Sang peniup seruling tersenyum. Wajah bilal masih tidak jelas kelihatan kerana pelitup muka yang dipakainya. Biarpun mereka sedang berbual, tetapi jarak mereka agak jauh. Bilal itu memberitahu perihal masjid yang sunyi ketika waktu solat kerana pematuhan kepada prosedur operasi standard.
       “Berapa ramai yang bersolat hari ini?”
       Sang bilal teragak-agak menjawab soalan itu. Dia khuatir sang peniup seruling itu memandang serong ke atas umat Islam yang memulaukan rumah ibadat pada waktu pandemik melanda itu. Tambahan pula sang peniup seruling itu orang luar.
       “Adalah dalam lima ke tujuh orang.”
       “Nak tengok masjid kembali penuh ke?”
       “Semestinya, tapi apa kan daya. Arahan pemerintah harus dipatuhi. Wabak harus dikekang. Barulah masjid boleh kembali sarat dengan jemaah.”
       “Tapi saya ini peniup seruling yang boleh pukau manusia ikut saya. Jadi saya yakin saya boleh bawa orang ramai kembali bersolat di masjid.”
       Sang bilal menggeleng. Sang peniup seruling sedar ada senyuman menguntum di sebalik pelitup muka yang dipakai sang bilal itu. Mereka saling berbalas senyuman biarpun senyuman masing-masing terlindung rapi dek pelitup muka.
       “Jika kamu boleh seret wabak itu pergi rasanya itu lebih elok. Seruling kamu tak boleh buat perkara itu?”
       “Andai diizinkan Allah Taala, tiada apa-apapun yang mustahil di dunia ini. Insya-Allah.”

3.
       Sekatan jalan raya bukan suatu masalah bagi sang peniup seruling. Seperti ahli sihir, dia melintasi sekatan jalan raya dengan tenang tanpa dihadang petugas. Skuter yang digunakan itu agak bising juga enjinnya. Tanpa perlu menunjukkan sebarang surat kebenaran rentas daerah, sang peniup seruling menunggang skuternya dengan tenang seolah-olah tiada sesiapa pun menyedari kehadirannya.

 

4.
       Bangunan Parlimen runtuh di Putrajaya. Bangunan Parlimen tenggelam di pesisir Pulau Pinang. Bangunan Parlimen ditelan naga Tasik Chini. Bangunan Parlimen dilanggar todak di Tambak Johor.
       Aneh didengari tetapi ia merupakan berita yang kerap beredaran di media sosial. Sang peniup seruling sering ketawa tatkala mendengar berita mengenai Parlimen yang berkeliaran liar itu. 
       Tiada siapa yang berfikiran waras berani memasuki bangunan agam yang bergerak. Persis kaiju, Parlimen dijauhi. Dibedil dan cuba dimusnahkan dengan apa jua cara kerana tiada siapa mahu memahami bagaimana sebuah bangunan boleh bergerak dan mempunyai keinginan untuk berkelana. Oleh demikian, mimpi-mimpi ngeri yang mendatangi Parlimen kian melarat. Hingga Parlimen tidak mampu berlama-lama di sesebuah tempat. Ia harus terus berjalan tanpa mengetahui di mana harus ia berhenti.
       Ia teringat pada individu yang membebaskannya. Barangkali, ia harus kembali ke tapak asalnya. Malaysia tidak boleh menerima kewujudan sepertinya. Perubahan sedrastik itu tidak mampu ditelan masyarakat yang sudah tidak percaya pada perubahan.
       Aku mahu meranapkan kerakusan politikus!
       Aku mahu diriku menjadi tempat perdebatan Yang Berkhidmat demi menegakkan hak kesejahteraan rakyat!
       Keinginan-keinginan Parlimen itu langsung tidak didengari ataupun dibaca sesiapa. Suaranya lantang tetapi ditafsirkan selaku ngauman raksasa. Aneh, fikir Parlimen lagi. Sang peniup seruling begitu mudah memahami keinginannya tanpa bicara panjang lebar. 
Tanggal 14 Julai 2021, setelah mendengar perkhabaran bahawa Majlis Raja-Raja telah bertitah agar sidang parlimen disambung semula dalam waktu terdekat, Parlimen melangkah kembali ke tempat asalnya lalu menyarung kakinya ke dalam kasut seribu belenggu. Ia kembali menjadi bangunan tanpa sesiapa pun mengingati episod perkelanaannya ke seluruh negara mencari keadilan.

5.
       Sang peniup seruling sudah pun tiba di depan bangunan parlimen. Dia mengeluarkan seruling ajaibnya dengan hasrat mahu meniupnya sedaya upaya. Walaupun begitu, di dalam kepalanya tidak terletak apa-apa matlamat mengiringi tiupan seruling itu. Dia hanya mahu mencuba sesuatu. 
       Gogal dan pelitup muka ditanggalkan. Baru sahaja dia mahu meniup seruling, tiba-tiba sekumpulan polis peronda muncul lalu mengepungnya.
       “Kamu buat apa di depan bangunan Parlimen?”
       Hal itu mengejutkan sang peniup seruling. Dia terdiam akibat terkedu. Magisnya sudah lesap begitu sahaja. Dia mahu menyimpan kembali seruling itu tetapi pantas tindakannya terhalang.
       “Bagi kami periksa seruling itu dulu.”
       “Err, tapi... tapi....”
       “Kamu datang dari mana? Surat kebenaran ada?”
       Sang peniup seruling tidak tahu bagaimana mahu menceritakan asal-usulnya. Dia tidak begitu peka dengan perubahan prosedur operasi standard. Perintah Kawalan Pergerakan tidak pernah berhasil mengekangnya kerana kelibatnya yang sering ghaib daripada pandangan manusia biasa. Tiada keperluan untuknya berwaspada dengan undang-undang ciptaan manusia itu. Meskipun begitu, dia menyedari bahaya wabak dan sering mengambil langkah berwaspada. 
       Tubuhnya digeledah. Barang yang ditemui pihak polis: peta Piri Reis, kantung air abad ke-15, sebuah kitab lusuh yang ditulis dengan huruf-huruf rune, manuskrip muzik Mozart dan beberapa lagi barangan arkaik. Meskipun begitu, tiada seorang pun anggota polis yang peduli mengenai barangan arkaik itu. Fokus mereka hanya satu: surat kebenaran yang membolehkan sang peniup seruling merentas daerah. Apa yang jelas, sang peniup seruling tidak memiliki apa-apa dokumen seperti kad pengenalan, pasport dan juga surat kebenaran tersebut.
       “Pendatang asing? Ikut kami ke balai.”
       Sang peniup seruling hanya mampu berserah kepada Tuhan tatkala tangannya digari dan dibawa masuk ke dalam kereta polis. Dia bersyukur kepada Tuhan kerana seruling ajaibnya tidak ditinggalkan begitu sahaja di perkarangan parlimen.
       Dengarnya sidang parlimen akan bermula tidak lama lagi. Manakala, sang peniup seruling masih tidak tahu apa yang akan terjadi jika seruling ajaibnya ditiup di depan parlimen.


Glosari 
matryoshka    set patung ukiran kayu yang menjadi simbol budaya Rusia, terdiri daripada patung ‘ibu’ dan anak-anak patung yang bersaiz lebih kecil daripada satu sama lain.  
kaiju               perkataan dari bahasa Jepun yang merujuk haiwan ganjil berbadan besar; raksasa.
rune               huruf-huruf dalam satu set abjad Jerman kuno yang dikenal sebagai abjad Runik.

 
 
Advertisement