Anda di sini

Pemberian jawatan tetap legakan doktor kontrak

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pemberian jawatan tetap kepada pegawai perubatan kontrak baru-baru ini memberi kelegaan kepada golongan doktor kontrak yang sudah tentunya tertunggu-tunggu berita baik itu.

Keputusan ini pastinya telah membuktikan kesungguhan Perdana Menteri menyelesaikan isu yang membelenggu doktor kontrak sejak lima tahun lalu sekali gus menunjukkan keprihatinan beliau terhadap isu tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, keputusan itu akan dapat memperkasakan perkhidmatan pegawai perubatan di hospital yang sekali gus meningkatkan taraf kesihatan Keluarga Malaysia.

“Ini merupakan berita baik untuk barisan hadapan kesihatan semua yang mana kerajaan mengumumkan lebih 11,000 lantikan tetap jawatan di Kementerian Kesihatan bagi tahun 2022 hingga 2025.

“Kira-kira 1,500 jawatan tetap terdiri daripada pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi akan diwujudkan setiap tahun. Selain itu terdapat juga penambahan jawatan di bahagian lain, termasuk pakar perubatan dan pergigian,” katanya dalam satu hantaran status di Facebook Keluarga Malaysia baru-baru ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri: Pemberian jawatan tetap kepada pegawai perubatan kontrak baru-baru ini dapat meningkatkan taraf kesihatan Keluarga Malaysia. - Sumber gambar Facebook Keluarga Malaysia

Dalam perkembangan sama, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyifatkan keputusan kerajaan untuk mewujudkan 4,186 jawatan tetap yang melibatkan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan ahli farmasi bagi tahun ini merupakan satu langkah yang baik.

Presidennya, Dr Koh Kah Chai berkata, ini merupakan penantian yang agak lama bagi doktor kontrak dan kami percaya langkah yang diambil oleh kerajaan untuk memberikan 3,586 jawatan tetap kepada pegawai perubatan tahun ini adalah satu permulaan dan akan ditingkatkan secara berkala setiap tahun.

“Ini dapat memberikan kelegaan kepada doktor kontrak. Jawatan-jawatan ini mungkin masih tidak mencukupi kerana masih ramai doktor terpaksa menunggu masa yang lama untuk diberikan posisi tetap tetapi kita berharap agar lebih banyak jawatan akan dibuka saban tahun supaya masalah ini dapat diselesaikan dengan kadar segera.

“Selain itu, mewujudkan 800 jawatan tetap untuk pakar perubatan serta 70 pakar pergigian setiap tahun mulai 2023 dan seterusnya sememangnya dialu-alukan. Namun begitu, jawatan tetap tersebut mungkin masih tidak mencukupi dan ada sebilangan doktor kontrak perlu menunggu lama untuk diserap sebagai doktor tetap,” katanya ketika dihubungi wartawan Utusan Borneo, Ahad lalu.

Dr Koh Kah Chai

Pihak MMA juga katanya, berharap agar lebih banyak jawatan itu dibuka setiap tahun supaya isu itu dapat diselesaikan secepat yang mungkin.

Menurut Dr Koh, cabaran bagi Kementerian Kesihatan (KKM) dan kerajaan secara keseluruhannya adalah untuk menyediakan penyelesaian jangka panjang bagi memadankan keperluan tenaga kerja dan penjagaan kesihatan negara.

Menurutnya, ini kerana jumlah graduan perubatan baharu semakin meningkat dan mereka amat diperlukan untuk penambahbaikan perkhidmatan penjagaan kesihatan di negara ini. 

Oleh itu katanya, peluang bagi pengkhususan dalam bidang kepakaran perlu ditambah bagi mengisi kekosongan pakar di Malaysia.

“Pada masa sama, keperluan penjagaan kesihatan rakyat juga semakin meningkat. Oleh itu, penambahbaikan kepada nisbah doktor dan pesakit di samping peningkatan penjagaan pakar amat diperlukan.

“Kita perlu terus sertai libat urus dalam perancangan terhadap sumber manusia aspek penjagaan kesihatan negara serta infrastruktur pada masa hadapan,” katanya.

Berhubung pemberian jawatan tetap yang disertakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berbanding skim pencen, Dr Koh berkata, ia pada akhirnya akan kembali menjadi pilihan doktor tersebut tentang apa yang mereka mahukan. 

“Jawatan dibawah skim pencen ini akan memberikan manfaat kepada mereka yang pilih untuk kekal dalam sektor perkhidmatan awam ini sehingga mereka bersara,” katanya.

Sementara itu, bekas Presiden MMA, Dr N.G Baskaran menyambut baik pengumuman kerajaan berkenaan lantikan tetap jawatan di Kementerian Kesihatan (KKM) bagi tahun 2020 hingga 2025.

“Pengumuman ini merupakan keputusan yang ditunggu-tunggu doktor kontrak di seluruh negara.

“Walaupun ini hanya permulaan, tetapi ini satu perubahan yang baik dan saya harap kerajaan boleh teruskan usaha ini memandangkan sekarang kita mempunyai lebih 23,000 pegawai perubatan menunggu tawaran tetap,” katanya ketika dihubungi wartawan Utusan Borneo.

Dr N.G Baskaran

Dr N.G Baskaran turut mengucapkan terima kasih pada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang terlibat dalam menjayakan usaha ini.

“Usaha ini merupakan lembaran jalan baharu kepada pegawai perubatan terutamanya doktor-doktor muda dan pada masa sama, ia mampu memberi impak yang positif pada sektor kesihatan.

“Ia juga menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap nasib pegawai perubatan yang banyak berkorban masa dan tenaga pada ketika ini. Dalam keadaan semasa sekarang, mereka adalah aset yang sangat penting kepada negara.

“Selain itu, lantikan ini juga banyak memberi kelebihan dan keistimewaan seperti peluang untuk mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

“Namun begitu, kita tidak boleh lupakan pegawai perubatan yang lain kerana isu doktor kontrak ini bukanlah sesuatu yang baharu, ia telah diperjuangkan sejak tahun 2016 lagi dan masih banyak yang perlu diperbaiki,” katanya.

Dalam keadaan semasa sekarang, pegawai perubatan merupakan  aset yang sangat penting kepada negara. - Gambar BERNAMA

Pada 10 Februari lalu, Khairy dalam kenyataannya memaklumkan jemaah menteri bersetuju supaya 4,186 jawatan tetap tambahan diwujudkan di KKM pada tahun ini.

Jelasnya, jumlah itu melibatkan pelantikan seramai 3,586 pegawai perubatan, 300 pegawai pergigian dan 300 pegawai farmasi.
 

Advertisement