Anda di sini

Bekas pemandu jabatan kebajikan kena lapan tahun akibat merogol 

Advertisement
 Tertuduh (kiri) keluar dari kamar mahkamah petang tadi selesai prosiding kes. 
BERSALAH: Tertuduh (kiri) keluar dari kamar mahkamah petang tadi selesai prosiding kes. 

KUCHING: Seorang bekas pemandu jabatan kebajikan dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dikenakan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana merogol remaja perempuan di sebuah rumah kebajikan pada 2018. 

Hakim Jason Juga menetapkan demikian terhadap tertuduh berusia 49 tahun itu yang didapati bersalah atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan selepas perbicaraan penuh, susulan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh di akhir kes pembelaan.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan. 

Berdasarkan pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa merogol mangsa perempuan berusia 16 tahun pada waktu kejadian, di dalam bilik stor dewan serbaguna di sebuah rumah kebajikan di Jalan Kuching-Serian pada 29 Mac 2018. 

Pertuduhan kedua pula menyaksikan tertuduh didakwa merogol mangsa sama di dalam tandas lelaki di dewan serba guna tersebut pada April 2018. 

Menurut laporan terdahulu, tertuduh yang terdahulunya bertugas sebagai pemandu di rumah kebajikan tersebut ditahan polis sekitar Januari 2019 setelah mangsa menceritakan kepada pihak pengurusan rumah kebajikan berhubung kejadian tersebut setahun kemudian. 

Sebelum dijatuhkan hukum, tertuduh menerusi peguamnya Wit Malang merayu agar tidak dikenakan hukuman berat atas alasan tertuduh merupakan pencari nafkah tunggal serta mempunyai seorang isteri dan tiga orang anak untuk ditanggung. 

Wit juga memaklumkan mahkamah bahawa anak perempuan tertuduh mengalami masalah jantung dan memerlukan tertuduh untuk menanggungnya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan bagaimanapun memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman berat dengan mengambil kira faktor tertuduh didapati bersalah selepas perbicaraan penuh dan kes ini telah menelan kos serta masa. 

Selain itu menurutnya, mahkamah perlu ngambil kira faktor jarak usia tertuduh dan mangsa, kesan trauma dialami mangsa, kepentingan awam dan keseriusan kesalahan yang dilakukan.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan tertuduh dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan yang dihadapinya. 

Mahkamah bagaimanapun memerintahkan hukuman penjara dijalankan secara serentak berkuat kuasa hari ini. 

Dalam pada itu juga, Wit memohon agar mahkamah menangguhkan hukuman ke atas anak guamnya sementara menunggu rayuan difailkan.

Mahkamah membenarkan permohonan tersebut dan tertuduh diberikan jaminan RM20,000 dengan RM5,000 didepositkan berserta dua penjamin tempatan mempunyai pekerjaan dan alamat tetap.

Advertisement