Anda di sini

“Api Macam Matahari dan Bulan”: Satu Analisis Kritikan Eko

Advertisement
 

Oleh Dilah Tuah

Pengenalan

ALAM semula jadi sering kali menjadi metafora kehidupan dalam sesebuah teks sastera. Hubungan akrab antara alam dan sastera turut membentuk satu konsep penelitian, iaitu Environmental Literature (Kesusasteraan Alam Sekitar) atau Ecocriticism (Kritikan Eko) yang melihat hubungan antara manusia, masyarakat dan alam sekitar dalam sesebuah teks sastera. Dalam kesusasteraan alam sekitar, pengarang berperanan menyuburkan kefahaman dan sokongan yang jelas terhadap penjagaan dan keprihatinan manusia terhadap alam sekitar. Antara pengarang mutakhir yang mengangkat citra alam sekitar dalam karya mereka ialah Indra Sinda (Animal’s People, 2009), Ruth Ozeki (My Year of Meats, 2013), J.M. Coetzee (Disgrace, 2000), Wu Ming-Yi (The Man with the Compound Eyes, 2013), Richard Powers (The Overstory, 2019) dan ramai lagi. Kebanyakan karya ini mengangkat persoalan pemeliharaan alam sekitar serta perubahan iklim dunia sebagai satu wadah untuk memberikan kesedaran kepada khalayak pembaca.

    Di Malaysia khususnya di Sarawak, antara pengarang yang banyak menulis karya berorientasikan kesusasteraan alam sekitar ialah Jong Chian Lai. Dalam beberapa buah karyanya seperti Pindah (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988), Gugurnya Langit Hijau Nanga Tiga (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990), Long Busang (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005) dan Suara dari Rimba (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2008), jelas memperlihatkan pengaruh environmentalisme sastera yang menjadi falsafah perjuangan Jong Chian Lai. Mutakhir, Jong Chian Lai sekali lagi menghasilkan sebuah cerpen yang berteraskan kesusasteraan alam sekitar, iaitu “Api Macam Matahari dan Bulan” yang tersiar di ruangan Yang Indah Itu Bahasa, Utusan Borneo. Sekiranya kita menjejaki alur kepengarangan Jong Chian Lai dalam ruang lingkup environmentalisme sastera, terdapat ruang masa yang agak panjang dari satu karya ke satu karya beliau yang lain. Karya terakhir yang bercitra kesusasteraan alam sekitar dapat ditemui dalam cerpennya yang berjudul “Kocak di Rimba” (Dewan Sastera, Februari 2011). Manakala novel Ah-Fook yang diterbitkan pada tahun 2015, hanya membawa persoalan sosiobudaya dan perpaduan. Justeru dalam hal ini, jelas hampir sedekad Jong Chian Lai tidak menghasilkan karya yang membincangkan permasalahan alam sekitar yang dihadapi oleh manusia.

    Bertitik tolak daripada kelompangan ruang masa yang agak panjang ini, penyiaran cerpen “Api Macam Matahari dan Bulan” pada tahun 2022 tentu sekali mengundang keinginan khalayak untuk mengetahui pemikiran dan alur perjuangan Jong Chian Lai sebagai seorang environmentalisme sastera. Adakah Jong Chian Lai masih lagi menjadi penyambung lidah golongan subaltern (minoriti) seperti watak Ungging dalam Pindah atau watak Kurau Kusin, Gerawat Megud, Busak Elok dan Bunga Gerawat dalam cerpen “Kocak di Rimba” yang ditindas oleh tauke balak di rimba Long Bedian? Atau, apakah Jong Chian Lai bakal menampilkan gaya pemikiran baharu yang lebih terbuka serta tidak terikat lagi dengan konflik penindasan dan perjuangan golongan subaltern? Berpandukan persoalan-persoalan tersebut, maka penelitian ini akan mengupas cerpen “Api Macam Matahari dan Bulan”, karya terbaharu Jong Chian Lai berlandaskan pendekatan kritikan eko.

Kritikan Eko dalam Penelitian Sastera

Pendekatan kritikan eko dalam karya sastera telah muncul sekitar pertengahan tahun 1990-an melalui buku yang ditulis oleh Cheryll Glotfelty & Harold Fromm iaitu The Ecocriticism Reader (1996) dan The Environmental Imagination (1996) oleh Lawrence Buell. Lebih awal daripada itu, istilah ecocriticism telah muncul dalam tulisan William Rueckert's yang berjudul Literature and Ecology: An Experiment in Ecocriticism (1978). Menurut Bruel (1998), teori kritikan eko mencadangkan bahawa penulis harus mempunyai komitmen dan tanggungjawab yang kuat terhadap alam sekitar. Manakala Glofelty & Fromm (1996) pula mengatakan bahawa kritikan eko mengkaji hubungan antara sastera dan persekitaran fizikal yang boleh dijelaskan apabila melihat hubungan antara alam dan budaya, termasuk bahasa dan sastera.

    Dalam konteks kritikan sastera, kritikan eko berperanan menyiasat hubungan antara manusia dengan alam semula jadi dalam sesebuah teks sastera. Salah satu matlamat utama dalam kritikan eko adalah untuk mengkaji bagaimana seseorang individu dalam masyarakat berkelakuan serta bertindak balas tentang alam semula jadi dan aspek ekologi. Dalam penelitian ini, empat prinsip kritikan eko yang dikemukakan oleh Howarth (1996) dalam Some Principles of Ecocriticism, iaitu ekologi, etika, bahasa dan kritikan akan dijadikan landasan untuk meneliti cerpen “Api Macam Matahari dan Bulan”. Selain itu, penelitian ini turut memfokuskan pengaruh pengarang sebagai enviromentalisme sastera, yang membincangkan permasalahan berkaitan dengan alam sekitar dalam karyanya.

Sinopsis “Api Macam Matahari dan Bulan”

Cerpen ini mengisahkan Smith Hutchon, seorang pakar Botani dari Universiti Darwin yang tinggal selama lima tahun di Ba Magoh. Di sana dia berkahwin dengan Busak Elon, anak perempuan kepada Gerawat Megud dan dikurniakan seorang anak lelaki, iaitu Henry Gerawat Smith. Selepas lima tahun tinggal bersama kaum Penan di Ba Magoh, Smith Hutchon kembali ke Australia bersama Henry Gerawat Smith tanpa disertai oleh Busak Elon. Di Australia, Smith Hutchon membesarkan Henry Gerawat Smith dengan kasih sayang dan mengekalkan jati dirinya sebagai anak Penan. Di sana juga, Henry Gerawat Smith menjadi orang Penan pertama di dunia mendapat pendidikan di luar negara dengan kelulusan ijazah kelas pertama.

    Selepas meninggalkan bumi Ba Magoh selama 20 tahun, Smith Hutchon dan Henry Gerawat Smith kembali dengan misi besar untuk memajukan orang Penan di kawasan tersebut. Melalui dana Aboriginals World Fund, dua anak beranak ini bertekad untuk memberikan sinar baharu kepada kaum Penan yang jauh ketinggalan dalam arus pemodenan. Di Ba Magoh, Smith Hutchon dan anaknya berjaya meyakinkan Kurau Kusin dan pengikutnya yang lain untuk menghentikan sekatan yang telah berlangsung selama 20 tahun. Di sana juga, Henry Gerawat Smith telah merealisasikan impian Kurau Kusin untuk mendapat ‘api macam matahari dan bulan’, iaitu lampu elektrik.

    Tidak sekadar menyediakan kemudahan elektrik berasaskan tenaga solar, Henry Gerawat Smith yang dibantu oleh ayahnya dan sukarelawan lain turut menyediakan kemudahan air paip graviti, sekolah, klinik dan pembinaan rel kereta api dari Ba Magoh ke perbukitan Batu Lawi. Semua kemudahan ini dibiayai sepenuhnya oleh Aboriginals World Fund bagi meningkatkan taraf hidup orang Penan dalam erotisisme kehidupan semula jadi. Di akhir cerpen ini, kaum Penan akhirnya membuka pintu kehidupan di rimba belantara kepada dunia luar melalui Projek Ekopelancongan Ba Magoh.

 

Analisis dan Perbincangan

Membaca cerpen ini pasti mengingatkan khalayak kepada beberapa buah karya Jong Chian Lai yang lain seperti Long Busang, Suara dari Rimba dan “Kocak di Rimba” (2011). Hal ini dikatakan sedemikian kerana nama-nama watak yang wujud dalam ketiga-tiga karya tersebut turut terdapat dalam cerpen ini seperti Gerawat Megud, Kurau Kusin dan Busak Elon. Selain itu, ketiga-tiga karya ini turut menjadikan kaum Penan sebagai latar sosial dan Ba Magoh sebagai latar tempat, terutamanya dalam novel Suara dari Rimba. Walaupun wujud persamaan watak dan latar, namun alur pemikiran yang dibawa oleh Jong Chian Lai dalam cerpen beliau kali ini menampakkan perbezaan berbanding karya-karya sebelum ini.

    Dalam cerpen ini, Jong Chian Lai tidak lagi bertindak sebagai penyambung lidah kepada kaum Penan yang terpinggir dan tertindas. Sebaliknya, Jong Chian Lai tampil sebagai seorang enviromentalisme sastera yang ingin membuka minda kaum Penan untuk berubah melalui pendidikan. Hal ini secara jelas dinyatakan oleh Jong Chian Lai melalui watak Smith Hutchon dalam petikan di bawah:

“Aku mahu buktikan, sekiranya kaum itu diberi pendidikan, ia membuka luas ruang pemikirannya. Seluas rimba kehidupan mereka,” dia mendapat tepukan lagi.

    Dari sudut prinsip kritikan eko, iaitu ekologi, perubahan yang ingin dilakukan oleh Smith Hutchon tidak mencetuskan perubahan ekologi, malah mewujudkan hubungan antara alam dan budaya masyarakat Penan di Ba Magoh. Buktinya, Smith Hutchon aktif mempromosikan Kamus Penan-Bahasa Inggeris kepada dunia luar, mengekalkan penguasaan bahasa ibunda anaknya, Henry Gerawat Smith yang dibesarkan di Australia dan kembali ke belantara untuk memajukan sektor ekopelancongan di Ba Magoh.

    Dari sudut etika, cerpen ini memaparkan tingkah laku, perbuatan atau kaedah manusia berinteraksi dengan alam sekitar. Pun begitu, alur penceritaannya tidak lagi mengarah kepada konflik antara kaum Penan dengan pembalak atau antara manusia dengan alam sekitar. Jika ada pun, Jong Chian Lai dengan mudah mendamaikan konflik-konflik ini melalui watak Henry Gerawat Smith. Hal ini tentu sekali berbeza dengan karya-karya Jong Chian Lai yang lain seperti yang telah disebutkan pada bahagian awal penulisan ini, yang banyak memperincikan konflik antara manusia dengan manusia dan manusia dengan alam. Dalam cerpen ini Jong Chian Lai hanya membina konflik antara Henry Gerawat Smith dengan Kurau Kusin yang melakukan sekatan di Ba Magoh seperti petikan di bawah:

“Hentikan sekatan ini,” ulangnya lagi seperti mana tidak pernah jenuh dia menasihati mereka. “Kita mesti berubah. Aku anak Penan seperti kamu,” pemuda yang berpakaian kemas menjadi tatapan kebencian mereka. Kurau Kusin mendekati mereka dalam tatapan mata yang tajam. Dia menatap Smith Hutchon dari kepala sampai ke kaki. Dia merenung tajam pada Henry Gerawat Smith yang dalam ingatan masih mengingati ketua kaum itu.

    Bagi meredakan kemarahan Kurau Kusin dan pengikutnya, Jong Chian Lai hanya memaparkan tingkah laku dan bentuk interaksi sopan melalui watak Henry Gerawat Smith. Kemampuan Henry Gerawat Smith bertutur dalam bahasa Penan yang baik dan berhemah, telah menyelesaikan konflik yang berlaku di Ba Magoh seperti petikan di bawah:

“Aku tengok pade buat sekatan ini sejak usia aku lima tahun. Pade masih muda waktu itu. Selepas aku pergi, dua puluh tahun kembali ke rimba ini, pade sudah tua. Tapi masih adakan sekatan. Mereka kawal hidup kita, pade.” Merah wajah kasar Kurau Kusin.

    Dari sudut bahasa dan kritikan, cerpen ini dilihat berjaya memperlihatkan jalinan yang mesra antara alam sekitar dengan budaya. Perkara ini bertepatan dengan pandangan Howarth (1996:71) yang menegaskan bahawa teori bahasa mengkaji bagaimana perkataan mewakili kehidupan manusia dan bukan manusia. Manakala kritikan pula menilai kualiti dan integriti karya serta menggalakkan penyebarannya. Dari sudut bahasa yang melihat bentuk dan gaya, cerpen ini agak mendatar kerana Jong Chian Lai terlalu mudah membiarkan watak Henry Gerawat Smith ‘menjinak seekor harimau yang luka’, iaitu Kurau Kusin. Petikan di bawah menunjukkan betapa Kurau Kusin dengan mudah menerima pandangan yang dilontarkan oleh Henry Gerawat Smith untuk menamatkan sekatan yang telah berlangsung selama 20 tahun.

“Aku percaya kamu, anak. Walaupun dua puluh tahun di sana, kau tetap pandai cakap Penan. Begitu juga bapak kamu. Aku boleh harapkan kau.” Perasaannya membunga girang mendengar luahan Kurau Kusin.


    Dari sudut kritikan pula, kritikan eko cuba untuk mendamaikan beberapa perbezaan antara sains dan sastera bagi mendapatkan pemahaman yang lebih lengkap tentang alam semula jadi. Melalui cerpen ini, Jong Chian Lai berperanan sebagai enviromentalisme sastera yang berjuang melalui mata penanya untuk menyampaikan kesedaran kepada khalayak tentang pentingnya pengekalan budaya, jati diri dan alam sekitar. Justeru, tidak hairanlah dalam cerpen ini, Jong Chian Lai amat menekankan aspek gerakan sosial seperti aktiviti melobi bagi mendapatkan sumbangan dana Aboriginals World Fund, aktivisme dan sukarelawan serta mendidik kaum Penan di Ba Magoh untuk melindungi sumber alam dan ekosistemnya.

    Impak daripada pemahaman tentang alam semula jadi turut dirasai oleh Kurau Kusin dan anak buahnya yang menginginkan “api macam matahari dan bulan” serta beberapa kemudahan lain di Ba Magoh tanpa mengorbankan apa-apa yang mereka miliki. Petikan di bawah menjelaskannya:

Mereka membuka dan menutup paip air masing-masing. Menghirup air itu seperti sudah sangat lama kehausan akan kemudahan begitu. Projek sekolah, pondok dan sistem pengairan graviti telah siap sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan. Ini kali pertama mereka mendapat air yang bersih mengalir ke lamin di Ba Magoh.

    Selain itu, kekayaan alam semula jadi di Ba Magoh yang berhampiran dengan Batu Lawi, telah membuka peluang kepada sektor ekopelancongan yang pastinya bakal mengubah sosioekonomi masyarakat Penan di kawasan tersebut. Kejayaan Smith Hutchon dan Henry Gerawat Smith mendamaikan manusia dengan alam sekitar, secara tidak langsung telah berjaya mencetus perubahan dalam kehidupan komuniti Penan di Ba Magoh yang dahulunya mundur dan terpinggir.

Kesimpulan

Secara keseluruhan dapat dirumuskan bahawa cerpen “Api Macam Matahari dan Bulan” tidak jauh berbeza dengan karya-karya Jong Chian Lai yang lain. Sebagai cerpen pertama yang muncul selepas sedekad tidak menerbitkan karya eceran, pencapaian cerpen ini dilihat berada pada tahap biasa. Kendatipun begitu, dari sudut kritikan eko, cerpen ini didapati berjaya memenuhi keperluan empat prinsip kritikan eko Hawarth (1996), iaitu ekologi, etika, bahasa dan kritikan. Pun begitu, sekadar memenuhi keperluan prinsip-prinsip kritikan eko seperti yang telah dikupas secara tuntas di atas tadi bukanlah suatu keperluan kepada pembaca. Khalayak pembaca di luar sana pasti masih menantikan karya terbaharu Jong Chian Lai yang lebih berbisa serta mampu mengangkat persoalan yang lebih besar seperti yang pernah dihasilkannya sebelum ini.

 
 
Advertisement