Anda di sini

KPM: Tidak wajib imbas suhu badan mulai 11 Februari

Advertisement
 

KUCHING: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan mulai 11 Februari 2022, pemeriksaan suhu badan sebelum masuk ke premis institusi pendidikan di bawah kementerian itu adalah tidak diwajibkan.

Kementerian menerusi satu kenyataan, hari ini berkata ia susulan kepada pengumuman Menteri Kanan Pertahanan pada 8 Februari lepas, berkaitan pemansuhan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan suhu badan dan buku rekod mendaftar masuk ke mana-mana premis berkuat kuasa mulai 11 Februari. 

"Namun semua guru, anggota kumpulan pelaksana (AKP), pekerja perkhidmatan sokongan dan pelawat masih diwajibkan untuk mengimbas kod QR melalui aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis institusi pendidikan dibawah KPM.  

"Sebagai langkah keselamatan, ibu bapa atau penjaga dimohon untuk memastikan anak atau anak jagaan berada dalam keadaan sihat dan tidak bergejala sebelum hadir ke sekolah. 

"Murid yang bergejala atau mempunyai ahli keluarga yang disahkan positif COVID-19 serta tinggal serumah adalah tidak dibenarkan untuk hadir ke sekolah," katanya.

KPM berkata, tahap kesihatan murid semasa berada di sekolah akan dipantau secara berterusan bagi memastikan murid yang bergejala diasingkan di bilik isolasi untuk tindakan selanjutnya.

Katanya kementerian juga menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM.

"KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement