Anda di sini

COVID-19: Jangkitan berulang boleh beri impak psikologi

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: “Sewaktu dijangkiti COVID-19 kali kedua pada awal tahun ini saya berasa ‘down’, tertekan dan stres kerana takut untuk melalui pengalaman yang sama sewaktu terkena jangkitan kali pertama pada Mac 2020.

“Ketika jangkitan kali pertama, saya terpaksa duduk di Hospital Sungai Buloh selama 14 hari dan bergantung sepenuhnya pada mesin oksigen. Untuk jangkitan kali kedua, saya dimasukkan ke hospital yang sama untuk 11 hari tetapi hanya perlu menggunakan mesin bantuan oksigen selama tiga hari,” demikian perkongsian Muhamaad Faizal Awang Kechil, 26, kepada Bernama baru-baru ini. 

Beliau yang bekerja sebagai eksekutif jualan disahkan positif COVID-19 kali kedua selepas tiga hari mendapat suntikan ‘booster’ penggalak.

“Jangkit dari mana saya tak pasti, tapi lepas booster saya batuk, demam dan sesak nafas yang teruk. Saya pergi ke klinik, buat swab test dan negatif. Mungkin masa tu saya duduk dengan orang positif COVID-19 semasa menunggu di klinik.

“Kesan sampingan selepas jangkitan kedua ini bagi saya paling teruk kerana sehingga sekarang saya masih rasa sesak nafas (semput), cepat rasa penat apabila banyak bergerak, sakit dada malahan batuk pun masih ada dan belum sembuh,” kata Muhamaad Faizal.

TRAUMA KESAN SAMPINGAN

Mempunyai sejarah penyakit asma, Muhamaad Faizal berkata, sebelum dijangkiti COVID-19, beliau sudah lama tidak diserang penyakit itu kerana sering beringat dengan menjaga pemakanan dan kesihatan. 

Beliau yang menetap di Damansara berkata, kesan sampingan akibat jangkitan COVID-19 kali kedua sedikit sebanyak menjejaskan urusan hariannya terutama untuk bekerja.

“Selepas keadaan semakin baik (penurunan kes COVID-19) dan tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya bersemangat nak kembali bekerja, namun tak sangka pula diduga dengan jangkitan kali kedua yang memberi kesan sampingan yang lebih teruk.

“Saya jadi trauma, takut jika dijangkiti COVID-19 lagi. Apa yang saya lakukan sekarang ialah cuba mengelak kawasan yang sesak dan ramai orang, mengurangkan keluar berjalan ke pusat beli belah di samping lebih berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka pada kebanyakan masa dan menggunakan cecair pembasmi kuman,” katanya. 

Mengulas apa yang dilalui Muhamaad Faizal, pakar psikologi yang juga pensyarah kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM) Dr Noor Aishah Rosli berkata, ia merupakan fenomena yang dilalui kebanyakan bekas pesakit COVID-19. 

Bahkan katanya, impak psikologi yang merangkumi kognitif, emosi dan tingkah laku manusia itu juga boleh mempengaruhi serta memberi kesan kepada orang sekeliling terutama ahli keluarga dan rakan terdekat mereka. 

“Sedangkan mereka yang dijangkiti COVID-19 buat kali pertama boleh mengalami stres, tertekan dan takut lebih-lebih lagi jika mengalami kesan yang teruk sehingga mengganggu rutin harian, apatah lagi mereka yang dijangkiti buat kali kedua dan sudah berpengalaman, perasaan risau dan takut semestinya berganda.

“Sebagai contoh ada pesakit saya yang mengalami trauma dan panik apabila berada dalam ruang yang kecil dan sempit. Ini disebabkan pengalaman beliau dijangkiti COVID-19 sebanyak dua kali dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi berikutan keadaan tahap kesihatannya yang teruk. 

“Sehingga sekarang, dia masih ada rasa cemas, berdebar, resah dan gelisah. Sebagai contoh, apabila menaiki tangga dań berada di ruang yang sempit dan gelap. Dia takut sekiranya jatuh sakit, bukan lagi semata-mata sebab COVID-19. Daripada seorang yang sihat, akibat COVID-19, dia kini mengalami ‘panic attack’ disebabkan pengalaman yang dilaluinya,” jelas beliau.

VAKSIN KURANGKAN RISIKO

Menurut Dr Noor Aishah, tanggapan segelintir pihak bahawa vaksin dan suntikan dos penggalak sebagai jaminan untuk seseorang menjadi ‘kebal’ daripada dijangkiti COVID-19, turut menyumbang kepada gangguan psikologi dan rasa panik apabila mereka dijangkiti wabak itu.

Terdapat juga dalam kalangan pesakit COVID-19 yang berasa tertekan dan malu apabila dijangkiti wabak berkenaan kerana terdapat pihak yang mempersoalkan sama ada mereka telah mendapatkan suntikan vaksin atau tidak (anti vaksin).

Beliau yang turut mengulas peningkatan kes baharu COVID-19 dalam negara yang melebihi 10,000 berkata, ianya sudah tentu mencetuskan kebimbangan dan rasa cemas dalam kalangan rakyat.

Malaysia pada 6 Februari 2022 merekodkan kes harian baharu COVID-19 sebanyak 10,089 dan menjadikan kumulatif kes sebanyak 2,914,220. Kali terakhir Malaysia merekodkan kes baharu COVID-19 melebihi paras 10,000 adalah pada 2 Oktober 2021, iaitu 10,915 kes.

Malah rakyat di negara ini sudah diingatkan bahawa kes harian baharu COVID-19 dijangka melonjak kepada 15,000.

Perkara ini dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, menerusi satu hantaran di Twitter rasminya pada 6 Februari bahawa Malaysia kini berada di tengah-tengah gelombang jangkitan varian Omicron dan kes harian COVID-19 dijangka mencecah 15,000 tidak lama lagi.

Menyifatkan trend peningkatan kes jangkitan COVID-19 turut berlaku di kebanyakan negara, Dr Noor Aishah berkata, masyarakat perlu ada rasa serik dan sentiasa beringat antara satu sama lain.

“Kini banyak sambutan, majlis dan perjumpaan beramai-ramai diadakan... jadi patuhilah SOP untuk melindungi diri kita bagi mencegah penularan COVID-19.

“Bagi mereka yang tidak sihat, dijangkiti COVID-19 atau pun kontak rapat, tolonglah bersifat bertanggungjawab dan tidak pentingkan diri dengan keluar bergaul seperti biasa bagi mengelak anda menjangkiti orang lain,” katanya. 

TERIMA HAKIKAT, LEBIH BERSEDIA 

Sementara itu, Doktor Kesihatan Pekerjaan yang juga Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Dr Shawaludin Husin berkata, persediaan mental dalam berhadapan risiko jangkitan COVID-19 berbeza bagi setiap individu.

Ia merangkumi aspek latar belakang (sebagai contoh usia, menghidap penyakit kronik), pengalaman (pernah dijangkiti), faktor demografik kepadatan penduduk dan kemudahan di sesebuah kawasan (bandar atau kampung) dan juga kesediaan masyarakat untuk menerima dan mengakui bahawa kita sememangnya hidup bersama COVID-19. 

“Bagi yang menganggap vaksin sebagai pencegah kepada jangkitan COVID-19, tanggapan itu perlu diperbetulkan kerana ia sebenarnya bertindak mengurangkan keterukan sakit yang mungkin dialami pesakit. Dan bagi mereka yang mempersoalkan mengapa masih terkena jangkitan COVID-19 walaupun sudah lengkap vaksinasi, itulah hakikat yang perlu diterima selagi mana kita terpaksa hidup bersama wabak ini. 

“Tindakan segelintir pihak yang mempersoalkan keberkesanan vaksin, ia mungkin ada kesan sampingan tetapi tidaklah sehingga mengatasi manfaatnya bagi membantu mengurangkan keterukan sakit akibat jangkitan COVID-19,” katanya.

Beliau berkata, setiap individu perlu menjalani kehidupan seperti biasa dałam norma baharu di samping menjalankan penilaian risiko sendiri, sebagai contoh mematuhi SOP, membuat saringan kendiri apabila mahu ke mana-mana sebagai persediaan peribadi dan kepentingan awam.

Majikan dan pekerja khususnya perlu sama-sama mendepani pandemik yang masih belum berakhir ini dengan toleransi dan harmoni untuk mengimbangi kepentingan nyawa dan ekonomi.

“Kita dah ada pengalaman bersama COVID-19 dan kita seharusnya lebih bersedia daripada segala aspek agar dapat mengawal impak stres dan tekanan yang mungkin akan timbul sekiranya gelombang seterusnya berlaku,” katanya. - Bernama 

Advertisement