Anda di sini

KPM perlu perancangan jitu SOP di Sekolah

Advertisement
RINA
RINA

TAWAU: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta membuat perancangan jitu berkaitan penguatkuasaan Prosedur Operasi Standard (SOP) di sekolah agar tidak terus berlaku kluster dalam kalangan pelajar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Jainal berkata peningkatan kluster COVID-19 membabitkan institusi pendidikan amat membimbangkan di negeri ini.

Katanya, sudah tentu kita tersepit antara isu kesihatan sejagat dengan keciciran pendidikan anak-anak yang dialami sejak dua tahun lalu.

“Mungkin terlepas pandang, tetapi saya masih belum melihat atau membaca mengenai tindakan KPM berhubung peningkatan kluster membabitkan pelajar khususnya mereka yang tinggal di asrama.

“Selepas lengkap dua dos vaksin, mencapai lebih 80 peratus dewasa (bervaksin), negara kita sebenarnya bersedia ke arah fasa peralihan endemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Menurutnya, ini bukan kali pertama sekolah dibuka sepanjang tempoh pandemik, seharusnya KPM mempunyai mekanisma yang terbaik dalam menangani isu penularan COVID-19 dalam kalangan pelajar.

“KPM tidak boleh bertindak 'try and error', sehingga merugikan banyak pihak termasuk ibu bapa dan penjaga pelajar.

“Seharusnya ada mekanisma yang jitu untuk pelajar sekolah khususnya berkaitan penguatkuasa SOP atau boleh melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) dan kelas yang dijalankan serentak.

“Justeru, pelajar yang berdepan masalah pendidikan secara dalam talian boleh hadir ke kelas, manakala pelajar yang tidak berdepan isu talian, diminta menghadiri kelas secara PdPR sahaja,” katanya.

Beliau berkata, mungkin dengan cara itu, boleh mengurangkan jumlah pelajar yang hadir ke kelas dalam satu-satu masa, sekali gus mengurangkan risiko sentuhan fizikal.

Sementara itu, Rina berkata berkaitan kes baharu positif COVID-19 mencecah lebih 11,000 kes, bagi saya ia bukan sesuatu yang diluar jangka.

“Apabila ada kelonggaran rentas negara, negeri dan pelbagai aktiviti sosial lain, ia akan mendatangkan risiko jangkitan berlaku.

“Dalam hal ini, kerajaan perlu memikirkan semula kebenaran atau kelonggaran aktiviti sosial yang ada dan hanya memberi kebenaran untuk perkara lebih penting seperti pekerjaan,” katanya.

Rina berkata, kelonggaran aktiviti sosial membuatkan orang ramai semakin lupa mengenai SOP yang digariskan.

“Langkah pencegahan perlu diambil dengan kadar segera bagi mengelakkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berulang dan terus berulang.

“Sekarang masa kita untuk membina atau memantapkan kembali sektor ekonomi kerana orang ramai tidak boleh terus bergantung kepada bantuan kerajaan seperti sebelum ini,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement