Anda di sini

Klideng, warisan khazanah kaum Melanau yang tinggi nilainya

Advertisement

Meskipun sudah wujud sejak ratusan tahun, Klideng atau Jerunai yang terletak di Taman Klideng di Dalat, dekat Mukah masih tersergam kukuh. Terletak di pekan Dalat, ia merupakan antara warisan kaum Melanau yang berupaya menjadi tarikan pelancong yang berkunjung ke pekan ini.

Klideng merupakan sebatang tiang yang berukur lilit sepemeluk. Ia diperbuat daripada kayu belian, yang merupakan sejenis kayu keras yang tahan hingga ratusan tahun. Kelideng dipahat untuk menghasilkan bermacam jenis ukiran. Ada yang bercorak mudah, dan ada yang juga ukirannya rumit dan dikatakan mengambill masa beberapa tahun untuk menyiapkannya.

Demikian catatan yang tertera di Taman Kelideng yang merupakan projek kerjasama Jabatan Landskap Negara dan Majlis Daerah Dalat dan Mukah.

Menurut lagenda, apabila seseorang raja atau bangsawan kaum Melanau meninggal dunia, mayatnya tidak terus dikebumikan, tetapi mayatnya disimpan di dalam keranda dan diletakkan di pondok khas berdekatan Klideng. 

Setelah mayat tersebut reput, tulang-tulangnya disimpan dalam tempayan dan seterusnya diletakkan dalam Klideng. Semasa melakukan upacara itu, kaum kerabat yang meninggal dunia akan meletakkan gadis hamba abdi keluarga bangsawan itu di puncak Klideng.

Gadis ini dibiarkan mati kebuluran. Menurut kepercayaan Melanau pada zaman itu, tujuannya ialah supaya roh gadis berkenaan akan melayan bangsawan yang meninggal dunia sebagaimana dilakukan semasa hidup.

Seorang hamba lelaki dicampakkan ke dalam lubang Klideng, supaya rohnya menjadi pengawal, pelayan dan tukang dayung untuk roh si mati di dalam alam kematian.

Wujud selama kira-kira 100 tahun, Klideng yang terletak di Taman Klideng Dalat ini, merupakan warisan khazanah yang tinggi nilainya. 

Menurut sumber, asal usul Klideng di Taman Klideng Dalat ini adalah dari Kampung Seberang Tengah, Dalat. Ia dipindahkan beberapa kali pada 1971 sehinggalah ia didirikan di pekarangan bangunan lama Pejabat Daerah Dalat. Pada 28 April 2008, Klideng ini dipindahkan ke Taman Klideng.

Ia dipercayai telah wujud selama 100 tahun - warisan khazanah kaum Melanau yang tinggi nilainya.

Advertisement