Anda di sini

Omicron kini varian dominan di Sarawak

Advertisement
 

KUCHING: Omicron kini menggantikan Delta sebagai varian COVID-19 dominan menular di Sarawak, kata Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHMC) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Dr. David Perera.

Beliau berkata kadar pengesanan Omicron sebanyak 78 peratus dikesan daripada data pengawasan kes-kes positif dilakukan dari 3 hingga 26 Januari tahun ini.

Dr David mendedahkan perkara ini dalam laporan terkininya kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini.

"Sejumlah 58 sampel berjaya dijujuk dalam tempoh tersebut, daripada jumlah ini 45  varian Omicron dan 13 Delta VoGs dikesan.

"Kadar pengesanan 78 peratus itu mencadangkan Omicron telah menggantikan Delta sebagai varian utama menular di Sarawak," katanya.

Dr David menambah kes-kes Omicron dikesan dalam sampel-sampel yang diambil dari Kuching, Samarahan, Sibu, Kapit, Mukah dan Miri.

Beliau berkata majoriti daripadanya adalah kumpulan BA.1.1 tetapi tiga kes kumpulan BA.2 yang lebih cepat berjangkit dikenal pasti di Kapit.

"Rata-rata kes-kes ini berlaku menerusi penularan komuniti," katanya.

Memandangkan berlakunya peningkatan kes di Malaysia, Dr David yang juga ahli Kumpulan Penasihat Vaksin COVID-19 Sarawak, menasihati mereka yang masih belum mendapatkan dos penggalak segera berbuat demikian.

Beliau berkata, kajian menunjukkan dos penggalak perlu untuk meningkatkan paras antibodi peneutralan bagi melindungi seseorang daripada jangkitan Omicron.

Dr David juga mengingatkan orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan mengelak perhimpunan komuniti jika perlu bagi mengelak berlakunya penularan komuniti.

IHMC dari UNIMAS telah mengesan varian SARS-SoV-2 menular di negeri ini.
 

  • oleh
  • Advertisement