Anda di sini

Lelaki mencuri di kedai serbaneka diburu

Advertisement
 Kegiatan suspek mencuri barangan di dalam premis yang dirakam melalui CCTV.
CURI: Kegiatan suspek mencuri barangan di dalam premis yang dirakam melalui CCTV.

KOTA KINABALU: Polis giat memburu seorang lelaki yang mencuri sejumlah barangan di sebuah kedai serbaneka di Inanam Taipan di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata operasi memburu suspek dijalankan selepas pihaknya mengesan perbuatan suspek melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam premis berkenaan.

“Hasil penelitian pada rakaman CCTV terbabit, suspek yang berpakaian baju T berwarna merah, berseluar panjang, bertopi serta memakai pelitup muka dengan membawa beg sandang masuk ke dalam premis berkenaan pada jam 2.30 petang kelmarin.

“Suspek dipercayai mengambil beberapa barangan dan memasukkan ke dalam beg sandangnya lalu keluar dari kedai tanpa membuat pembayaran,” katanya.

Menurutnya pekerja premis yang membuat pengiran barang kemudiannya mendapati barang di rak jualan berkurangan sebelum menjalankan pemeriksaan dan melaporkan kejadian kepada pihak polis.

Beliau berkata hasil siasatan juga mendapati pihak premis mengalami kerugian yang dianggarkan bernilai RM271.40.

“Polis giat mengesan suspek dan orang ramai yang mengenali suspek ini diminta untuk memberikan kerjasama dengan tampil menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan atau menyalurkan maklumat ke balai polis berdekatan.

"Orang ramai juga boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di talian 088-529222," katanya.

  • oleh
  • Advertisement