Anda di sini

Usaha perkukuh status Sarawak sebagai rakan serantau diteruskan

Advertisement
Abang Johari ketika menyampaikan ucapan pada Hari Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak 2022 di BCCK . - Gambar UKAS
Abang Johari ketika menyampaikan ucapan pada Hari Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak 2022 di BCCK . - Gambar UKAS

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi jaminan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan meneruskan usaha memperkukuhkan status perlembagaan Sarawak sebagai rakan serantau dalam Persekutuan Malaysia.

Beliau berkata ia akan dilakukan berdasarkan pindaan Perkara 1(2) dan Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan dengan merujuk kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan lampiran-lampirannya.

"Sebagai ketua Kerajaan GPS, saya memberi jaminan, kami tidak akan berputus asa dalam keazaman untuk memperkukuhkan status perlembagaan Sarawak sebagai rakan serantau dalam Perlembagaan Malaysia berdasarkan pindaan Perkara 1(2) dan Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan dengan merujuk kepada MA63 dan lampiran-lampirannya.

"Dengan pindaan-pindaan yang dilakukan  ke atas Perlembagaan Persekutuan baru-baru ini, pada asalnya dicadangkan oleh Sarawak, rujukan asas hak-hak negeri-negeri Borneo, Sarawak dan Sabah kini diberi pengiktirafan sewajarnya mengikut semangat MA63," katanya ketika berucap merasmikan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) Negeri Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.

Abang Johari berkata pencapaian itu merupakan sebahagian daripada 34 perkara - ikrar dalam Manifesto GPS iaitu menunaikan janji-janjinya bagi mentransformasi ekonomi Sarawak dan prihatin terhadap kesejahteraan rakyat. 

"Janji tetap janji dan kita mesti menunaikan apa yang kita janjikan. Kita akan bekerjasama dengan jentera Perkhidmatan Awam Negeri (PAN) melaksanakan dasar-dasar ekonomi digital, pembangunan mampan, penyahkarbon dan perusahaan untuk kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar yang akan didorong oleh data dan inovasi," katanya.

Beliau berkata aspek penting pelaksanaan dasar yang baik ialah keberkesanan hubungan antara kepimpinan politik dan perkhidmatan awam.

"Berganding bahu dengan Perkhidmatan Awam Sarawak, kita akan sentiasa meletakkan rakyat sebagai 'nadi' dalam perkhidmatan kita. 

"Saya yakin gabungan kekuatan perkhidmatan awam dan pemimpin-pemimpin politik GPS akan memastikan kejayaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) menjelang 2030," katanya.

Sementara itu, Abang Johari amat berterima kasih kepada semua rakyat Sarawak kerana telah memberi mandat baharu kepada GPS membentuk kerajaan yang akan mentadbir negeri ini untuk lima tahun akan datang.

"Kita tidak hanya meraikan kemenangan besar (pada Pilihan Raya Negeri yang lalu), 76 daripada 82 kerusi, kita meraikan kestabilan, kesinambungan dan hala tuju yang jelas serta kukuh ke arah 2030.

"Ini elemen-elemen penting bagi sebuah kerajaan yang berjaya, mendapat pengiktirafan rakyat dengan memberi mandat besar dalam pilihan raya negeri baru-baru ini.

"Kabinet negeri kita kini terdiri daripada 10 menteri dan 26 menteri muda. Asas kepada pembentukan Kabinet ini adalah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19, 2030 yang bertujuan mengubah Sarawak menjadi negeri maju dalam Malaysia dengan pendapatan tinggi menjelang 2030," katanya.

Beliau berkata PCDS 2030 merupakan pelan jangka panjang bermula dari tahun 2021 sehingga 2030. Ia adalah strategi yang memperincikan hala tuju dan strategi pembangunan Sarawak untuk tempoh 10 tahun akan datang. 

Menurutnya, sektor-sektor yang diberikan penekanan adalah pertanian komersial berteraskan teknologi, pembuatan, perkhidmatan sosial, perhutanan, perlombongan, pelancongan, tenaga diperbaharu dan disokong oleh pembangunan sumber manusia, transformasi digital, pembangunan infrastruktur asas dan utiliti serta inovasi. 

"Terima kasih kepada tim kepimpinan politik, pentadbiran negeri dan pihak swasta yang telah bergabung tenaga dan buah fikiran melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (SEAC) yang telah melakar strategi yang jelas bagi Sarawak hingga ke tahun 2030," katanya.

Buat julung kali Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak diadakan secara hibrid (fizikal dan maya) disebabkan pandemik COVID-19.

Bertemakan 'Perkhidmatan Awam Negeri Memfokus kepada Kecemerlangan Ke Arah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030: Meningkatkan Kualiti Hidup Rakyat', majlis itu memfokus kepada mentransformasikan penyampaian perkhidmatan PAN bagi mempercepatkan pelaksanaan PCDS 2030.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion, Setiausaha Persekutuan Sarawak Datuk Amir Omar, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak Datu Abdul Ghafur Shariff dan menteri-menteri muda.

  • oleh
  • Advertisement