Anda di sini

Sembunyi dadah bawah bantal

Advertisement

BAU: Seorang lelaki diberkas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Bau kerana disyaki terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah hari ini.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata suspek berumur 32 tahun ditangkap dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah di Kampung Duyoh, sekitar jam 12.30 tengah hari.

Menurutnya, suspek semasa serbuan dilakukan berada di dalam bilik tidur.

"Hasil pemeriksaan polis menjumpai satu paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah berbahaya di bawah bantal atas tilam tempat suspek baring," kata menerusi satu kenyataan.

Jelasnya, suspek juga mengaku ada mengambil dadah beberapa hari yang lepas.

"Suspek turut mengaku dadah tersebut adalah pemberian temannya," katanya lagi.

Suspek dan dadah tersebut kemudian dibawa ke IPD Bau untuk siasatan lanjut.

Hasil saringan awal air kencing juga nendapati dia positif dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Poge berkata, pihaknya akan terus melakukan operasi membanteras kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah tersebut.

"BSJN akan terus melakukan rondaan di sekitar kampung serta memohon kerjasama masyarakat setempat untuk memberi kerjasama kika mempunyai maklumat kegiatan dadah," katanya.

Advertisement