Anda di sini

Pemuda disyaki ejen loteri haram ditahan di Bau

Advertisement
Suspek ditahan untuk tindakan lanjut.
Suspek ditahan untuk tindakan lanjut.

KUCHING: Seorang pemuda dipercayai ejen loteri haram ditahan ketika sedang leka menjalankan kegiatan berkenaan di sebuah kedai makan, di Bau pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Bau, DSP Poge Nyaon berkata, lelaki berusia 20 tahun berasal dari Kampung Triboh itu ditahan di Parkway Foodcourt sekitar jam 2.25 petang. 

"Suspek ditahan menerusi Op Dadu yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bau. 

"Lelaki berkenaan bagaimanapun sedang duduk di sebuah meja makan di kedai terbabit dan disyaki menjalankan kegiatan loteri haram sebelum ditahan oleh anggota polis," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini. 

Tambah Poge, turut dirampas daripada suspek ialah sejumlah wang tunai dan keratan kertas mengandungi angka sebanyak dua keping. 

Jelasnya, siasatan lanjut juga mendapati suspek tiada sebarang rekod jenayah lampau. 

Sehubungan itu, ujarnya kes akan disiasat di bawah Seksyen 4(A) (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. 

"Suspek boleh dikenakan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM200,000 atau hukuman penjara tidak melebihi lima tahun," tegas Poge. 
 

  • oleh
  • Advertisement