Anda di sini

BKSS 8.0 bernilai RM285.47 juta akan dilancarkan 

Advertisement
Abang Johari (barisan depan, empat kanan) serta tetamu kehormat lain merakam kenangan bersama penerima-penerima Anugerah Pegawai Contoh Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak 2022. - Gambar Penerangan
Abang Johari (barisan depan, empat kanan) serta tetamu kehormat lain merakam kenangan bersama penerima-penerima Anugerah Pegawai Contoh Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak 2022. - Gambar Penerangan

KUCHING: Sarawak akan melancarkan pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 8.0 dalam waktu terdekat untuk terus membantu mengurangkan beban rakyat negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pakej BKSS 8.0 melibatkan bantuan-bantuan bukan tunai bernilai RM285.47 juta merangkumi enam bulan pertama tahun ini.

"Kerajaan Sarawak juga akur dengan beban dan kesulitan yang dihadapi oleh rakyat sepanjang tempoh pandemik. Demi mengurangkan impak COVID-19, sepanjang tahun 2020 dan 2021 Kerajaan telah melaksanakan tujuh pakej bantuan kepada rakyat iaitu iaitu BKSS 1.0 hingga BKSS 7.0 dengan 30 program. 

"Inisiatif ini secara keseluruhannya telah melibatkan perbelanjaan sebanyak RM5.30 bilion. 

"Seperti yang dijanjikan dalam sedikit masa lagi, saya akan melancarkan pakej BKSS 8.0 yang melibatkan bantuan-bantuan bukan tunai untuk terus membantu mengurangkan beban rakyat bernilai RM285.47 juta merangkumi enam bulan pertama tahun 2022," katanya ketika berucap pada Hari Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak  di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.

Abang Johari berkata ia merupakan antara kadar bantuan terbesar oleh sesebuah kerajaan negeri di Malaysia dan ia tidak termasuk peruntukan khas melebihi RM91 juta kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) bagi menampung perbelanjaan menangani pandemik COVID-19 di negeri ini.

"Sebagai ketua sebuah kerajaan yang sentiasa mementingkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat, saya dan seluruh rakan-rakan Kabinet, juga dengan kepimpinan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Setiausaha Persekutuan, sentiasa memberi keutamaan kepada usaha untuk melindungi keselamatan dengan kesejahteraan rakyat kita. 

"Oleh itu, JPBNS bekerja sepanjang masa untuk memastikan keselamatan rakyat terus terpelihara," katanya.

Menurutnya, pengajaran daripada pandemik COVID-19 yang berlaku ialah tidak ada masyarakat boleh bertahan tanpa perkhidmatan kerajaan boleh dipercayai, berdaya tahan dan mampan.

Perkhidmatan Awam Negeri juga amat berdedikasi dan komited memastikan perkhidmatan penting tidak terjejas dan boleh dicapai sepanjang pandemik, tambahnya.

"Saya mahu mengatakan, Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan GPS adalah kerajaan yang dipercayai dan boleh dipercayai, berkhidmat penuh semangat, berdedikasi dan komited untuk kepentingan rakyat semasa pandemik atau tidak, seiring moto 'An Honour to Serve!," tegasnya.

  • oleh
  • Advertisement