Anda di sini

Orang utan Analisa lahirkan anak keempat

Advertisement
 

KUCHING: Sarawak Forestry Corporation (SFC) meraikan satu lagi kejayaan apabila menerima kelahiran bayi orang utan baharu.

SFC berkata bayi itu adalah bayi keempat yang dilahirkan oleh orang utan bernama Analisa yang berusia 26 tahun.

Analisa datang ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh (SWC) bersama bayinya yang baharu lahir kira-kira jam 3.06 petang pada 23 Januari.

Menurut SFC, kali terakhir Analisa datang ke SWC ialah pada 21 Januari 2022.

"Memandangkan tali pusat dilihat masih melekat pada bayi orang utan tersebut, ia mungkin dilahirkan sama ada pada 22 Januari atau awal hari semalam (23 Januari),” katanya menerusi Facebook rasminya pada Ahad.

Dalam pada itu, SFC berkata, pihaknya kini sedang menunggu dua lagi kelahiran daripada orang utan bernama Selina dan Saddamiah.

“Ini adalah satu lagi kejayaan dalam usaha pemuliharaan orang utan oleh kerajaan Sarawak dan SFC,” ujarnya.

Sehubungan itu, SFC menyeru orang ramai agar bersama-sama menunjukkan kasih sayang mereka kepada orang utan dengan menyokong usaha pemuliharaan SFC menerusi Program Anak Angkat Orang Utan.

Advertisement