Anda di sini

PGA rampas pelbagai dadah bernilai RM27.3 juta

Advertisement
PASIR MAS: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) merampas dadah jenis syabu, pil kuda dan ganja mampat bernilai RM27.3 juta di Kampung Padang Embun di sini semalam.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Datuk Hazani Ghazali berkata rampasan pada 11.45 pagi itu adalah terbesar dilakukan polis di negeri ini setakat awal tahun ini.

Beliau berkata rampasan dilakukan selepas anggota PGA9 telah terserempak dengan sebuah kenderaan Toyota Hilux dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan berdekatan lampu isyarat Kampung Lati.

"Kenderaan itu diarahkan berhenti untuk pemeriksaan namun pemandunya memecut laju.

“Anggota PGA9 kemudian mengejar kenderaan itu sejauh 10 kilometer dan apabila tiba di Jambatan Ibrahim Ali, anggota PGA9 melepaskan tiga das tembakan ke tayar belakang yang menyebabkan kenderaan itu terbabas ke dalam tali air di Kampung Padang Embun," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat dan Komander Briged Tenggara PGA SAC Hasan Basri Ahmad Safar.

Hazani bersama Shafien menunjukkan sebahagian dadah jenis syabu yang dirampas di Kampung Padang Embun - Gambar BERNAMA
Hazani bersama Shafien menunjukkan sebahagian dadah jenis syabu yang dirampas di Kampung Padang Embun - Gambar BERNAMA

Hazani berkata pemandu Toyota Hilux itu berjaya keluar dari kenderaannya dan melarikan diri ke arah pekan Pasir Mas dengan menaiki sebuah kereta jenis Volkswagen Golf GTI 2.0 berwarna kelabu dipercayai dipandu rakannya.

"Anggota PGA9 yang membuat pemeriksaan ke atas Toyota Hilux terbabit menjumpai 17 bungkusan plastik berwarna ungu dan merah di bahagian tempat duduk penumpang bahagian belakang dan ruangan tempat menyimpan barang bahagian belakang.

“Pemeriksaan lanjut menemukan 300 kilogram syabu, 1.6 juta biji pil kuda dan 200 kilogram ganja mampat yang kesemuanya dianggar bernilai RM27.3 juta," katanya.

Beliau berkata polis akan menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti pemilik pacuan empat roda dan Volkswagen Golf itu.

Katanya dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran di seluruh Semenanjung dan boleh digunakan oleh kira-kira 1.3 juta penagih. - BERNAMA

Advertisement