Anda di sini

PGA gagalkan cubaan seludup masuk 88 kilogram ganja bernilai RM4.4 juta

Advertisement
BUKIT KAYU HITAM: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 18 menggagalkan cubaan menyeludup masuk 88 kilogram ganja bernilai RM4.4 juta dalam satu operasi di kawasan semak sempadan Malaysia-Thailand di Jalan Stesen Kereta Api, Padang Besar, Perlis semalam.

Timbalan Komander Briged Utara ACP Mohd Noh Khamis berkata ganja terbabit dirampas pada 9.08 malam hasil maklumat risikan dan intipan yang dijalankan di kawasan itu.

"Sebelum itu, anggota PGA berjaya mengesan dua suspek lelaki dalam keadaan mencurigakan yang keluar masuk pagar berduri sempadan Malaysia-Thailand di kawasan tersebut namun tidak dapat dipastikan apa yang dibawa oleh mereka kerana keadaan gelap.

"Setelah 30 minit intipan, kami dapati tiada pergerakan orang di situ dan anggota telah melakukan pemeriksaan, hasilnya kita menemukan tujuh plastik hitam berisi 88 ketulan ganja mampat yang ditinggalkan di situ," katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

 Mohd Noh menunjukkan ganja yang dirampas pada sidang media di Markas Taktikal PGA Bukit Kayu Hitam hari ini. - Gambar BERNAMA
 Mohd Noh menunjukkan ganja yang dirampas pada sidang media di Markas Taktikal PGA Bukit Kayu Hitam hari ini. - Gambar BERNAMA

Beliau berkata ganja terbabit kemudian diserah kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya PGA akan terus meningkatkan kawalan di kawasan sempadan termasuk melakukan pemantauan menggunakan dron bagi mengesan dan mengekang sebarang aktiviti penyeludupan. - BERNAMA

Advertisement