Anda di sini

Dos penggalak perlu untuk pastikan imuniti kekal pada tahap optimum

Advertisement

KUALA LUMPUR: Dos penggalak COVID-19 perlu diberikan selepas tempoh tertentu bagi memastikan imuniti individu yang telah lengkap vaksinasi kekal pada tahap optimum.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata saranan itu dikeluarkan kerana didapati berlaku penurunan imuniti selepas penerimaan vaksin COVID-19 dalam tempoh tertentu.

“Daripada pemantauan yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) di Malaysia, penurunan imuniti sebanyak 20 peratus berlaku kepada individu yang telah mengambil dos lengkap.

“Bagi penerima vaksin Sinovac, berlaku penurunan imuniti sebanyak 40 peratus selepas tiga hingga lima bulan menerima dos kedua,” menurutnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata pelbagai kajian dari Israel, United Kingdom dan Chile mendapati penurunan tahap antibodi peneutralan kepada COVID-19 selepas tiga hingga enam bulan menerima dos primer lengkap dan menyebabkan risiko dijangkiti wabak itu meningkat terutama bagi kumpulan berisiko tinggi.

Dr Noor Hisham berkata setakat semalam, seramai 10,235,759 atau 43.7 peratus populasi negara ini yang berumur 18 tahun dan ke atas telah mendapatkan dos penggalak. 

Beliau juga berkata kes baharu COVID-19 yang dilaporkan hari ini meningkat kepada 4,046 berbanding 3,764 semalam menjadikan jumlah kumulatif jangkitan wabak itu ialah 2,824,973 setakat 12 tengah hari.

Sebanyak 0.8 peratus daripada jumlah kes baharu itu adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 99.2 peratus terdiri daripada kategori satu dan dua.

"Daripada 4,046 kes itu, sebanyak 489 adalah kes import dan 3,557 pula adalah kes tempatan manakala yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 149 kes dan 71 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 2,804 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif setakat ini ialah 2,750,261 orang.

Katanya sebanyak 12 kluster baharu direkodkan dengan 220 kluster masih aktif. - BERNAMA

Advertisement