Anda di sini

Pengimbas suhu dikeluarkan daripada SOP wajib

Advertisement
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) bersetuju untuk mengeluarkan penggunaan wajib pengimbas suhu daripada prosedur operasi standard (SOP) kawalan COVID-19 di seluruh negara tidak lama lagi.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata hanya imbasan kod MySejahtera diperlukan setiap kali memasuki mana-mana premis.

“Kita akan bawa usaha penambahbaikan SOP ini ke mesyuarat MKN (Majlis Keselamatan Negara), selepas dipinda pada sesi (mesyuarat) kuartet (menteri COVID-19) akan datang, ia (pengimbas suhu) tidak lagi diwajibkan,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen di sini pada Khamis.

Gambar sekadar hiasan.
Gambar sekadar hiasan.

Sementara itu, Khairy turut mengumumkan tempoh kuarantin bagi pengembara yang telah menerima dos penggalak adalah selama lima hari berbanding tujuh hari sebelum ini, berkuat kuasa 24 Jan.

Beliau berkata pengembara perlu menjalani ujian RT-PCR dijalankan dua hari sebelum berlepas dengan keputusan negatif COVID-19.

“Ujian pengesanan COVID-19 RT-PCR dibuat pada hari ketibaan di Pintu Masuk Antarabangsa. Pelepasan kuarantin pada hari kelima jika ujian pengesanan COVID19 RT-PCR pada hari keempat atau RTK Ag yang diselia oleh petugas kesihatan pada hari kelima adalah negatif,” katanya. 

Khairy berkata bagi pengembara yang belum menerima dos penggalak tetapi telah lengkap divaksin, tempoh kuarantin adalah selama tujuh hari manakala bagi pengembara yang tiada atau belum lengkap vaksin, tempoh kuarantin adalah 10 hari.

Beliau berkata pengembara akan diberikan digital Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dan tidak lagi dipasang gelang pengawasan biasa.

Namun bagi pengembara dari negara berisiko tinggi yang menjalani kuarantin di rumah, beliau berkata mereka masih dipakaikan gelang pengawasan digital manakala tempoh kuarantin bagi kanak-kanak adalah sama mengikut tempoh ibu bapa atau penjaga yang ada bersama. - BERNAMA

Advertisement