Anda di sini

Lebih 230,000 individu dewasa di Malaysia terima dos penggalak semalam

Advertisement
KUALA LUMPUR: Sebanyak 230,020 individu dewasa di Malaysia menerima dos penggalak vaksin COVID-19 semalam, menjadikan jumlah kumulatif dos penggalak diberikan kepada populasi berkenaan sebanyak 10,235,759 atau 43.7 peratus.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman COVIDNOW, sebanyak 22,913,483 atau 97.9 peratus daripada populasi dewasa telah lengkap menerima vaksinasi, manakala 23,191,008 individu atau 99.1 peratus daripada kumpulan itu menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin COVID-19.

Bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun, sebanyak 2,778,389 individu atau 88.3 peratus telah lengkap vaksinasi, manakala 2,863,086 individu atau 91 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Statistik harian menunjukkan sejumlah 234,983 dos vaksin telah diberikan semalam melibatkan 1,641 dos pertama dan 3,322 dos kedua, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 61,778,396 dos.

Sementara itu, menurut portal Github KKM, 22 kematian dilaporkan semalam dengan Selangor merekodkan tujuh kes, diikuti Perak dengan tiga kes, masing-masing dua kes di Johor, Negeri Sembilan, Sabah dan Terengganu manakala di Kedah, Kelantan, Pahang dan Sarawak masing-masing satu kes. -- BERNAMA

Advertisement