Anda di sini

KPDNHEP, MAFI bekerjasama stabilkan harga ayam

Advertisement

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk membawa bekalan ayam import bagi menstabilkan harga pasaran. 

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata kenaikan harga ayam yang dijangka berlaku selepas 4 Februari depan tidak semestinya betul namun rakyat perlu bersedia menghadapinya.  
 
“Apa yang telah dilaksanakan kementerian, kita adakan hubungan rapat dengan MAFI untuk membawa bekalan ayam import ke dalam negara. Setakat ini saya difahamkan MAFI telah mengeluarkan lebih daripada 20 permit import (AP) untuk mengimbangkan harga dalam pasaran. 

“Saya harap masalah harga ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat ini,” katanya kepada pemberita ketika lawatan meninjau pelaksanaan dan pematuhan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) di Pasar Komuniti Stutong di sini hari ini. 

Hadir sama semasa tinjauan, Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Azman Adam dan Datuk Bandar Kuching Selatan Dato Wee Hong Seng. 

Rosol ketika ditemui pemberita di Pasar Komuniti Stutong, Kuching hari ini.
Rosol ketika ditemui pemberita di Pasar Komuniti Stutong, Kuching hari ini.

Dalam pada itu harga siling ayam sehingga 4 Februari adalah RM9.10 sekilogram di peringkat peruncit. 

Bagaimanapun katanya harga ini akan dikaji balik kerana terdapat keluhan daripada penternak harga yang ditetapkan ini menekan mereka. 

“Sebab itu kita adakan libat urus bersama industri kerana kita mahu menjaga peniaga dan pengguna. Kita mahu peniaga berniaga dengan etika dan pengguna tidak teraniaya,” katanya.

Mengenai SHMKM, Rosol berkata daripada tinjauan di Pasar Komuniti Stutong hari ini beliau berpuas hati dengan pematuhan oleh peniaga. 

SHMKM telah dimulakan sejak 7 Disember 2021 dan berkuatkuasa sehingga 4 Februari ini melibatkan 12 jenis barangan asas kegunaan rakyat. 

Antara barang yang disenarai di bawah SHMKM ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dan C, kacang panjang, cili merah, tomato, sawi, kobis bulat import dan timun. 

  • oleh
  • Advertisement