Anda di sini

RUU Anti Lompat Parti dibentang pada sesi Parlimen bermula Feb

Advertisement
PUTRAJAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti akan dimuktamad dan dibentang pada sesi Parlimen yang bermula 28 Feb ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (gambar).

Beliau berkata keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) semalam.

“Ini juga selaras dengan saranan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) untuk menyegerakan RUU ini," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

 

Sebelum ini, Wan Junaidi memaklumkan RUU Anti Lompat Parti akan dibawa pada sesi Parlimen bulan Julai 2022 kerana penggubalan peruntukan itu memerlukan kajian terperinci dan sesi libat urus yang holistik.

Beliau berkata persetujuan yang dicapai merupakan komitmen kedua-dua pihak bagi memastikan pelbagai perkara yang dipersetujui dalam memorandum persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Persekutuan dan PH pada 13 Sept 2021 dapat dilaksana.

Wan Junaidi juga berkata Jawatankuasa Teknikal berunsur bipartisan di bawah Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik yang dianggotai masing-masing empat wakil daripada kerajaan serta PH ditubuhkan bagi mendapat pandangan semua pihak.

“Jawatankuasa teknikal ini akan bertemu pada minggu hadapan untuk memperinci perkara dasar serta kerangka perundangan yang dicadangkan,” katanya. -- BERNAMA

Advertisement