Anda di sini

Pastikan bekalan ubat di semua hospital kerajaan mencukupi

Advertisement
CHRISTINA
CHRISTINA

KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan Malaysia perlu memastikan semua hospital di Sabah lengkap dengan bekalan ubat-ubatan mencukupi sepanjang tahun.

Mantan Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata, beliau bimbang apabila mendapati terdapat sesetengah jenis ubatan tidak mempunyai bekalan mencukupi berikutan terdapat pesakit mengadu bahawa tidak memperoleh ubat secukupnya dari farmasi hospital kerajaan.

"Para pesekit ini termasuk pesakit jantung tidak mendapat bekalan ubat seperti yang diperlukan, keadaan ini terjadi sejak awal tahun ini.

"Berdasarkan maklum balas, keadaan itu telah memberikan kesan kepada pesakit kerana hanya diberikan ubat selama tempoh dua minggu, berbanding bekalan sebulan yang didapati sebelum ini.

"Keadaan ini menyebabkan mereka terpaksa kembali dalam tempoh dua minggu disebabkan bekalan yang tidak mencukupi.

"Keadaan ini sangat membimbangkan, ia tidak sepatutnya timbul kecuali terdapat masalah pada pihak pembekal.

"Situasi ini menyebabkan kesusahan kepada para pesakit khususnya golongan warga emas," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, permulaan tahun baharu 2022 sepatutnya berada dilandasan positif, sebaliknya wujud perkara sedemikian yang sudah pasti bukan sesuatu yang baik.

Christina yang juga Ahli Parlimen Tawau berkata, kerajaan hari ini seharusnya mengutamakan kebajikan kesihatan rakyat dengan memastikan bekalan ubat-ubatan mencukupi di semua hospital kerajaan selain memerangi pandemik COVID-19, mengatasi banjir dan rasuah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api itu turut menjelaskan kerajaan telah memperuntukan RM32.4 bilion kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dalam Bajet 2022.

"Dilaporkan ini merupakan bajet kedua terbesar diumumkan selepas peruntukan untuk Kementerian Pendidikan.

"Tunaikan tanggungjawab sewajarnya dengan bajet berkenaan kerana ia memberikan gambaran bahawa keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan kesihatan rakyat," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement