Anda di sini

Seorang lagi suspek kes tular baling batu pada kereta ditangkap

Advertisement
 

BINTULU: Seorang lagi suspek kes tular baling batu pada cermin kereta diberkas di sebuah rumah di Kampung Assyakirin di sini pada Selasa.

Tangkapan terhadap suspek berusia 30 tahun itu dibuat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu pada jam 3.30 petang.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili (gambar fail) berkata polis turut merampas sehelai baju, sehelai seluar dan sepasang selipar yang dipercayai dipakai suspek semasa kejadian. 

"Pihak polis percaya dengan tertangkapnya suspek tersebut, kes viral tersebut telah berjaya diselesaikan," ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dengan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang merbahaya.

Katanya, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua dari hukuman tersebut.

"Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Bintulu pada jam 9 pagi hari ini (19 Januari) dan ditahan reman untuk siasatan lanjut," katanya.

Terdahulu, pada jam 1.10 tengah hari 3 Januari 2022, pihak polis IPD Bintulu telah menerima satu laporan daripada seorang lelaki tempatan berumur 42 tahun.

Lelaki itu memberitahu pada jam 2.30 petang 2 Januari 2022 di Jalan Tun Ahmad Zaidi Bintulu, semasa memandu kereta bersama keluarganya melalui jalan tersebut tiba-tiba cermin depan kereta dibaling menggunakan objek keras disyaki batu oleh orang yang tidak dikenali.

Zulkipli berkata, ia mengakibatkan batu tersebut menembusi cermin depan kereta sehingga terkena kepala mangsa.

"Pengadu kemudiannya berhenti di tepi jalan dan anak pengadu telah menghubungi ambulans, seterusnya pengadu telah dibawa ke hospital dan menerima lima jahitan di bahagian kepala," jelasnya.

Beliau berkata, rakaman dari kamera video papan pemuka kereta pengadu mengenai kejadian tersebut telah tular di media sosial dan pihak polis terus memulakan siasatan berhubung kejadian berdasarkan dalam rakaman tersebut.

  • oleh
  • Advertisement