Anda di sini

Sembilan warga China, seorang wanita tempatan ditahan terlibat penipuan dalam talian

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Polis menahan sembilan warga China dan seorang wanita tempatan kerana disyaki terlibat kes penipuan dalam talian jualan barangan kosmetik dalam dua serbuan berasingan di Jalan Ampang, Isnin lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur ACP Mohd Mahidisham Ishak berkata dalam serbuan pertama, tujuah individu warga China terdiri daripada seorang wanita dan enam lelaki berusia 22 hingga 35 tahun ditahan di sebuah premis di kawasan berkenaan antara 3 hingga 4 petang.  

Beliau berkata pihaknya turut merampas pelbagai peralatan termasuk satu unit laptop dan 17 unit telefon bimbit disyaki digunakan dalam kegiatan penipuan dalam talian tersebut.

"Pada hari sama, polis turut mengadakan serbuan dan tangkapan di satu lagi unit premis di kawasan sama melibatkan seorang wanita tempatan dan dua lelaki warganegara China lingkungan umur 22 hingga 35 tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam serbuan kedua itu, katanya, polis merampas enam telefon bimbit dan satu salinan dokumen tertulis skrip yang digunakan untuk panggilan telefon. 

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati kesemua suspek adalah pekerja sindiket dan dipercayai daripada dua kumpulan berbeza dan telah beroperasi sejak pertengahan 2020 dengan menyasarkan pelanggan dari luar negara sebagai mangsa.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan nilai kerugian masih dalam siasatan. Kesemua mereka kini ditahan reman bermula 17 (Isnin) hingga 21 Januari (Jumaat ini) untuk siasatan lanjut," katanya.

Sementara itu, beliau menasihati orang ramai agar jangan mudah terpedaya dan membuat semakan sebelum membuat transaksi serta tampil menyalurkan maklumat berkaitan kes penipuan seperti ini.

"Sebarang jenayah atau aktiviti yang mencurigakan, boleh disalurkan melalui WhatsApp CCID Infoline di talian 013-2111 222 atau hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585, CCID Scam Response Center di talian 03-2610 1559/1599 atau mana-mana balai polis yang berdekatan," katanya. - Bernama 

Advertisement