Anda di sini

Sekolah terlibat kluster COVID-19 tidak ditutup: Masidi

Advertisement
 Masidi (tengah) melancarkan simbolik perasmian majlis itu. Turut kelihatan Mohd Arifin (kanan) dan Setiausaha Tugas-Tugas Khas Sapdin Ibrahim (kiri).
LANCAR: Masidi (tengah) melancarkan simbolik perasmian majlis itu. Turut kelihatan Mohd Arifin (kanan) dan Setiausaha Tugas-Tugas Khas Sapdin Ibrahim (kiri).

KOTA KINABALU: Sekolah yang terlibat dengan kluster kes COVID-19 di Sabah baru-baru ini tidak akan diarahkan tutup selagi jumlah penularan kes masih terkawal.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, jumlah kes bagi kluster membabitkan institusi pendidikan tidak begitu ramai dan hanya terhad kepada pelajar yang tinggal di dalam asrama.

Sehubungan itu jelasnya, kerajaan negeri mengambil pendekatan yang sebolehnya bagi mengelak berlakunya penutupan sekolah.

"Pengajaran yang kita terima daripada pandemik ini ialah cara pengurusan sekarang yang berlainan dengan dahulu.

"Sebelum ini tidak ada vaksin, justeru cara untuk mengurangkan penularan jangkitan adalah melalui 'lockdown' termasuk 'total lockdown'. Tetapi sekarang kita sudah ada vaksin.

"Vaksin mampu mengurangkan kluster membabitkan gejala kepada mereka yang dijangkiti dan kita ambil pendekatan dengan memastikan semua orang mendapatkan vaksin," katanya.

Beliau yang juga Jurucakap COVID-19 Sabah berkata demikian kepada media berhubung dua kluster institusi pendidikan melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambunan yang dikesan pada 16 Januari lepas serta SMK Ranau yang dilaporkan pada Selasa lepas.

Masidi berkata, bagi mengurangkan kesan jangkitan akibat penularan COVID-19, semua orang walaupun sudah divaksin terus patuh prosedur operasi standard (SOP).

"Saya perhatikan setiap hari statistik dari Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menunjukkan majoriti pesakit baharu adalah mereka yang menerima vaksin lengkap.

"Tetapi pada masa sama, statistik menunjukkan hampir semua yang dijangkiti itu hanya berada dalam kategori satu dan dua iaitu tiada gejala atau gejala ringan dan tidak perlukan rawatan hospital.

"Pengajaran kita terima daripada statistik setiap hari, alangkah baiknya semua orang patuhi SOP dengan baik, bukan sahaja mengurangkan jangkitan tetapi mengurangkan jumlah mereka yang dalam kategori lebih serius," jelasnya.

Terdahulu, Masidi mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor bagi merasmikan majlis Penyampaian Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) dan Pelancaran BAGUS, BISBAH dan AKSA 2022 di Menara Kinabalu di sini hari ini. 

Turut hadir, Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif.
 

  • oleh
  • Advertisement